Pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner, terpaksa melupakan Terbuka AS 2026 selepas kecederaan lutut kanan yang dialaminya masih belum pulih sepenuhnya, hanya beberapa hari sebelum Grand Slam terakhir musim ini bermula.
Pemain Itali itu mengesahkan keputusannya pada Jumaat selepas kembali menjalani latihan di Monte Carlo, namun hasil penilaian bersama pasukan perubatannya mendapati beliau masih memerlukan lebih banyak masa untuk pulih.
View this post on Instagram
“Walaupun saya sudah bekerja keras bersama pasukan dan kakitangan perubatan, kami terpaksa membuat keputusan sukar bahawa saya tidak dapat beraksi di Terbuka AS tahun ini,” tulis Sinner menerusi media sosial.
“Kami kembali ke gelanggang di Monte Carlo sejak beberapa hari lalu dan mendapati saya masih memerlukan lebih banyak masa untuk pulih daripada masalah lutut kanan.
“Sudah tentu saya sangat sedih dan kecewa kerana New York cukup istimewa buat saya. Saya benar-benar tidak sabar untuk kembali beraksi dalam suasana hebat di hadapan peminat di sana.”
Sinner tidak beraksi sejak memenangi gelaran Grand Slam kelimanya di Wimbledon, dengan masalah lutut itu turut memaksanya terlepas Terbuka Kanada dan Terbuka Cincinnati.
Keputusan tersebut juga bermakna tiada ulangan final Terbuka AS tahun lalu menentang Carlos Alcaraz, yang sehari sebelumnya mengesahkan akan kembali mempertahankan kejuaraan selepas empat bulan berehat akibat kecederaan pergelangan tangan kanan.
View this post on Instagram
Alcaraz tidak beraksi secara kompetitif sejak April dan terlepas Terbuka Perancis, Wimbledon serta kejohanan gelanggang keras di Kanada dan Cincinnati. Namun, pemain Sepanyol itu sudah kembali menjalani latihan penuh menjelang penampilannya di New York.
Kepulangan Alcaraz kini menjadi lebih menarik susulan ketiadaan Sinner, dengan juara bertahan itu antara pilihan utama dalam saingan perseorangan lelaki yang turut menampilkan Alexander Zverev, Novak Djokovic dan Felix Auger-Aliassime.
Djokovic pula akan meneruskan pemburuan gelaran Grand Slam ke-25, namun tahap kecergasan pemain berusia 39 tahun itu masih menjadi persoalan selepas mengharungi siri gelanggang keras Amerika Utara yang mencabar.
Ketiadaan Sinner pastinya membuka lagi perebutan gelaran di New York, selepas pemain Itali itu muncul juara pada 2024 sebelum tewas kepada Alcaraz dalam final tahun lalu.
Saingan utama Terbuka AS 2026 bermula pada 30 Ogos di Flushing Meadows dan akan disiarkan secara langsung menerusi SPOTV NOW.



