SPOTV melancarkan saluran baharu SPOTV PLAY di Malaysia pada 15 November lalu, menjadikan negara ini pasaran pertama di Asia Tenggara yang menerima saluran sukan 24 jam tersebut menerusi Unifi TV tanpa sebarang bayaran tambahan kepada penonton.
SPOTV PLAY akan menyiarkan acara sukan langsung terpilih, sorotan perlawanan dan siaran ulangan daripada pelbagai kejohanan, termasuk MotoGP, WorldSBK, A-League Men dan Pickle Yard Conference League.
Jadual siarannya turut merangkumi program ulasan serta majalah sukan, sekali gus memberi peluang kepada peminat untuk terus mengikuti perkembangan kejohanan kegemaran mereka di luar waktu pertandingan.
SPOTV PLAY melengkapkan rangkaian saluran SPOTV dan SPOTV2, yang kekal sebagai saluran berbayar dengan menawarkan rangkaian penuh siaran sukan langsung SPOTV.
“SPOTV PLAY membolehkan kami menjangkau lebih ramai penonton dan memberi mereka peluang mengenali kandungan yang ditawarkan SPOTV,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SPOTV Asia, CK Lee.
Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan dan Pengguna TM, Anand Vijayan, berkata pelancaran tersebut akan memberi penonton Malaysia akses kepada pilihan kandungan sukan yang lebih luas menerusi Unifi TV.
Pengguna baharu boleh mendaftar secara percuma menggunakan alamat e-mel, manakala pelanggan Unifi TV Pack sedia ada boleh log masuk menggunakan ID Unifi TV masing-masing.
Malaysia menjadi pasaran pertama bagi SPOTV PLAY, dengan SPOTV merancang untuk memperluaskan saluran tersebut ke negara lain di Asia Tenggara.
Grand Theft Auto VI (GTA VI) bakal dilancarkan pada Khamis ini, lebih 13 tahun selepas permainan terdahulunya muncul ketika perebutan kejuaraan dunia MotoGP antara pelumba baharu Marc Marquez dan juara bertahan Jorge Lorenzo sedang berlangsung sengit.
GTA V mula dijual untuk konsol PlayStation 3 dan Xbox 360 pada 17 September 2013, dua hari selepas Lorenzo memenangi Grand Prix San Marino di Misano dengan menewaskan Marquez dan Dani Pedrosa.
Keputusan tempat kedua itu menyaksikan Marquez mengumpul 253 mata, manakala Lorenzo dan Pedrosa terikat dengan 219 mata ketika musim masih berbaki lima pusingan.
Lorenzo ketika itu memburu gelaran dunia kelas utama ketiganya bersama Yamaha, dengan Valentino Rossi kembali menjadi rakan sepasukannya selepas dua musim bersama Ducati.
Marquez pula baru menyertai Repsol Honda bagi menggantikan Casey Stoner yang bersara.
Hanya dalam perlumbaan keduanya, Marquez mencipta sejarah sebagai pemenang Grand Prix kelas utama termuda apabila muncul juara di Austin.
Pelumba berusia 20 tahun itu kemudian mencatat empat kemenangan berturut-turut di Sachsenring, Laguna Seca, Indianapolis dan Brno untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai pendahulu kejuaraan.
Bagaimanapun, Lorenzo kembali memberi saingan sengit dalam beberapa pusingan terakhir.
Di Phillip Island, kebimbangan terhadap ketahanan tayar menyebabkan pelumba diwajibkan menukar motosikal pada pusingan kesembilan atau ke-10.
Namun, Marquez terus berada di litar sehingga tamat pusingan ke-11, menyebabkan dia dibatalkan penyertaan daripada perlumbaan tersebut.
Lorenzo mengambil kesempatan dengan meraih kemenangan untuk merapatkan jurang kepada 18 mata, sebelum sekali lagi muncul juara di Jepun.
Keputusan itu menyaksikan Marquez hanya memiliki kelebihan 13 mata menjelang perlumbaan terakhir di Valencia.
Lorenzo meneruskan rentak kemenangannya di Valencia, tetapi Marquez berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di belakang Pedrosa.
Keputusan tersebut sudah cukup untuk memastikan Marquez meraih gelaran dunia dengan 334 mata, hanya empat mata mengatasi Lorenzo yang mengumpul 330 mata.
Walaupun mencatat enam kemenangan berbanding lapan milik Lorenzo, Marquez muncul juara dunia kelas utama termuda pada usia 20 tahun 266 hari.
Dia juga menjadi ‘rookie’ pertama memenangi kejuaraan dunia kelas utama sejak Kenny Roberts melakukannya pada 1978.
Kini, lebih 13 tahun kemudian, Marquez sekali lagi menjadi tumpuan dalam perebutan kejuaraan dunia MotoGP, tetapi banyak perkara sudah berubah.
Marquez kini mewakili pasukan utama Ducati, manakala Lorenzo, Pedrosa dan Rossi sudah bersara daripada perlumbaan sepenuh masa.
Pencabar utamanya musim ini pula ialah dua pelumba Aprilia, Jorge Martin dan Marco Bezzecchi.
Format kejuaraan juga sudah berubah dengan pengenalan perlumbaan Sprint pada Sabtu, yang memberi peluang tambahan kepada pelumba untuk mengutip mata selain perlumbaan utama Grand Prix pada Ahad.
Marquez bakal menghadapi Grand Prix Portugal hujung minggu ini dengan kelebihan 60 mata di depan Martin, sekali gus berpeluang menyamai rekod Giacomo Agostini dengan lapan gelaran dunia kelas utama.
Kemenangan dalam perlumbaan Sprint pada Sabtu akan memastikan Marquez muncul juara dunia.
Dia juga boleh mengesahkan gelaran tersebut dengan mengutip sekurang-kurangnya 14 mata daripada dua pusingan terakhir di Portugal dan Valencia.
Saksikan Grand Prix Portugal secara langsung menerusi SPOTV NOW.
Giannis Antetokounmpo bakal menerima cincin kejuaraan World Series sebagai salah seorang pemilik Milwaukee Brewers, lima tahun selepas membantu Milwaukee Bucks menjuarai NBA.
Presiden operasi perniagaan Brewers, Rick Schlesinger, memberitahu Milwaukee Journal Sentinel bahawa Antetokounmpo akan menerima cincin tersebut bersama pemilik kelab yang lain, dengan reka bentuknya masih dalam proses dimuktamadkan.
Pemain yang pernah dua kali dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) NBA itu diumumkan sebagai pemegang saham minoriti Brewers pada Ogos 2021, sebulan selepas membawa Bucks meraih kejuaraan NBA.
Antetokounmpo turut mengekalkan pegangannya dalam Brewers walaupun berpindah ke Miami Heat pada musim panas lalu.
Sebelum ini, dia sudah pun meraikan kejayaan Brewers mara ke World Series buat kali pertama sejak 1982.
"Saya sangat gembira untuk pasukan ini," katanya kepada pemberita menjelang perlawanan pembukaan musim Miami.
Antetokounmpo turut memuji pemilik utama Brewers, Mark Attanasio, serta rakan kongsinya atas usaha mereka melabur dalam pasukan dan membangunkan pemain di Milwaukee.
"Usaha ini sudah berlangsung selama bertahun-tahun," tambahnya.
Brewers mencipta sejarah apabila meraih kejuaraan World Series pertama mereka selepas menewaskan Tampa Bay Rays 4-1 dalam perlawanan kelima, sekali gus memenangi siri akhir itu dengan keputusan keseluruhan 4-1.
Pemain Milwaukee, William Contreras, dinobatkan sebagai MVP World Series selepas membantu pasukannya menamatkan saingan ‘playoff’ dengan 11 kemenangan daripada 13 perlawanan.
Kejayaan itu turut menyaksikan Brewers menyapu bersih siri Kejuaraan Liga Kebangsaan menentang Los Angeles Dodgers, sekali gus menggagalkan usaha juara bertahan tersebut memburu gelaran ketiga berturut-turut.
Sebelum ini, satu-satunya penampilan Brewers dalam World Series berakhir dengan kekalahan kepada St Louis Cardinals selepas tujuh perlawanan pada 1982, ketika kelab itu masih bersaing dalam Liga Amerika.
Kejayaan terbaru Brewers juga menjadikan mereka pasukan pertama dari Milwaukee yang menjuarai World Series sejak Braves meraih gelaran tersebut pada 1957.
Alexandra Eala menamatkan musim Jelajah WTA 2026 pada kedudukan tertinggi dalam kariernya, iaitu ranking ke-15 dunia bagi perseorangan, manakala pemain Indonesia, Aldila Sutjiadi, menduduki tangga ke-19 dalam beregu.
Pencapaian kedua-dua pemain itu memastikan Asia Tenggara mempunyai wakil dalam kelompok 20 terbaik dunia bagi kedua-dua kategori pada penghujung musim.
Eala mencatat pencapaian terbaiknya dalam kejohanan Grand Slam di Wimbledon apabila mara ke pusingan keempat, selepas tersingkir pada pusingan pertama Terbuka Australia dan Roland Garros.
Pemain Filipina itu kemudian meneruskan saingan di Terbuka Amerika Syarikat sehingga pusingan ketiga.
Di antara dua kejohanan Grand Slam tersebut, Eala yang berusia 21 tahun mencipta sejarah apabila bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan Jessica Pegula di Washington, sekali gus menjadi pemain wanita Filipina pertama memenangi gelaran perseorangan Jelajah WTA.
Dia turut menjuarai kejohanan WTA 125 di Birmingham dan mara ke final di Hong Kong.
Walaupun tewas kepada Claire Liu dalam perlawanan akhir di Hong Kong, pencapaian itu membolehkannya melonjak dua anak tangga untuk menduduki ranking ke-15 dunia.
Seorang lagi pemain Indonesia, Janice Tjen, muncul pemain perseorangan kedua terbaik Asia Tenggara apabila menamatkan musim di ranking ke-60 dunia.
Tjen melonjak 15 anak tangga selepas mara ke final Terbuka Chennai, namun gagal mempertahankan kejuaraannya apabila tewas kepada pemain Poland, Magda Linette, dalam pertarungan tiga set.
Thailand pula mempunyai dua lagi wakil Asia Tenggara dalam kelompok 100 terbaik dunia bagi perseorangan.
Lanlana Tararudee menamatkan musim di ranking ke-62 selepas mencapai kedudukan tertinggi dalam kariernya, iaitu ranking ke-53 pada Oktober.
Peningkatan itu hadir selepas dia memenangi dua gelaran WTA 125 di Austin dan Istanbul.
Rakan senegaranya, Mananchaya Sawangkaew, pula menamatkan tahun ini di ranking ke-80 selepas berada di luar kelompok 200 terbaik dunia pada penghujung 2025.
Antara pencapaian terbaik Sawangkaew musim ini ialah memenangi gelaran WTA 125 di Mumbai dan mara ke separuh akhir di Newport.
Jurang ranking agak besar selepas empat pemain tersebut, dengan Priska Nugroho dari Indonesia menduduki tangga ke-408, manakala Aunchisa Chanta dari Thailand berada di kedudukan ke-500 dalam ranking bertarikh 16 November.
Di kedudukan teratas perseorangan dunia, juara Terbuka Australia dan Terbuka Amerika Syarikat, Elena Rybakina, sudah pun mengesahkan ranking nombor satu dunia bagi akhir tahun sebelum kejohanan WTA Finals berlangsung di Indian Wells.
Mirra Andreeva pula melonjak ke ranking tertinggi dalam kariernya, iaitu nombor dua dunia, selepas menewaskan Elina Svitolina 7-5, 6-3 dalam perlawanan akhir pada Ahad.
Andreeva menjuarai kejohanan tersebut dalam penampilan sulungnya tanpa kehilangan sebarang set, sekali gus memintas Aryna Sabalenka dalam ranking dunia.
Coco Gauff dan Pegula melengkapkan kelompok lima terbaik, manakala Svitolina menduduki tangga keenam selepas mara ke final.
Dalam kategori beregu, Katerina Siniakova dan Taylor Townsend menamatkan musim masing-masing di ranking pertama dan kedua dunia.
Pasangan itu meraih gelaran WTA Finals pertama mereka bersama selepas menewaskan Sara Errani dan Jasmine Paolini 6-4, 6-3 dalam perlawanan akhir.
Sutjiadi pula mengetuai pencapaian pemain beregu Asia Tenggara dengan tiga gelaran WTA 500 sepanjang musim.
Pemain Indonesia itu memenangi kejohanan Bad Homburg bersama Vera Zvonareva sebelum bergandingan dengan Erin Routliffe untuk meraih kejuaraan di Washington dan Singapura.
Tjen turut memastikan Indonesia mempunyai dua wakil dalam kelompok 50 terbaik dunia bagi beregu apabila menamatkan musim di ranking ke-43.
Dia memenangi gelaran di Hobart bersama Katarzyna Piter dan di Osaka bersama Storm Hunter.
Tjen juga bergandingan dengan Talia Gibson untuk menjuarai acara beregu WTA 125 di Birmingham, kejohanan sama yang menyaksikan Eala muncul juara perseorangan.
Seorang lagi pemain Thailand, Peangtarn Plipuech, dan Eala turut berada dalam kelompok 150 terbaik dunia bagi beregu selepas WTA Finals.
Plipuech menduduki ranking ke-113, manakala Eala berada di tangga ke-148.
Saingan MotoGP kembali ke Portimao hujung minggu ini untuk pusingan kedua terakhir musim 2026, dengan Marc Marquez semakin hampir meraih gelaran dunia kelas utama buat kali kelapan.
Litar Antarabangsa Algarve juga berpotensi menjadi lokasi penentuan dua lagi kejuaraan apabila Ducati mendahului kedudukan pengeluar, manakala Aprilia Racing semakin hampir mengesahkan gelaran kategori pasukan.
Dengan kejuaraan dunia berpeluang ditentukan seawal Sabtu, jangan lepaskan aksi Grand Prix Portugal yang boleh disaksikan secara langsung menerusi SPOTV NOW.
Marquez belum pernah menang di Portimao
Kemenangan dalam perlumbaan Sprint pada Sabtu sudah cukup untuk memastikan Marquez muncul juara dunia, namun pelumba Sepanyol itu masih belum pernah menang di Portimao.
Pencapaian terbaiknya dalam perlumbaan utama di litar tersebut ialah tempat keenam bersama Repsol Honda pada 2022, manakala keputusan terbaiknya dalam Sprint ialah tempat kedua bersama Gresini Ducati pada 2024. Marquez sebenarnya pernah meraih kemenangan di Portugal, iaitu dalam kelas 125cc pada 2010 dan Moto2 pada 2012, tetapi kedua-duanya dicatat di Litar Estoril.
Dia juga tidak semestinya perlu menamatkan kemarau kemenangan di Portimao untuk bergelar juara dunia. Marquez hanya memerlukan 14 mata daripada dua pusingan terakhir untuk mengesahkan kejuaraan berdasarkan jumlah kemenangan, walaupun Jorge Martin memenangi kedua-dua Sprint dan perlumbaan utama yang berbaki.
Negara terakhir rai kemenangan sulung di laman sendiri
Penampilan sulung Portimao dalam kalendar MotoGP pada 2020 menyaksikan Miguel Oliveira mencipta sejarah apabila memenangi perlumbaan penutup musim di laman sendiri.
Pelumba Tech3 KTM ketika itu bermula dari petak utama dan mendahului perlumbaan sejak awal sebelum melintasi garisan penamat dengan kelebihan lebih tiga saat di depan Jack Miller. Kemenangan tersebut menjadikan Oliveira pelumba Portugal pertama memenangi perlumbaan Grand Prix kelas utama di negara sendiri.
Sejak itu, tiada negara lain berjaya meraikan kemenangan pertama pelumba tempatan dalam kelas utama di laman sendiri. Brazil, Indonesia, Malaysia, Qatar dan Thailand masih antara negara yang menantikan detik bersejarah tersebut.
Acosta, Fernandez buru kemenangan dalam tiga kelas di Portimao
Pedro Acosta dan Raul Fernandez masing-masing pernah memenangi perlumbaan Moto3 dan Moto2 di Portimao. Kini, kedua-duanya hanya memerlukan satu kemenangan MotoGP untuk melengkapkan kejayaan dalam ketiga-tiga kelas di litar berkenaan.
Fernandez memenangi perlumbaan Moto3 ketika Portimao pertama kali menjadi tuan rumah pada 2020, sebelum kembali meraih kemenangan Moto2 di litar sama pada April tahun berikutnya.
Acosta pula memenangi perlumbaan Moto3 pada April 2021 sebelum sekali lagi muncul juara di Portimao dalam Grand Prix Algarve pada penghujung tahun tersebut, sekali gus mengesahkan gelaran dunia Moto3. Dia kemudian menambah kemenangan Moto2 di litar itu pada 2023. Setahun selepas itu, Acosta meraih podium pertamanya dalam MotoGP apabila menamatkan Grand Prix Portugal di tempat ketiga.
Gonzalez berpeluang sahkan gelaran dunia Moto2
Manuel Gonzalez berpeluang mengesahkan kejuaraan dunia Moto2 di Portimao sekiranya dia mengutip sekurang-kurangnya 12 mata lebih banyak daripada pencabar terdekatnya, Izan Guevara.
Gonzalez menamatkan perlumbaan di Qatar pada kedudukan keenam, manakala Guevara gagal menamatkan perlumbaan akibat masalah mekanikal. Keputusan itu membolehkan Gonzalez melebarkan kelebihannya kepada 13.5 mata ketika musim hanya berbaki dua perlumbaan.
Sekiranya Gonzalez menang di Portugal, Guevara perlu sekurang-kurangnya menamatkan perlumbaan di podium untuk memastikan perebutan gelaran berlanjutan hingga ke Valencia. Jika Guevara sekadar menduduki tempat keempat, dia akan ketinggalan 25.5 mata dengan hanya 25 mata maksimum masih boleh dikutip dalam perlumbaan terakhir.
Bola sepak x MotoGP
Walaupun Grand Prix Portugal berlangsung jauh di selatan Lisbon, kelab bola sepak Sporting CP sekali lagi memeriahkan acara tersebut menerusi kerjasama promosi bersama MotoGP.
Pemain pertahanan kanan Sepanyol, Ivan Fresneda, dan pemain tengah Portugal, Joao Simoes, tampil dalam bahan promosi tahun ini.
Ia meneruskan penglibatan kelab tersebut selepas pemain antarabangsa Uruguay, Maxi Araujo, muncul dalam video promosi Grand Prix Portugal tahun lalu.