Masalah brek jejas Marquez di Austria

Marc Marquez mendedahkan masalah pada brek depan menjadi punca dia bergelut di Grand Prix Austria, sekali gus menyaksikan pendahulu kejuaraan MotoGP kembali menjadi milik Jorge Martin.

Pelumba Ducati itu bermula dari petak kedua di Red Bull Ring pada Ahad, namun gagal mengekalkan rentak sejak awal perlumbaan sebelum menamatkan saingan di tempat kelima, lebih tujuh saat di belakang pemenang Pedro Acosta.

Marquez kehilangan beberapa kedudukan pada awal perlumbaan sebelum bangkit untuk meraih tempat kelima.

Selepas perlumbaan, pelumba berusia 33 tahun itu menjelaskan brek depannya tidak memberikan tindak balas yang konsisten, terutama pada separuh awal perlumbaan.

“Sejak perlumbaan bermula, saya ada masalah dengan brek depan,” kata Marquez.

“Saya benar-benar bergelut pada bahagian awal perlumbaan dan sebab itulah saya melakukan kesilapan besar di Selekoh 1. Memang sukar untuk mengawalnya.

“Setiap kali membrek, rasa pada tuil brek berbeza. Ia agak berbahaya, tetapi kami masih berjaya menyelamatkan keadaan dengan tempat kelima.”

Masalah itu turut memberi kesan kepada kedudukan Marquez dalam perebutan kejuaraan.

Kemenangan Martin dalam Sprint diikuti tempat kedua dalam Grand Prix membolehkan pelumba Aprilia itu kembali ke puncak dengan 306 mata, 12 mata mengatasi Marquez.

Perebutan gelaran kini beralih ke Motegi untuk Grand Prix Jepun, dengan Marquez berpeluang merampas semula pendahulu kejuaraan.

Saksikan musim MotoGP 2026 secara langsung menerusi SPOTV NOW.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by MotoGP™ (@motogp)