Acosta hadiah kemenangan pertama MotoGP buat KTM

(Diego Sperani/MotoGP)

Pedro Acosta menyifatkan kemenangan pertamanya dalam MotoGP di Grand Prix Austria sebagai ganjaran buat KTM selepas pengeluar itu bangkit daripada masalah kewangan yang hampir menjejaskan masa depannya dalam kejuaraan.

Pelumba Sepanyol itu bangkit daripada kemalangan dalam Sprint pada Sabtu untuk menewaskan Jorge Martin di Red Bull Ring, sekali gus akhirnya meraih kemenangan yang dinantikan sejak membuat penampilan sulung MotoGP.

Kejayaan itu lebih bermakna buat Acosta kerana diraih di laman sendiri KTM dalam musim terakhirnya bersama pengeluar Austria tersebut sebelum menyertai Ducati pada 2027.

Ia juga menamatkan penantian Acosta untuk kembali merasai kemenangan sejak Grand Prix Indonesia 2023, ketika dia meraih kemenangan terakhirnya dalam Moto2 tidak lama selepas perpindahannya ke MotoGP bersama Tech3 disahkan.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by SPOTV SEA (@spotvsea)

“Akhirnya! Saya sempat teringat kemenangan terakhir saya [dalam Moto2] di Indonesia pada 2023. Ketika itu juga Tech3 baru sahaja mengumumkan saya akan menyertai pasukan MotoGP mereka,” katanya selepas perlumbaan.

“Lebih beremosi apabila dapat melakukannya di laman KTM dan Red Bull. Saya sangat gembira untuk mereka dan juga diri sendiri.”

Kemenangan Acosta hadir selepas KTM melalui tempoh sukar apabila syarikat induknya berdepan proses insolvensi pada penghujung 2024 sebelum menjalani penstrukturan semula secara besar-besaran.

Musim 2025 juga bukan mudah buat Acosta apabila KTM sukar mencabar secara konsisten di kelompok depan. Namun, prestasi jentera dan pelumba berusia 22 tahun itu menunjukkan peningkatan ketara sepanjang musim ini.

“KTM berdepan pelbagai kesukaran tahun lalu, malah untuk terus bersaing dalam kejuaraan pun bukan mudah.

“Akhirnya mereka berjaya keluar daripada masalah kewangan itu dan kami pula berjaya mengembalikan potensi jentera. Apa yang kami capai memang cukup luar biasa.

“Jadi saya hanya mampu mengucapkan terima kasih. Perjalanan untuk sampai ke tahap ini sangat panjang, tetapi sudah tentu kami akan menikmati kejayaan ini,” tambahnya.

Kejayaan Acosta turut menamatkan kemarau KTM dalam MotoGP sejak Miguel Oliveira menjuarai Grand Prix Thailand 2022 dan merupakan kemenangan pertama KTM di laman sendiri sejak aksi dramatik Brad Binder di Red Bull Ring pada 2021.