Malaysia dan Filipina menjadi dua negara dengan wakil terbanyak dalam senarai pelumba yang dijemput menyertai sesi pemilihan Moto4 Asia Cup 2027 apabila masing-masing mempunyai 13 pelumba muda.
Seramai 83 pelumba dari 17 negara dan wilayah akan menjalani pemilihan selama dua hari di Sepang International Kart Circuit pada 27 dan 28 Oktober.
View this post on Instagram
Senarai itu terdiri daripada 79 pelumba lelaki dan empat wanita yang akan bersaing untuk merebut tempat dalam grid musim 2027.
Moto4 Asia Cup yang sebelum ini dikenali sebagai Asia Talent Cup merupakan antara laluan penting buat pelumba muda Asia untuk melangkah ke pentas dunia.
Antara graduannya ialah juara dunia Moto2 2024 yang kini beraksi dalam MotoGP, Ai Ogura, selain Somkiat Chantra dan Senna Agius.
Veda Ega Pratama dan Mario Aji dari Indonesia turut berjaya melangkah ke paddock Grand Prix, manakala Hakim Danish dari Malaysia kini sudah berada dalam Moto3.
Pemilihan pada Oktober ini bakal menentukan kumpulan pelumba seterusnya yang berpeluang mengikuti jejak mereka apabila musim 2027 bermula.
Saingan Moto4 Asia Cup 2026 pula kini diterajui pelumba Jepun, Hayato Chishiki yang mengumpul 70 mata selepas empat perlumbaan pertama.
Rakan senegaranya, Waku Kunitate berada enam mata di belakang, manakala pelumba Malaysia, Qabil Irfan menduduki tempat ketiga dengan 62 mata.
View this post on Instagram
Sesi Pemilihan Moto4 Asia Cup 2027
| Negara/Wilayah | Jumlah Pelumba |
|---|---|
| Malaysia | 13 |
| Filipina | 13 |
| China | 9 |
| Thailand | 9 |
| Jepun | 8 |
| Indonesia | 7 |
| India | 6 |
| Australia | 3 |
| Korea Selatan | 3 |
| Turkiye | 3 |
| Chinese Taipei | 2 |
| Sri Lanka | 2 |
| Afghanistan | 1 |
| Fiji | 1 |
| Kuwait | 1 |
| Palestin | 1 |
| Vietnam | 1 |



