Grand Prix Thailand 2027 bakal mencipta sejarah apabila menjadi perlumbaan pertama dalam era baharu MotoGP yang menyaksikan perubahan teknikal terbesar kejuaraan itu dalam tempoh lebih sedekad.
MotoGP mengesahkan Litar Antarabangsa Chang di Buriram akan sekali lagi menjadi tuan rumah perlumbaan pembukaan musim dari 5 hingga 7 Mac 2027.
Ia bukan sahaja kali ketiga berturut-turut Thailand diberi penghormatan membuka tirai musim, malah menjadi medan sulung kepada pelaksanaan peraturan teknikal baharu.
View this post on Instagram
Antara perubahan terbesar ialah kapasiti enjin dikurangkan daripada 1,000cc kepada 850cc, Pirelli mengambil alih Michelin sebagai pembekal tayar tunggal, manakala semua pasukan diwajibkan menggunakan bahan api mampan sepenuhnya.
Era baharu itu turut bermula ketika MotoGP melalui antara musim perpindahan pelumba paling rancak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Empat bekas juara dunia sudah mengesahkan pertukaran pasukan menjelang musim 2027.
Jorge Martin meninggalkan Aprilia untuk menyertai pasukan utama Yamaha bersama Ai Ogura, manakala Francesco Bagnaia berhijrah ke Aprilia Racing bagi bergandingan dengan Marco Bezzecchi.
Fabio Quartararo pula menamatkan kerjasama panjangnya bersama Yamaha untuk menyertai Honda HRC, sementara Joan Mir akan memulakan cabaran baharu bersama Gresini Racing.
View this post on Instagram
Grid MotoGP turut menerima dua muka baharu apabila Daniel Holgado dinaikkan dari Moto2 untuk menjadi rakan sepasukan Mir di Gresini, manakala bekas juara dunia Moto3, David Alonso, bakal membuat penampilan sulung dalam kelas perdana bersama Honda.
Dengan jentera dan barisan pelumba yang tampil dalam wajah baharu, Grand Prix Thailand 2027 dijangka menjadi antara perlumbaan pembukaan musim paling bersejarah dalam era moden MotoGP.



