World Baseball Classic (WBC) telah dianjurkan sejak 2006, dengan edisi tahun ini menjadi penganjuran keenam kejohanan tersebut.
Kuasa tradisional seperti Jepun dan Amerika Syarikat sering mendominasi kejohanan ini. Namun begitu, WBC juga terkenal dengan keputusan-keputusan mengejut yang menggoncang dunia besbol.
Malah dalam edisi kali ini, peminat telah menyaksikan Chinese Taipei mencatat kemenangan dramatik 5-4 ke atas Korea Selatan, manakala Jepun turut berdepan detik cemas sebelum menewaskan Australia.
Berikut lima kejutan paling diingati dalam sejarah WBC.
Australia mara ke suku akhir (2023)
Diletakkan dalam kumpulan sukar bersama Jepun dan Korea Selatan pada WBC 2023, jangkaan terhadap Australia agak rendah kerana mereka hanya mencatat dua kemenangan dalam beberapa penyertaan sebelum ini. Namun pasukan Southern Thunder mengejutkan dunia besbol dengan kemenangan 8-7 ke atas Korea Selatan, sekali gus membantu mereka mara ke suku akhir buat kali pertama dalam sejarah kejohanan.
Belanda tewaskan Korea Selatan di Seoul (2017)
Korea Selatan memasuki kejohanan 2017 sebagai tuan rumah dan antara pasukan pilihan. Namun kempen mereka mula goyah seawal perlawanan pertama selepas tewas kepada Israel. Kemudian Belanda menewaskan mereka 5-0 di hadapan penyokong sendiri di Seoul yang menyumbang kepada penyingkiran mengejut mereka di pusingan pertama.
Strong start to #WBC2017 for The Netherlands! They take a 5-0 victory over South Korea. pic.twitter.com/EL8reMWvFI
— World Baseball Classic (@WBCBaseball) March 7, 2017
Kemenangan dramatik Itali ke atas Mexico (2013)
Itali telah lama dianggap sebagai antara pasukan besbol terkuat di Eropah, tetapi jarang mencabar kuasa besar antarabangsa. Itu berubah pada 2013 apabila Azzurri mengejutkan Mexico 6-5 dalam aksi peringkat kumpulan yang dramatik.
Pukulan dua bes pada inning kesembilan oleh Anthony Rizzo membolehkan Itali memadam defisit lewat permainan. Kemenangan itu, diikuti kemenangan 14-4 ke atas Kanada, membantu Itali mara ke pusingan seterusnya.
#WBC #TeamItaly Classic Moments: 3/7/2013 vs Team Mexico … Anthony Rizzo’s go-ahead two-run double in the ninth propelled #Italy to a 6-5 win and opened their tournament with a bang. 🇮🇹 ⚾️ 🇺🇸 pic.twitter.com/NpKea2f3Lk
— Italian American Baseball Foundation (@IABF5) April 1, 2023
Belanda kejutkan Republik Dominika dua kali (2009)
Antara kejutan paling terkenal dalam sejarah WBC berlaku pada 2009. Republik Dominika memasuki kejohanan dengan barisan bintang MLB seperti David Ortiz, Jose Reyes dan Hanley Ramirez. Namun Belanda mengejutkan dunia besbol apabila menewaskan pasukan pilihan itu dua kali: pertama 3-2 dan kemudian 2-1 dalam perlawanan penyingkiran.
Gotta love an upset in the World Baseball Classic! 😱 pic.twitter.com/YsKJxx2ACn
— World Baseball Classic (@WBCBaseball) February 7, 2023
Cuba singkirkan Venezuela (2006)
Dalam edisi sulung 2006, Venezuela menurunkan skuad hebat yang dipenuhi bintang MLB seperti Johan Santana, Miguel Cabrera, Omar Vizquel dan Bobby Abreu. Sebaliknya, Cuba bergantung kepada pemain dari liga domestik mereka. Ramai pemerhati menjangkakan Cuba akan bergelut menentang bakat MLB.
Namun Cuba menghasilkan kemenangan dramatik 7-6 ke atas Venezuela sebelum mara ke perlawanan akhir, di mana mereka akhirnya muncul naib juara di belakang Jepun. Perjalanan luar biasa itu menjadikan Cuba kisah underdog pertama dalam sejarah World Baseball Classic.



