Venus, Monfils antara penerima wildcard Terbuka AS 2026

Bekas juara Venus Williams dan Sloane Stephens bakal kembali beraksi di Terbuka AS selepas menerima tiket wildcard ke undian utama, manakala Gael Monfils dan Alexei Popyrin menjadi antara pilihan utama bagi kategori lelaki.

Persatuan Tenis Amerika Syarikat (USTA) mengumumkan senarai penerima wildcard pada Selasa, yang merangkumi bekas juara, pemain berpengalaman serta beberapa bakat muda tuan rumah.

Williams, juara dua kali Terbuka AS pada 2000 dan 2001, akan kembali ke Flushing Meadows pada usia 46 tahun.

Beliau akan disertai juara 2017, Stephens, manakala Carol Young Suh Lee, Reese Brantmeier dan Thea Frodin antara pemain muda Amerika Syarikat yang turut diberi peluang beraksi dalam undian utama.

Leolia Jeanjean dari Perancis dan Taylah Preston dari Australia pula memperoleh tempat menerusi perjanjian pertukaran wildcard antara Terbuka AS, Terbuka Perancis dan Terbuka Australia.

Bagi kategori lelaki, Monfils akan kembali ke New York dalam musim terakhir karier profesionalnya, dengan pemain Perancis itu dan Popyrin turut menerima wildcard menerusi perjanjian berkenaan.

Pemain tuan rumah Michael Zheng, Martin Damm, J.J. Wolf, Sebastian Gorzny dan Jack Kennedy turut diberikan tempat dalam undian utama.

Namun, bekas juara 2016, Stan Wawrinka, tidak tersenarai sebagai penerima wildcard meskipun turut mengharungi musim terakhir dalam kariernya. Ini bermakna pemain Switzerland itu dijangka terlepas Terbuka AS sedekad selepas menjulang trofi di New York.

Finalis 2014, Kei Nishikori, pula hanya menerima wildcard ke pusingan kelayakan dan perlu merebut tempat dalam undian utama menerusi laluan tersebut.

Terbuka AS 2026 akan berlangsung di New York hujung bulan ini dan dijadualkan disiarkan secara langsung menerusi SPOTV NOW.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by US Open (@usopen)