Bintang MotoGP beri sokongan kepada pelumba muda MotoMini di Valencia

(FIM MotoMini World Series/Instagram)

Barisan bintang MotoGP meluangkan masa bertemu dan memberikan kata-kata semangat kepada pelumba muda yang memburu gelaran dunia masing-masing dalam saingan FIM MotoMini World Series Final di Valencia minggu ini.

Fabio Quartararo, Marco Bezzecchi, Enea Bastianini, Diogo Moreira dan Pedro Acosta antara pelumba yang hadir ke litar kart di Litar Ricardo Tormo, yang menjadi venue pertandingan dari 24 hingga 26 November menjelang pusingan penutup musim MotoGP.

Kehadiran mereka memberi peluang kepada pelumba muda untuk berinteraksi dengan bintang MotoGP, dengan MotoMini menjadi antara platform awal buat pelumba berusia 10 hingga 16 tahun dalam usaha mereka meniti karier ke pentas Grand Prix.

Pelumba Malaysia, Al-Adam Mikail, muncul wakil Asia Tenggara dengan pencapaian terbaik apabila menduduki tempat ketiga keseluruhan kategori 160cc selepas hampir memenangi perlumbaan Super Final pada Khamis.

Pelumba berusia 12 tahun itu melintasi garisan penamat hanya 0.069 saat di belakang wakil Sepanyol, Hugo Romera, yang merangkul gelaran dunia hasil kemenangan tersebut.

Al-Adam konsisten mencabar kelompok hadapan sepanjang hari dengan menduduki tempat ketiga dalam perlumbaan pertama dan keempat dalam perlumbaan kedua sebelum meraih tempat kedua dalam Super Final yang menawarkan mata berganda.

Dia menamatkan saingan dengan kutipan 69 mata, di belakang Romera (90) dan pelumba Jepun, Rentaro Yoshimura (82).

Kejayaan itu melengkapkan satu lagi detik manis buat juara kebangsaan kategori 160cc tersebut, yang sebelum ini diberi penghormatan mengibarkan bendera penamat perlumbaan Moto3 di Sepang.

Pelumba Indonesia, Muhammad Ali Imamudin, yang turut diberi penghormatan sama dalam perlumbaan Moto2 di Mandalika, menduduki tempat ketujuh keseluruhan kategori 160cc, manakala seorang lagi wakil Malaysia, Qaish Isyraf, di tempat kesembilan.

Malaysia turut mempunyai dua wakil dalam kategori 190cc, dengan Qasha Irfan Azlan menduduki tempat keenam keseluruhan, manakala Ahmad Malek Ridha di tempat ke-13.

Pelumba Itali, Francesco Marzo, merangkul gelaran dunia kategori itu dengan kelebihan hanya satu mata mengatasi wakil China, Huang Tingnuo.

Pertandingan yang menghimpunkan 72 pelumba dari lebih 20 negara itu bukan sahaja memberi pendedahan kepada pelumba muda dalam saingan bertaraf antarabangsa, malah peluang untuk bertemu bintang-bintang Grand Prix.

Barisan pelumba MotoGP kini mengalihkan tumpuan kepada Grand Prix Valencia yang berlangsung dari 27 hingga 29 November.

Saksikan pusingan penutup musim MotoGP secara langsung menerusi SPOTV NOW.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by SPOTV SEA (@spotvsea)