Previu A-League: Juan Mata dan Melbourne Victory buru kemenangan kelima berturut-turut

(Sumber gambar: Melbourne Victory/Facebook)

Musim perayaan Hari Krismas dan Tahun Baharu kini benar-benar berlalu dan setiap pasukan A-League perlu segera melupakan ‘hangover’ awal tahun. Dengan jadual padat tanpa rehat sehingga hujung Mac, hujung minggu ini menandakan permulaan fasa penting yang bakal membezakan pencabar kejuaraan sebenar daripada pasukan yang masih bergelut dengan kelemahan sendiri.

Saksikan semua perlawanan secara langsung di SPOTV NOW.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by SPOTV SEA (@spotvsea)

Brisbane Roar vs Auckland FC

9 Januari @ 4:35 petang (UTC+8)

Walaupun masih mendahului carta, Auckland FC sedang bergelut apabila tewas 3-1 kepada Newcastle Jets sebelum sekadar mencatat keputusan seri menentang Macarthur. Namun, mereka pastinya yakin untuk kembali ke landasan kemenangan berdepan Brisbane Roar yang hanya meraih satu kemenangan daripada lima perlawanan terakhir.

Skuad kendalian Steve Corica juga sedar kepentingan pertembungan empat teratas ini: kekalahan bakal membolehkan pasukan tuan rumah menyamai mereka di puncak liga.

Melbourne Victory vs Western Sydney Wanderers

10 Januari @ 2:00 petang (UTC+8)

Pasukan paling ‘in-form’ menentang pasukan paling tertekan. Melbourne Victory hadir dengan momentum empat kemenangan berturut-turut dan kini hanya empat mata di belakang pendahulu liga, manakala Wanderers masih buntu tanpa kemenangan dalam lima perlawanan.

Tugas pelawat semakin sukar selepas kehilangan pemain muda Alex Bonetig yang berhijrah ke Portland Timbers, sekali gus lebih lagi melemahkan benteng pertahanan. Perlawanan ini turut membawa elemen emosi tersendiri apabila Juan Mata buat pertama kali menentang bekas kelabnya sejak menyertai Victory.

Macarthur vs Sydney FC

10 Januari @ 4:35 petang (UTC+8)

Satu lagi pertembungan empat teratas menyaksikan Sydney FC berkunjung ke gelanggang Macarthur yang diam-diam membina momentum. The Bulls tidak tewas sejak hujung November dan membuktikan keupayaan mereka apabila mengikat Auckland FC awal minggu ini.

Ketahanan itu bakal menguji pasukan kendalian Ufuk Talay, yang melalui tempoh mencabar kebelakangan ini. Sydney tergelincir dari tangga teratas selepas tewas mengejut kepada Newcastle, diikuti penangguhan perlawanan menentang Auckland FC, sebelum bernasib baik meraih satu mata menentang Melbourne City minggu lalu.

Perth Glory vs Central Coast Mariners

10 Januari @ 6:45 petang (UTC+8)

Mariners membuka tahun baharu dengan penuh bergaya apabila membelasah Adelaide United 4-0 di tempat lawan, sekali gus menamatkan kemarau kemenangan enam perlawanan. Kemenangan itu turut disusuli pengesahan Warren Moon sebagai ketua jurulatih tetap, memberi suntikan motivasi tambahan buat pasukan apabila berdepan Perth Glory pada Sabtu.

Wellington Phoenix vs Adelaide United

11 Januari @ 10:00 pagi (UTC+8)

Adelaide United bertandang ke New Zealand dengan moral terjejas selepas mengalami kekalahan terbesar musim ini. Tanpa Luka Jovanovic, Yaya Dukuly dan Ethan Alagich yang terlibat dengan skuad bawah 23 tahun Australia, pasukan Airton Andrioli dibelasah 4-0 oleh Mariners di laman sendiri.

Wellington Phoenix pula tampak kembali stabil selepas fasa goyah. Dua kemenangan daripada tiga perlawanan terakhir, termasuk kemenangan 3-0 ke atas Brisbane Roar walaupun beraksi dengan 10 pemain, memberi isyarat kebangkitan. Tambahan pula, kehadiran pertahanan baharu Bill Tuiloma dari MLS dijangka mengukuhkan barisan belakang tuan rumah.

Melbourne City vs Newcastle Jets

11 Januari @ 2:00 petang (UTC+8)

Pusingan ini diakhiri dengan pertembungan menarik antara pertahanan terbaik liga dan jentera serangan paling berbisa. Newcastle Jets telah menjaringkan 23 gol musim ini, dengan Lachlan Rose dan Alexander Badolato mengetuai barisan serangan yang sedang berada pada tahap terbaik. Malah, 12 daripada jumlah tersebut dihasilkan dalam empat perlawanan terakhir.

Namun, Melbourne City kekal sebagai benteng yang sukar ditembusi. Selain hanya dibolosi 10 gol setakat ini yang merupakan antara rekod pertahanan terbaik liga, City juga pernah menewaskan Jets 1-0 dalam pertemuan bulan lalu. Jika ada pasukan yang mampu menyekat ketajaman Newcastle, statistik dan rekod semasa jelas memihak kepada City.

Jorge Martin: From Heaven to Hell

Coming into the season as the reigning World Champion, the Spaniard endured a nightmare year, as injury derailed his debut campaign with Aprilia

SPOTV NOW