Jorge Martin menjelaskan bahawa penamat awalnya dalam Grand Prix Valencia pada Ahad telah dipersetujui dengan pasukan Aprilia Racing sebelum perlumbaan bermula.
Pelumba Sepanyol itu melalui musim MotoGP 2025 penuh ujian, bermula dengan insiden pramusim yang menyebabkan beliau tersisih sehingga pusingan keempat di Qatar, di mana satu lagi kemalangan memaksanya berehat panjang.
Selepas kembali beraksi di Republik Czech, kecederaan baharu di Jepun sekali lagi menghentikan rentaknya sehingga perlumbaan penutup musim di Valencia.
View this post on Instagram
Disebabkan keadaan fizikalnya, pelumba berusia 27 tahun itu berkata sememangnya tiada rancangan untuk menghabiskan perlumbaan.
“Sebelum perlumbaan lagi saya sudah tahu saya akan menamatkannya lebih awal,” katanya dalam temu bual selepas perlumbaan.
“Kami berbincang dengan pasukan dan keputusan terbaik ialah hanya melengkapkan beberapa pusingan. Saya pun agak letih, jadi tiada sebab untuk terus berlumba.”
“Saya tetap gembira dengan prestasi saya dan sekarang masa untuk fokus kepada 2026.”
View this post on Instagram
Walaupun belum cergas sepenuhnya, Martin mensasarkan untuk mengambil bahagian dalam testing pasca musim pada Selasa.
“Saya mahu ambil bahagian. Kami ada banyak perkara penting untuk dicuba,” jelasnya.
“Segalanya kelihatan positif untuk Aprilia dan motosikal nampak sangat baik di tangan Marco [Bezzecchi], cuma saya masih perlu memahami cara ia berfungsi.
“Bagi saya, ia belum terbaik, tetapi hanya soal masa. Pasukan banyak membantu dan memberi sokongan.”



