Kejayaan Auckland FC menewaskan Sydney FC untuk menjuarai Grand Final A-League 2026 bukan sekadar menghadiahkan mereka gelaran liga pertama, malah meletakkan kelab New Zealand itu dalam kelompok yang cukup unik dalam bola sepak dunia.
Penyertaan rentas sempadan dalam liga domestik sememangnya bukan perkara biasa. Namun, lebih jarang lagi ialah kelab dari luar negara yang bukan sekadar bertanding, tetapi berjaya muncul juara liga utama di negara lain.
Berikut beberapa contoh kelab yang pernah melakar pencapaian serupa.
AS Monaco (Monaco → Perancis)
Walaupun berasal dari Monaco, AS Monaco sudah lama menjadi sebahagian daripada sistem bola sepak Perancis. Kelab itu muncul antara kuasa besar Ligue 1 dengan lapan gelaran liga, menjadikan mereka contoh paling terkenal bagi kelab luar negara yang berjaya menakluk liga negara jiran.
Singapura FA (Singapura → Malaysia)
Sebelum Singapura mempunyai struktur liga domestik moden, pasukan wakil negara itu merupakan antara peserta tetap dalam saingan bola sepak Malaysia. Mereka muncul juara liga utama Malaysia sebanyak dua kali pada 1985 dan 1994, selain kekal sebagai pasukan kedua paling berjaya dalam sejarah Piala Malaysia dengan 24 kejuaraan.
LionsXII (Singapura → Malaysia)
Singapura kembali ke saingan domestik Malaysia pada 2012 menerusi projek LionsXII. Pasukan itu terus mencuri perhatian apabila menamatkan musim sulung sebagai naib juara Liga Super Malaysia sebelum melangkah lebih jauh dengan menjuarai liga pada 2013. Mereka turut menambah Piala FA Malaysia pada 2015 sebelum projek itu ditamatkan dan pasukan berkenaan dibubarkan.
Albirex Niigata (S) (Jepun → Singapura)
Albirex Niigata (S) muncul sebagai antara kelab asing paling berjaya dalam sejarah bola sepak Singapura. Menyertai S.League pada 2004 sebagai kelab satelit kepada Albirex Niigata dari Jepun, mereka mula menjulang gelaran liga pada 2016 sebelum menambah lima lagi kejuaraan pada 2017, 2018, 2020, 2022 dan 2023.
View this post on Instagram
Étoile FC (Perancis → Singapura)
Jika Albirex mendominasi dalam jangka panjang, Étoile pula mencipta impak segera. Kelab yang dibarisi majoriti pemain Perancis itu menjuarai S.League pada musim pertama mereka pada 2010, sekali gus menjadi kelab asing pertama meraih gelaran liga utama Singapura. Namun kelab itu hanya bertahan sehingga 2011 sebelum dibubarkan akibat masalah kewangan.
DPMM (Brunei → Singapura)
DPMM dari Brunei membuktikan mereka mampu bersaing di luar negara apabila menjuarai liga utama Singapura pada 2015 sebelum mengulangi kejayaan itu pada 2019. Kedua-dua gelaran tersebut menjadi pencapaian terbesar dalam sejarah kelab itu selepas bertahun-tahun beraksi di luar sistem liga domestik Brunei termasuk di Malaysia.
Derry City (Ireland Utara → Republik Ireland)
Walaupun berpangkalan di Ireland Utara, Derry City beraksi dalam liga Republik Ireland dan pernah dua kali muncul juara liga. Kejayaan mereka pada musim 1988/89 lebih manis apabila turut memenangi FAI Cup dan League Cup.
View this post on Instagram
The New Saints (England → Wales)
Berpangkalan di Oswestry tetapi beraksi dalam sistem liga Wales, The New Saints menjadi kuasa dominan dalam bola sepak Wales moden. Dengan 18 gelaran liga, mereka merupakan kelab paling berjaya dalam sejarah Cymru Premier, selain turut menikmati tempoh panjang dominasi dalam saingan piala domestik.
View this post on Instagram



