Antonsen dedahkan pencemaran udara di sebalik penarikan diri daripada India Open
Oleh Lee Seng Foo4 bulan lalu
Anders Antonsen mendedahkan bahawa kebimbangan terhadap pencemaran udara menjadi punca di sebalik keputusannya menarik diri daripada India Open di New Delhi.
Namun, berbeza dengan pemain lain yang tidak dapat beraksi akibat kecederaan atau sakit, beliau menyatakan kualiti udara yang buruk sebagai sebab utama ketidakhadirannya.
“Ramai yang tertanya-tanya mengapa saya menarik diri daripada India Open buat kali ketiga berturut-turut,” tulisnya menerusi Instagram Story pada hari Rabu.
“Oleh kerana tahap pencemaran di Delhi ketika ini, saya tidak fikir ia sesuai untuk menganjurkan kejohanan badminton.
“Harap-harap keadaan akan menjadi lebih baik pada musim panas nanti apabila Kejohanan Dunia akan berlangsung di Delhi.”
Pemain berusia 28 tahun itu turut mendedahkan bahawa beliau didenda sebanyak AS$5,000 oleh Persekutuan Badminton Dunia berikutan penarikannya diri.
Antonsen, yang memulakan musim Jelajah Dunia BWF 2026 dengan kekalahan kepada Shi Yu Qi pada separuh akhir Terbuka Malaysia, dijadualkan kembali beraksi pada Masters Indonesia minggu hadapan.
Jorge Martin: From Heaven to Hell
Coming into the season as the reigning World Champion, the Spaniard endured a nightmare year, as injury derailed his debut campaign with Aprilia
Kejayaan Auckland FC menewaskan Sydney FC untuk menjuarai Grand Final A-League 2026 bukan sekadar menghadiahkan mereka gelaran liga pertama, malah meletakkan kelab New Zealand itu dalam kelompok yang cukup unik dalam bola sepak dunia.
Penyertaan rentas sempadan dalam liga domestik sememangnya bukan perkara biasa. Namun, lebih jarang lagi ialah kelab dari luar negara yang bukan sekadar bertanding, tetapi berjaya muncul juara liga utama di negara lain.
Berikut beberapa contoh kelab yang pernah melakar pencapaian serupa.
AS Monaco (Monaco → Perancis)
Walaupun berasal dari Monaco, AS Monaco sudah lama menjadi sebahagian daripada sistem bola sepak Perancis. Kelab itu muncul antara kuasa besar Ligue 1 dengan lapan gelaran liga, menjadikan mereka contoh paling terkenal bagi kelab luar negara yang berjaya menakluk liga negara jiran.
Singapura FA (Singapura → Malaysia)
Sebelum Singapura mempunyai struktur liga domestik moden, pasukan wakil negara itu merupakan antara peserta tetap dalam saingan bola sepak Malaysia. Mereka muncul juara liga utama Malaysia sebanyak dua kali pada 1985 dan 1994, selain kekal sebagai pasukan kedua paling berjaya dalam sejarah Piala Malaysia dengan 24 kejuaraan.
LionsXII (Singapura → Malaysia)
Singapura kembali ke saingan domestik Malaysia pada 2012 menerusi projek LionsXII. Pasukan itu terus mencuri perhatian apabila menamatkan musim sulung sebagai naib juara Liga Super Malaysia sebelum melangkah lebih jauh dengan menjuarai liga pada 2013. Mereka turut menambah Piala FA Malaysia pada 2015 sebelum projek itu ditamatkan dan pasukan berkenaan dibubarkan.
Albirex Niigata (S) (Jepun → Singapura)
Albirex Niigata (S) muncul sebagai antara kelab asing paling berjaya dalam sejarah bola sepak Singapura. Menyertai S.League pada 2004 sebagai kelab satelit kepada Albirex Niigata dari Jepun, mereka mula menjulang gelaran liga pada 2016 sebelum menambah lima lagi kejuaraan pada 2017, 2018, 2020, 2022 dan 2023.
Jika Albirex mendominasi dalam jangka panjang, Étoile pula mencipta impak segera. Kelab yang dibarisi majoriti pemain Perancis itu menjuarai S.League pada musim pertama mereka pada 2010, sekali gus menjadi kelab asing pertama meraih gelaran liga utama Singapura. Namun kelab itu hanya bertahan sehingga 2011 sebelum dibubarkan akibat masalah kewangan.
DPMM (Brunei → Singapura)
DPMM dari Brunei membuktikan mereka mampu bersaing di luar negara apabila menjuarai liga utama Singapura pada 2015 sebelum mengulangi kejayaan itu pada 2019. Kedua-dua gelaran tersebut menjadi pencapaian terbesar dalam sejarah kelab itu selepas bertahun-tahun beraksi di luar sistem liga domestik Brunei termasuk di Malaysia.
Derry City (Ireland Utara → Republik Ireland)
Walaupun berpangkalan di Ireland Utara, Derry City beraksi dalam liga Republik Ireland dan pernah dua kali muncul juara liga. Kejayaan mereka pada musim 1988/89 lebih manis apabila turut memenangi FAI Cup dan League Cup.
Berpangkalan di Oswestry tetapi beraksi dalam sistem liga Wales, The New Saints menjadi kuasa dominan dalam bola sepak Wales moden. Dengan 18 gelaran liga, mereka merupakan kelab paling berjaya dalam sejarah Cymru Premier, selain turut menikmati tempoh panjang dominasi dalam saingan piala domestik.
Juara NASCAR Cup Series dua kali, Kyle Busch, meninggal dunia pada usia 41 tahun, menurut pengesahan NASCAR pada Khamis.
Berita pemergiannya diumumkan hanya beberapa jam selepas keluarganya memaklumkan bahawa Busch dimasukkan ke hospital akibat sakit tenat dan tidak dapat beraksi pada perlumbaan Coca-Cola 600 hujung minggu ini.
Busch merupakan antara nama paling besar dalam era moden NASCAR, dengan kejayaan menjuarai Cup Series pada 2015 dan 2019.
Beliau juga memegang rekod sebagai pelumba paling banyak meraih kemenangan dalam tiga siri utama NASCAR dengan keseluruhan 234 kemenangan, sekali gus meletakkannya antara pelumba paling berjaya dalam sejarah sukan itu.
Busch masih bersaing sepenuh masa dalam Cup Series pada musim 2026, manakala kemenangan perlumbaan terakhirnya hadir pada 2023.
Selain kejayaan dalam Cup Series, beliau turut mencipta nama besar dalam Xfinity Series dan Truck Series, mengukuhkan reputasinya sebagai antara pelumba paling versatil dan prolifik pernah dilahirkan NASCAR.
Susulan berita pemergiannya, penghormatan mula membanjiri dunia permotoran apabila pasukan, pelumba dan peminat mengenang legasi salah seorang bintang terbesar NASCAR itu.
Cristiano Ronaldo akhirnya meraih gelaran liga pertamanya bersama Al Nassr selepas kelab itu mengesahkan kejuaraan Liga Pro Saudi musim 2025/26 dengan kemenangan 4-1 ke atas Damac pada aksi penutup musim.
Al Nassr turun dengan misi memastikan kemenangan atau keputusan mereka sekurang-kurangnya menyamai pencabar terdekat Al Hilal untuk mengekalkan kedudukan di puncak.
Sadio Mane dan Kingsley Coman terlebih dahulu meletakkan tuan rumah di depan sebelum Damac sempat merapatkan jurang menerusi Morlaye Sylla.
Namun dua jaringan Ronaldo pada minit ke-62 dan ke-80 memadamkan sebarang harapan kebangkitan pelawat dan memastikan kejuaraan menjadi milik Al Nassr.
Kejuaraan ini menamatkan kemarau tujuh tahun Al Nassr tanpa gelaran liga, selain menghadiahkan Ronaldo kejayaan domestik yang dinantikan sejak menyertai kelab itu pada Januari 2023.
Ia juga merupakan piala kedua pemain Portugal berusia 41 tahun itu bersama Al Nassr selepas kejayaan dalam Arab Club Champions Cup pada 2023.
Bekas pelumba Formula One (F1), David Coulthard, mengakui teruja selepas berpeluang menguji jentera Gen4 Formula E di jalanan Monte Carlo sempena hujung minggu Monaco E-Prix.
Pemenang 13 Grand Prix F1 itu diberi peluang memandu jentera generasi baharu Formula E yang bakal digunakan mulai musim depan dan disebut-sebut sebagai kereta terpantas pernah dibangunkan dalam sejarah kejuaraan itu.
Bagi Coulthard, pengalaman memandu Gen4 di litar jalan raya Monaco memberikan sensasi yang jauh berbeza daripada apa yang pernah dirasainya sebelum ini.
"Itu pecutan paling luar biasa yang pernah saya rasai di Monte Carlo, sedangkan saya pernah menang dua kali di sini," katanya.
"Daripada apa yang saya alami tadi, dan membayangkan bagaimana pelumba Formula E sebenar akan memandunya, mereka bakal merasai sesuatu yang belum pernah wujud dalam perlumbaan.
"Gen4 bukan sekadar lebih laju. Cara kereta ini bergerak juga berbeza, terutama dengan pacuan empat roda kekal. Setiap kali keluar dari selekoh, pecutannya benar-benar memberi rasa yang lain."
Coulthard berkata antara detik paling mengagumkan ialah ketika melalui terowong ikonik Monaco, apabila lonjakan kelajuan jentera itu membuatkannya terkejut.
"Kali pertama saya masuk ke terowong itu, rasanya macam adegan Star Wars apabila semuanya tiba-tiba bergerak pada kelajuan warp," katanya.
"Saya sudah melalui terowong itu beribu kali, tetapi saya tidak pernah mengalami sensasi seperti itu."
Gen4 dianggap sebagai langkah besar buat Formula E, dengan peningkatan dari segi prestasi, pecutan dan teknologi yang dijangka membawa kejuaraan itu ke tahap baharu.
Komen positif Coulthard hadir ketika Formula E terus mencuri perhatian, termasuk selepas juara dunia F1, Lando Norris, baru-baru ini turut menyuarakan minat untuk mencuba siri perlumbaan elektrik tersebut.