Ronaldo bantu Al Nassr julang kejuaraan Liga Pro Saudi
Oleh Lee Seng Foo3 minggu lalu
Cristiano Ronaldo akhirnya meraih gelaran liga pertamanya bersama Al Nassr selepas kelab itu mengesahkan kejuaraan Liga Pro Saudi musim 2025/26 dengan kemenangan 4-1 ke atas Damac pada aksi penutup musim.
Al Nassr turun dengan misi memastikan kemenangan atau keputusan mereka sekurang-kurangnya menyamai pencabar terdekat Al Hilal untuk mengekalkan kedudukan di puncak.
Sadio Mane dan Kingsley Coman terlebih dahulu meletakkan tuan rumah di depan sebelum Damac sempat merapatkan jurang menerusi Morlaye Sylla.
Namun dua jaringan Ronaldo pada minit ke-62 dan ke-80 memadamkan sebarang harapan kebangkitan pelawat dan memastikan kejuaraan menjadi milik Al Nassr.
Kejuaraan ini menamatkan kemarau tujuh tahun Al Nassr tanpa gelaran liga, selain menghadiahkan Ronaldo kejayaan domestik yang dinantikan sejak menyertai kelab itu pada Januari 2023.
Ia juga merupakan piala kedua pemain Portugal berusia 41 tahun itu bersama Al Nassr selepas kejayaan dalam Arab Club Champions Cup pada 2023.
Roger Federer akan kembali ke Arthur Ashe Stadium pada 25 Ogos menerusi satu perlawanan khas sempena Terbuka Amerika Syarikat (US Open) 2026.
Pemenang 20 gelaran Grand Slam itu akan tampil bersama Andy Roddick, Andre Agassi dan John McEnroe dalam penampilan pertamanya di kejohanan berkenaan sejak 2019.
Federer menikmati banyak detik terbaik dalam kariernya di New York, termasuk muncul juara US Open lima tahun berturut-turut dari 2004 hingga 2008.
Menurut Federer, US Open sentiasa mempunyai tempat yang istimewa buat dirinya.
"Banyak kenangan yang tidak dapat saya lupakan berlaku di New York dan Arthur Ashe Stadium adalah tempat yang sangat bermakna buat saya,” katanya.
"Saya merindui suasana di sana serta semangat yang dibawa oleh para peminat setiap tahun.
"Peluang untuk kembali ke Arthur Ashe dan berkongsi pentas dengan Andy, Andre dan John menjadikan pengalaman ini lebih bermakna.
"Saya tidak sabar untuk bertemu semula dengan para peminat dan menikmati satu malam yang cukup istimewa."
US Open 2026 akan berlangsung dari 23 Ogos hingga 13 September dan disiarkan secara langsung di SPOTV NOW.
Marc Marquez sekali lagi menjadi bualan peminat MotoGP selepas mencipta sejarah dengan kemenangan ke-100 Grand Prix dalam kariernya di Hungary minggu lalu. Namun seperti biasa, bukan kemenangan itu sahaja yang mencuri perhatian.
Sebaik melintasi garisan penamat di Balaton Park, pelumba Ducati itu membuat isyarat "6-7", yang pantas menjadi bualan peminat MotoGP.
Hakikatnya, Marquez sememangnya cukup sinonim dengan pelbagai sambutan kemenangan yang unik sepanjang kariernya. Sama ada mengambil inspirasi daripada trend media sosial, budaya popular atau detik yang mempunyai makna peribadi, pelumba Sepanyol itu sering mempunyai cara tersendiri untuk meraikan kejayaan.
Berikut beberapa sambutan kemenangan paling ikonik yang pernah dilakukan oleh Marquez sepanjang kariernya.
Grand Prix Jerman 2025
Marquez mengikut salah satu trend internet paling popular pada 2025 apabila meraikan kemenangannya di Grand Prix Jerman dengan gaya “aura farming”. Sambutan itu diinspirasikan daripada Rayyan Arkan Dikha dari Indonesia, yang menjadi sensasi media sosial menerusi tarian uniknya di atas bot lumba.
Kemenangan di hadapan penyokong sendiri di Jerez diraikan dengan tarian “floss”, yang ketika itu sedang menjadi fenomena global. Tarian berkenaan melonjak populariti selepas dipersembahkan semasa persembahan lagu “Swish Swish” oleh Katy Perry dalam rancangan Saturday Night Live pada 2017.
Grand Prix Americas 2018
Selepas menjuarai Grand Prix Americas, Marquez meraikan kejayaannya dengan gaya “dab”, yang ketika itu cukup popular dalam dunia sukan dan budaya pop. Gaya itu mula menjadi fenomena selepas sering digunakan oleh quarterback NFL, Cam Newton, sepanjang musim 2015.
Grand Prix Republik Czech 2017
Antara sambutan paling bermakna dalam karier Marquez hadir di Brno pada 2017, tidak lama selepas pemergian legenda motosikal Sepanyol, Angel Nieto. Selepas memastikan kemenangan, beliau berdiri dengan kedua-dua tangan direntangkan sebelum menuding ke arah langit sebagai penghormatan kepada juara dunia 13 kali itu, yang dianggap antara tokoh paling berpengaruh dalam sejarah sukan permotoran Sepanyol.
Grand Prix Jepun 2016
Marquez meraikan kemenangan di Motegi dengan beberapa tendangan dramatik menggunakan kaki kanannya ketika melintasi garisan penamat. Kemenangan berkenaan bukan sahaja menghadiahkannya Grand Prix Jepun, malah turut mengesahkan gelaran dunia MotoGP 2016 ketika saingan masih berbaki beberapa pusingan.
TT Belanda 2014
Selepas muncul juara di Assen, Marquez mencuri perhatian dengan meniru gerakan berenang di atas jentera Hondanya. Sambutan unik itu kemudian menjadi antara imej paling diingati daripada musim 2014, tahun yang menyaksikan beliau mendominasi saingan MotoGP dengan 13 kemenangan sebelum mempertahankan gelaran dunia kelas premier buat kali kedua berturut-turut.
Musim gelanggang rumput kini kembali menjadi tumpuan selepas berakhirnya saingan Roland Garros, dengan pemain-pemain terbaik dunia mula mengalihkan perhatian kepada Wimbledon.
Beberapa kejohanan penting seperti Queen's Club, Halle, Berlin, Eastbourne dan Birmingham akan menjadi pentas persiapan terakhir sebelum Grand Slam ketiga musim ini bermula pada 29 Jun, secara langsung di SPOTV NOW.
Walaupun nama-nama besar seperti Jannik Sinner, Novak Djokovic, Aryna Sabalenka dan Coco Gauff dijangka sekali lagi menjadi antara pencabar utama, rekod di gelanggang rumput sering kali menceritakan kisah yang berbeza.
Berbanding gelanggang tanah liat atau keras, permukaan rumput lebih memihak kepada pemain yang gemar bermain secara agresif, memiliki servis berbahaya dan mampu bergerak pantas untuk memanfaatkan mata-mata pendek.
Menjelang Wimbledon 2026, berikut senarai pemain perseorangan ATP dan WTA yang paling menyerlah di gelanggang rumput dalam tempoh lima musim terakhir berdasarkan statistik yang dikumpulkan oleh Tennis Ratio.
Pemain perseorangan terbaik gelanggang rumput ATP Tour (2021-2025)
#
Pemain
Gelaran
Menang
Kalah
%
1
Novak Djokovic
2
30
3
90.91%
2
Carlos Alcaraz
4
35
4
89.74%
3
Matteo Berrettini
3
29
7
80.56%
4
Marin Cilic
1
15
4
78.95%
5
Jannik Sinner
2
29
9
76.32%
6
Taylor Fritz
4
36
12
75.00%
7
Daniil Medvedev
1
33
13
71.74%
8
Alexander Zverev
0
21
9
70.00%
9
Alex De Minaur
2
30
13
69.77%
10
Hubert Hurkacz
1
22
10
68.75%
Pemain perseorangan terbaik gelanggang rumput WTA Tour (2021-2025)
Alex Eala memperoleh tonik terbaik menjelang Wimbledon apabila muncul juara Terbuka Birmingham selepas menewaskan Nikola Bartunkova dalam aksi final pada Ahad.
Pemain nombor 33 dunia dari Filipina itu bangkit daripada kekalahan set pertama sebelum menutup perlawanan dengan kemenangan 5-7, 6-3, 7-5 di Edgbaston Priory Club.
Kejayaan tersebut bukan sahaja menghadiahkan gelaran pertama Eala di gelanggang rumput, malah turut menambah koleksi gelaran WTA 125 miliknya kepada dua.
Selepas menamatkan cabaran di Roland Garros, Eala jelas tidak mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri dengan permukaan rumput apabila mempamerkan aksi konsisten sepanjang minggu di Birmingham.
Pemain berusia 21 tahun itu hanya kehilangan satu set sebelum final dan turut menyingkirkan wakil Thailand, Mananchaya Sawangkaew, di peringkat suku akhir.
Trofi tersebut menjadi satu lagi pencapaian penting dalam musim yang terus menyaksikan peningkatan prestasi Eala, selepas beliau pernah melonjak ke ranking tertinggi karier di kedudukan ke-29 dunia pada Mac lalu.
Cabaran seterusnya buat Eala adalah di HSBC Championships di Queen's Club, di mana beliau dijadual membuka kempen menentang pemain China, Zhang Shuai, pada Selasa.
Turut mencuri perhatian di Birmingham ialah pemain Indonesia, Janice Tjen, yang muncul juara beregu wanita bersama gandingannya dari Australia, Talia Gibson.
Pasangan pilihan utama itu menewaskan Harriet Dart dan Maia Lumsden dari Britain pada perlawanan akhir, sekali gus menambah lagi kegembiraan buat wakil Asia Tenggara menjelang Wimbledon.