FIFA pada Isnin menerbitkan laporan penuh yang mengesahkan penolakan rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung pelanggaran syarat kelayakan pemain naturalisasi.
Pada 3 November lalu, badan induk dunia bola sepak itu mengesahkan bahawa FAM telah menggunakan dokumen palsu dan menurunkan pemain tidak layak dalam beberapa perlawanan rasmi.
Tujuh pemain warisan terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Menurut FIFA, pemain-pemain tersebut menggunakan sijil kelahiran datuk dan nenek yang dipalsukan sebagai sebahagian proses mendapatkan kewarganegaraan Malaysia untuk mewakili skuad kebangsaan.
Jawatankuasa Rayuan FIFA memutuskan bahawa bukti yang dikemukakan jelas menunjukkan wujudnya pemalsuan dokumen secara sengaja.
Susulan itu, semua hukuman asal terhadap FAM dikekalkan, termasuk denda CHF 350,000.
Tujuh pemain terbabit turut mengekalkan penggantungan 12 bulan serta denda CHF 2,000 setiap seorang.
FIFA menegaskan ketidakaturan berkenaan telah memberi Malaysia kelebihan sukan yang tidak sewajarnya, termasuk dalam saingan Kelayakan Piala Asia AFC.
Jawatankuasa itu turut menyatakan bahawa hujahan prosedur yang dibangkitkan FAM tidak mengubah intipati kesalahan yang dilakukan.
Laporan tersebut turut mendedahkan bahawa pihak berkuasa di Brazil, Argentina, Belanda, Sepanyol dan Malaysia turut telah dimaklumkan untuk siasatan lanjut memandangkan kesalahan melibatkan dokumen palsu.
Sementara itu, FAM mengesahkan bahawa mereka akan membawa kes tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) untuk rayuan terakhir.
KENYATAAN RASMI PERSATUAN BOLASEPAK MALAYSIA (FAM)
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menerima keputusan rayuan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), di mana rayuan kami telah ditolak.
▶️ Baca penuh di https://t.co/qyAyDsdH9k#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/EDhVU0pF5Q
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) November 3, 2025



