Walaupun Piala Dunia FIFA dan pelbagai kejohanan bola sepak lain dijangka mendominasi tajuk utama dunia pada tahun 2026, ia sebenarnya turut dihiasi barisan acara sukan mega dari pelbagai cabang lain. Dengan kejohanan bertaraf dunia berlangsung di hampir setiap benua, 2026 berpotensi menjadi antara tahun paling padat dan paling signifikan dalam era sukan moden,
Berikut antara acara bukan bola sepak terbesar yang bakal mencorakkan 2026.
Sukan Olimpik & Paralimpik Musim Sejuk
6-22 Februari & 6-15 Mac
Itali kembali ke pentas Olimpik & Paralimpik Musim Sejuk buat pertama kali sejak 2006 apabila Milan-Cortina menjadi tuan rumah temasya dwi-acara terbesar musim sejuk dunia. Sukan ski pendakian gunung bakal dipertandingkan buat kali pertama sebagai acara pingat Olimpik, manakala edisi Paralimpik ini pula dijangka menjadi antara yang terbesar dari segi penyertaan, mencerminkan perkembangan pesat sukan musim sejuk di peringkat global.
Piala Dunia Kriket ICC T20 (Lelaki & Wanita)
7 Februari-8 Mac & 12 Jun-5 Julai
India dan Sri Lanka menjadi tuan rumah kejohanan lelaki, manakala England dan Wales mengendalikan kejohanan wanita. Dengan kriket kini disahkan kembali ke Olimpik Los Angeles 2028, kedua-dua kejohanan ini akan menjadi penanda aras penting kepada fasa pengembangan global kriket seterusnya.
Klasik Besbol Dunia
5-17 Mac
Selepas mencetuskan fenomena global pada 2023, World Baseball Classic kembali dengan gembar-gembur dan jangkaan yang lebih besar. Jepun selaku juara bertahan yang diketuai Shohei Ohtani bakal dicabar kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Republik Dominika, Venezuela, Mexico dan Korea Selatan. Penyertaan penuh pemain MLB sekali lagi dijangka, mengukuhkan status kejohanan ini sebagai kejuaraan dunia sebenar.
Kejohanan Dunia Ping Pong Berpasukan
April 28-May 10
London menjadi tuan rumah edisi seratus tahun kejohanan ini, tepat satu abad selepas kejohanan pertama dianjurkan pada 1926, tahun sama penubuhan ITTF. China terus berstatus kuasa mutlak, namun peningkatan prestasi Jepun, Korea Selatan, Jerman dan Perancis membuktikan jurang dominasi semakin mengecil.
UFC White House
June 14
UFC bakal menganjurkan acara khas di White House. Dengan sokongan terbuka Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dan CEO UFC, Dana White, acara ini dijangka menjadi salah satu pertunjukan sukan paling ikonik sepanjang dekad ini.
Kejohanan Negara-Negara Ragbi
4 Julai-29 November
Edisi sulung Nations Championship menandakan pembaharuan paling besar dalam struktur ragbi antarabangsa moden. Kejohanan ini menghimpunkan 12 kuasa utama dunia termasuk England, Perancis, New Zealand, Australia, Afrika Selatan serta jemputan khas Jepun dan Fiji.
Sukan Komanwel
23 Julai-2 Ogos
Selepas Victoria menarik diri sebagai tuan rumah asal, edisi 2026 diselamatkan oleh Glasgow. Namun, hanya 10 sukan akan dipertandingkan selepas beberapa acara utama seperti badminton, ping pong, gimnastik dan hoki padang digugurkan. Walaupun dalam skala yang lebih kecil, temasya ini tetap membawa nilai sejarah dan simbolik yang besar dalam dunia sukan Komanwel.
Piala Dunia Hoki FIH (Lelaki & Wanita)
14-30 Ogos
Buat kali ketiga dalam sejarah, kejohanan hoki lelaki dan wanita dianjurkan serentak di negara yang sama. Menariknya, setiap edisi sebelum ini turut melibatkan Belanda, dengan Belgium kali ini tampil sebagai rakan tuan rumah.
Sukan Asia & Para Asia
19 September-4 Oktober & 18-24 Oktober
Jepun menjadi tuan rumah Sukan Asia buat kali ketiga selepas Tokyo 1958 dan Hiroshima 1994, dan kali pertama menganjurkan Sukan Para Asia. Bertempat di wilayah Aichi dan bandar Nagoya, program Sukan Asia 2026 menghimpunkan kesemua 32 sukan teras Olimpik bersama pelbagai disiplin tambahan termasuk wushu, kabaddi, sepak takraw, kurash, jujitsu, tarian sukan, luncur air, kriket, e-sukan, MMA dan padel. Sementara itu, sebanyak 18 acara sukan dijangka dipertandingkan dalam saingan Para Asia.
Piala Dunia Ragbi Liga (Lelaki, Wanita & Kerusi Roda)
15 Oktober-15 November
Tiga kejohanan dunia ini dianjurkan serentak buat kali terakhir sebelum dipisahkan kepada kitaran berasingan bermula 2027. Australia, New Zealand dan Papua New Guinea menjadi tuan rumah kepada festival ragbi liga terakhir yang menyatukan tiga kategori dalam satu edisi global.