Bagnaia sah terlepas GP Valencia

Francesco Bagnaia terpaksa melupakan hasrat untuk mengakhiri kariernya bersama Ducati di Grand Prix Valencia hujung minggu ini kerana masih belum pulih daripada kecederaan retak tulang kaki.

Juara dunia MotoGP dua kali itu disahkan tidak berlumba selepas menjalani pemeriksaan perubatan pada Rabu, sekali gus menyaksikan Iker Lecuona terus bergandingan dengan juara dunia 2026, Marc Marquez, di Ducati.

Bagnaia menjalani pembedahan selepas mengalami kecederaan ketika terjatuh dalam perlumbaan Sprint di Qatar, sebelum turut terlepas Grand Prix Portugal.

Meskipun tidak dapat berlumba, pelumba Itali berusia 29 tahun itu dijangka tetap hadir ke Valencia untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Ducati selepas lapan musim bersama pengeluar tersebut sebelum menyertai Aprilia.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Ducati Corse (@ducaticorse)

Selain Bagnaia, Maverick Vinales dan Toprak Razgatlioglu turut disahkan tidak akan beraksi di Valencia, manakala status Joan Mir masih belum diketahui.

Pol Espargaro sekali lagi diberi tanggungjawab menggantikan Vinales di Red Bull KTM Tech3.

Masalah kecederaan bahu yang berlarutan menyebabkan Vinales tidak dapat beraksi buat kali terakhir sebelum mengakhiri kariernya sebagai pelumba sepenuh masa MotoGP.

Razgatlioglu pula masih menjalani pemulihan selepas pembedahan bahu susulan kecederaan yang dialaminya di Mandalika, dengan Augusto Fernandez kekal sebagai penggantinya di Prima Pramac Yamaha.

Mir berharap dapat kembali berlumba di Valencia selepas masalah kesihatan memaksanya menarik diri daripada Grand Prix Qatar dan Portugal, dengan Jake Dixon menggantikannya dalam kedua-dua pusingan itu.

Sementara itu, Jorge Martin dijangka terus beraksi meskipun belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan pergelangan tangan.

Walaupun gelaran dunia kategori pelumba sudah menjadi milik Marquez, Aprilia masih mempunyai misi untuk menjuarai kategori pengeluar di Valencia.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by MotoGP™ (@motogp)

Dalam saingan Moto2, Matteo Ferrari kekal bersama Italjet Gresini bagi menggantikan Sergio Garcia yang masih belum pulih daripada kecederaan tangan.

Manuel Gonzalez pula dijangka cergas sepenuhnya untuk menghadapi penentuan gelaran dunia Moto2 di Valencia meskipun terlibat dalam kemalangan di Portugal.

Dia mendahului pencabar terdekatnya, Izan Guevara, dengan kelebihan hanya 4.5 mata menjelang perlumbaan terakhir musim ini.

Jose Antonio Rueda dan Filip Salac juga dijangka kembali beraksi selepas gagal menamatkan perlumbaan di Portimao.

Dalam kategori Moto3, Matteo Bertelle berharap dapat beraksi semula di Valencia selepas terpaksa berehat akibat keretakan tulang tangan kiri.

Tempatnya pada Grand Prix Portugal sebelum ini diisi oleh Benat Fernandez.

Saksikan Grand Prix Valencia secara langsung menerusi SPOTV NOW.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by MotoGP™ (@motogp)