Juara dunia Formula One (F1), Lando Norris, mengakui beliau berminat untuk merasai pengalaman beraksi dalam Formula E selepas menghadiri Monaco E-Prix 2026 hujung minggu lalu.
Ketika kalendar F1 berehat, pelumba McLaren itu membuat kunjungan pertamanya ke paddock Formula E yang mengadakan aksi dua perlumbaan di Monte Carlo.
Pelumba Britain berusia 26 tahun itu turut meluangkan masa di garaj Andretti bersama rakan senegaranya, Jake Dennis.
View this post on Instagram
Ketika ditemu bual semasa penampilan khasnya, Norris berkata beliau semakin tertarik dengan Formula E dan tidak menolak kemungkinan untuk memandu jentera siri itu pada masa depan.
“Ini kali pertama saya datang ke perlumbaan Formula E dan saya memang teruja,” katanya.
“Ramai pelumba di sini yang saya kenal, dan perlumbaannya sentiasa menarik. Banyak aksi dan drama yang sukar dijangka dan membuatkan perlumbaan jadi seronok ditonton.
“Saya memang ada fikir untuk mencuba kereta Formula E satu hari nanti. Saya sudah berbincang dengan Jake dan beberapa lagi pelumba lain mengenai pengalaman mereka di sini.
“Mungkin tidak semuanya boleh dibandingkan, tetapi tetap ada perkara yang boleh dipelajari apabila anda bercakap dengan pelumba yang bersaing di tahap tertinggi.”
Monaco E-Prix kali ini menyaksikan Nyck de Vries memenangi perlumbaan pertama sebelum Oliver Rowland muncul juara dalam Perlumbaan 2, sekali gus menjadikan mereka pemenang ketujuh dan kelapan berbeza musim ini.
Selepas 10 pusingan, Mitch Evans kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan 128 mata, 19 mata di hadapan Rowland.
Saingan Formula E seterusnya akan berlangsung di Sanya, China pada 20 Jun dan boleh disaksikan secara langsung di SPOTV NOW.



