Gelaran dunia MotoGP menanti Marquez di Portugal

(Diego Sperani/MotoGP)

Marc Marquez berpeluang mengesahkan kejuaraan dunia MotoGP kelapannya, sekali gus gelaran dunia ke-10 sepanjang karier, seawal perlumbaan Sprint Grand Prix Portugal selepas melebarkan kelebihan kepada 60 mata di Qatar.

Pelumba Ducati itu menamatkan perlumbaan di Lusail di tempat kedua di belakang Marco Bezzecchi, manakala Jorge Martin menduduki tempat ketujuh. Keputusan tersebut menyaksikan dua pelumba Aprilia itu menjadi satu-satunya pencabar Marquez yang masih berpeluang merebut gelaran dunia.

Dengan hanya dua pusingan berbaki di Portugal dan Valencia, perebutan gelaran pelumba semakin hampir ke penghujungnya. Namun, Ducati dan Aprilia masih bersaing sengit bagi kejuaraan pengeluar dengan perbezaan hanya lapan mata. Aprilia Racing pula semakin hampir meraih kejuaraan pasukan dan hanya memerlukan sembilan mata lagi untuk mengesahkan gelaran tersebut.

Berikut kedudukan dan kemungkinan penentuan kejuaraan menjelang Grand Prix Portugal, yang boleh disaksikan secara langsung menerusi SPOTV NOW.

Kejuaraan pelumba: Marquez di ambang gelaran dunia

Marquez mendahului kedudukan keseluruhan dengan 431 mata, diikuti Martin (371) dan Bezzecchi (357), ketika maksimum 74 mata masih boleh dikutip dalam dua pusingan terakhir.

Kemenangan dalam Sprint di Portugal sudah cukup untuk Marquez mengesahkan kejuaraan dunia. Meskipun Martin menamatkan perlumbaan di tempat kedua, dia masih akan ketinggalan 63 mata dengan hanya 62 mata berbaki.

Bagaimanapun, Marquez tidak semestinya perlu memenangi perlumbaan lagi untuk bergelar juara. Dia hanya memerlukan 14 mata daripada baki dua Sprint dan dua perlumbaan utama untuk memastikan gelaran dunia menjadi miliknya.

Jumlah itu akan membawanya kepada 445 mata, iaitu kutipan maksimum yang masih mampu dicapai Martin. Jika kedua-duanya terikat, Marquez akan muncul juara berdasarkan jumlah kemenangan perlumbaan utama yang lebih banyak.

Sekiranya berjaya mengutip 14 mata di Portimao, Marquez akan mengesahkan kejuaraan dengan satu pusingan berbaki. Malah, dua keputusan tempat ketujuh dalam baki perlumbaan utama sahaja sudah memberikannya 18 mata.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by MotoGP™ (@motogp)

Bagi Martin, dia perlu mengutip sekurang-kurangnya 61 mata lebih banyak daripada Marquez dalam baki saingan, selain memastikan kedudukannya mengatasi Bezzecchi. Walaupun Martin memenangi kesemua empat perlumbaan yang tinggal, dia masih memerlukan Marquez mengutip tidak lebih daripada 13 mata.

Untuk memastikan perebutan gelaran berlanjutan ke Valencia, Martin mesti meraih sekurang-kurangnya 24 mata lebih banyak daripada Marquez di Portugal supaya jurang antara mereka mengecil kepada 36 mata atau kurang.

Peluang Bezzecchi pula jauh lebih tipis. Dia perlu memenangi kesemua empat perlumbaan berbaki, sementara Marquez langsung tidak mengutip sebarang mata. Keadaan itu akan menyaksikan kedua-duanya terikat dengan 431 mata, tetapi Bezzecchi akan bergelar juara berdasarkan lapan kemenangan perlumbaan utama berbanding tujuh milik Marquez.

Dalam senario sama, meskipun Martin menamatkan semua empat perlumbaan di tempat kedua, dia masih akan ketinggalan dua mata di belakang rakan sepasukannya itu. Sebarang kutipan mata oleh Marquez pula sudah cukup untuk menamatkan peluang Bezzecchi.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by MotoGP™ (@motogp)

Kejuaraan pengeluar: Ducati, Aprilia dipisahkan lapan mata

Ducati masih mendahului kejuaraan pengeluar dengan 569 mata, hanya lapan mata di depan Aprilia yang mengumpul 561 mata. Bagi kategori ini, hanya keputusan pelumba terbaik daripada setiap pengeluar diambil kira untuk kutipan mata dalam setiap perlumbaan.

Ducati boleh mengesahkan kejuaraan di Portugal sekiranya mengutip sekurang-kurangnya 30 mata lebih banyak daripada Aprilia. Keputusan itu akan memberikan Ducati kelebihan 38 mata menjelang Valencia, ketika hanya maksimum 37 mata masih boleh direbut.

Aprilia pula belum boleh mengesahkan gelaran pengeluar di Portimao walaupun berjaya mengutip maksimum 37 mata dan Ducati gagal memperoleh sebarang mata.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by isa (@clarissaalyona)

Kejuaraan pasukan: Aprilia hanya perlukan sembilan mata

Aprilia Racing kini mendahului kejuaraan pasukan dengan 728 mata, jauh mengatasi Ducati Lenovo Team yang mengumpul 604 mata. Kelebihan 124 mata itu meletakkan Aprilia di ambang kejuaraan ketika maksimum 132 mata masih tersedia.

Berbeza dengan kejuaraan pengeluar, mata daripada kedua-dua pelumba diambil kira dalam kedudukan pasukan. Jika kedua-dua pelumba sesebuah pasukan menamatkan Sprint di tempat pertama dan kedua, mereka akan memperoleh 21 mata, manakala keputusan sama dalam perlumbaan utama memberikan 45 mata.

Aprilia hanya memerlukan sembilan mata lagi untuk memastikan gelaran pasukan menjadi miliknya, sesuatu yang boleh dicapai seawal Sprint di Portugal.

Ducati pula mesti mengutip sekurang-kurangnya 125 mata lebih banyak daripada Aprilia untuk menamatkan musim di kedudukan lebih tinggi tanpa perlu bergantung pada keputusan seri mata. Ini bermakna, walaupun Ducati mengutip mata maksimum, mereka masih memerlukan Aprilia memperoleh tidak lebih daripada tujuh mata dalam baki saingan.

Tugas Ducati bertambah sukar susulan kecederaan Francesco Bagnaia di Lusail. Bagnaia mengalami keretakan dua tulang pada kaki kanannya selepas terjatuh dalam perlumbaan Sprint, sekali gus berisiko terlepas baki perlumbaan musim ini.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by SPOTV SEA (@spotvsea)