Reijnders tidak kesal pilih Liga Pro Saudi

Tijjani Reijnders tidak berselindung mengenai faktor kewangan di sebalik keputusannya meninggalkan Manchester City untuk menyertai Al Qadsiah, sambil menegaskan perpindahan ke Liga Pro Saudi bukan bermakna kariernya di pentas tertinggi sudah berakhir.

Pemain tengah Belanda itu berhijrah ke Arab Saudi pada Ogos selepas hanya semusim bersama City dan kini beraksi di bawah kendalian Brendan Rodgers.

Bagi Reijnders, tawaran daripada Al Qadsiah terlalu baik untuk dilepaskan kerana ia bukan sahaja menjamin kehidupannya selepas bersara, malah masa depan keluarganya untuk beberapa generasi.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Tijjani Reijnders (@tijjanireijnders)

“Apabila saya berhenti bermain nanti, saya tidak mahu perlu bekerja lagi,” katanya kepada stesen penyiaran Belanda, SBS6.

“Mungkin selepas kontrak bersama Manchester City pun saya sudah tidak perlu bekerja, tetapi perpindahan ini membolehkan saya menjaga masa depan generasi keluarga saya selepas ini.

“Dengan kontrak ini, cucu saya pun boleh mempunyai kehidupan yang terjamin. Jadi, mengapa saya perlu menolaknya? Orang boleh bercakap tentang soal moral, tetapi saya rasa sesiapa pun akan berkata ya jika menerima tawaran seperti ini.”

Namun, wang bukan satu-satunya tarikan buat bekas pemain AC Milan itu.

Reijnders percaya kualiti Liga Pro Saudi sering dipandang rendah dan merasakan kehadiran ramai pemain ternama menjadikan saingan itu lebih baik daripada Eredivisie di Belanda.

“Pada pandangan saya, liga Saudi dengan semua nama besar yang ada di sana berada pada tahap lebih tinggi daripada Eredivisie.

“Kalau mahu menilai mutu bola sepak di sana, tengok dahulu sebelum membuat kesimpulan,” tambahnya.

Reijnders turut mengakui dia pada mulanya mempunyai keraguan sama seperti kebanyakan pemain lain bahawa meninggalkan Eropah ketika berada di kemuncak karier mungkin menyukarkan peluang untuk kembali suatu hari nanti.

Perbualan bersama Rodgers bagaimanapun meyakinkannya bahawa pintu untuk kembali ke Eropah masih terbuka.

“Saya rasa ramai mempunyai tanggapan apabila anda mengambil langkah seperti ini, karier sebagai pemain di peringkat tertinggi sudah selesai. Pada awalnya saya juga berfikiran begitu,” katanya.

“Dia [Rodgers] memberitahu saya, saya boleh bermain di sini selama tiga atau empat tahun sebelum kembali ke Eropah. Sekarang pun sudah ada banyak contoh pemain yang melakukannya.

“Itu juga yang saya mahu lakukan.”