Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Major League Baseball (MLB) semakin giat memperluas jangkauan globalnya menerusi MLB World Tour, membawa aksi musim reguler ke pelbagai benua jauh di luar Amerika Utara.
Siri perlawanan antarabangsa ini bukan sahaja memperkenalkan pasukan MLB kepada peminat baharu, tetapi turut menawarkan pertembungan bersejarah di stadium luar jangkaan serta membantu mengukuhkan kehadiran baseball di serata dunia. Dengan momentum yang ada, tidak mustahil suatu hari nanti perlawanan MLB rasmi dianjurkan di Asia Tenggara seperti Kompleks Sukan Gelora Bung Karno, Indonesia atau Stadium Peringatan Rizal, Filipina.
Menjelang musim 2026 yang boleh disaksikan secara langsung di SPOTV NOW, berikut ialah antara acara MLB di luar Amerika Syarikat dan Kanada.
Mexico Series (1996, 1999, 2018, 2019, 2023, 2024)
Monterrey dan Mexico City telah beberapa kali menjadi pentas aksi MLB antarabangsa yang paling rancak. Antara detik yang paling diingati berlaku pada 2023, apabila Padres dan Giants menghasilkan 11 home run secara keseluruhan dalam kemenangan 16-11 memihak kepada San Diego. Siri ini akan kembali ke Mexico City musim depan dengan pertembungan antara Diamondbacks dan Padres.
London Series (2019, 2023, 2024)
Walaupun ia lebih sinonim dengan bola sepak, London telah menjadi lokasi kepada beberapa perlawanan luar negara MLB paling mengujakan. Edisi sulung 2019 membuka tirai dengan rivalry Yankees-Red Sox, menghasilkan permainan dengan skor tinggi termasuk kemenangan 17-13 buat Yankees. Siri berikutnya menyaksikan aksi Cubs vs Cardinals dan Mets vs Phillies, sekali gus menjadikan London Stadium sebagai venue utama MLB di Eropah.
Tokyo Series (2000, 2004, 2008, 2012, 2019, 2025)
Tokyo Dome merupakan venue antarabangsa paling konsisten menganjurkan perlawanan kompetitif MLB. Antara momen paling signifikan termasuk aksi Ichiro Suzuki di depan penyokong sendiri pada 2012 dan kepulangan Shohei Ohtani ke Jepun sebagai pemain Dodgers pada 2025.
Seoul Series (2024)
Tahun 2024 merupakan kali pertama Korea Selatan menganjurkan perlawanan MLB musim reguler. Aksi tumpuan di Gocheok Sky Dome menemukan Dodgers dan Padres, dan turut mencatat sejarah sebagai perlawanan pertama Ohtani secara rasmi bersama Dodgers. Perlawanan pembukaan memihak kepada Dodgers 5-2, sebelum Padres membalas 15-11 pada perlawanan kedua.
Australia Series (2014)
Kemunculan pertama MLB di Australia membuka musim 2014 dengan pertembungan Dodgers-Diamondbacks di Sydney. Di hadapan 38,266 penyokong, Clayton Kershaw tampil cemerlang dengan 6.2 inning dan tujuh strikeout untuk membantu Dodgers menang 3-1. Mereka kemudian mendapat kemenangan 7-5 dalam perlawanan kedua.
China Series (2008)
Walaupun hanya siri perlawanan persahabatan antara Dodgers dan Padres di Stadium Wukesong, ia tetap bersejarah kerana menandakan kehadiran pertama MLB di bumi China bagi mempromosikan sukan besbol sempena temasya Olimpik Beijing.
Taiwan All-Star Series (2011)
Siri lima perlawanan ini menampilkan bintang MLB seperti Robinson Cano, Curtis Granderson dan Pablo Sandoval yang beraksi menentang skuad kebangsaan Chinese Taipei, sekali gus memberi peluang kepada peminat di Taiwan untuk menyaksikan pemain besbol bertaraf dunia beraksi secara langsung.
Cuba Exhibition Series (1999)
Walaupun bukan perlawanan rasmi, ia membawa signifikan diplomatik apabila Baltimore Orioles menjadi pasukan MLB pertama bermain di Cuba sejak 1959. Mereka menewaskan pasukan kebangsaan Cuba 3-2 di Havana, manakala perlawanan timbal balik di Baltimore menyaksikan Cuba menang 12-6.



