Marco Bezzecchi memecahkan rekod MotoGP yang bertahan selama sedekad apabila menjuarai Grand Prix Amerika Syarikat 2026 pada hari Ahad.
Pelumba Aprilia Racing itu mencipta sejarah apabila melintasi garisan penamat di Circuit of the Americas untuk kemenangan kelima berturut-turut, sekali gus mencatat 121 pusingan mendahului secara berterusan dan mengatasi rekod terdahulu 103 milik Jorge Lorenzo pada 2015.
View this post on Instagram
Kemenangan itu tidak diraih dengan mudah. Walaupun sepatutnya bermula dari barisan hadapan, pelumba berusia 27 tahun itu dikenakan penalti dua petak grid kerana menghalang pelumba lain ketika sesi kelayakan.
Bezzecchi bagaimanapun melakukan permulaan yang baik untuk segera naik ke tempat kedua sebelum merampas pendahuluan dari Pedro Acosta di Selekoh 11.
View this post on Instagram
Selepas itu, beliau mengawal perlumbaan untuk menamatkan saingan di tempat pertama, 2.036 saat di hadapan rakan sepasukan Jorge Martin, sekali gus menghadiahkan kedudukan satu-dua buat Aprilia, dengan Acosta melengkapkan podium.
Pemegang pole Fabio Di Giannantonio menamatkan perlumbaan di tempat keempat, diikuti juara dunia bertahan Marc Marquez.
Kemenangan di GP Amerika Syarikat itu turut melonjakkan Bezzecchi kembali ke tangga teratas carta kejuaraan pelumba selepas kehilangan mata dalam perlumbaan sprint pada hari Sabtu.
Beliau turut mencatat pencapaian lagi di Austin apabila menjadi pelumba Itali ketiga yang meraih lima kemenangan berturut-turut dalam kelas perdana, serta pelumba pertama sejak Marc Marquez pada 2014 yang memulakan musim dengan tiga kemenangan berturut-turut.
View this post on Instagram



