Juara dunia tiga kali dan pemenang pingat emas Olimpik 2016, Carolina Marin, mengumumkan persaraannya daripada badminton pada hari Khamis.
Pemain Sepanyol berusia 32 tahun itu tidak beraksi sejak mengalami kecederaan lutut serius ketika perlawanan separuh akhir menentang He Bingjiao di Sukan Olimpik Paris 2024.
View this post on Instagram
Bekas pemain nombor satu dunia itu pada awalnya menyasarkan untuk kembali beraksi di Kejohanan Eropah bulan depan di Huelva, Sepanyol, namun akhirnya memilih untuk tidak mengambil risiko kecederaan.
“Saya sebenarnya ingin kita dapat bertemu buat kali terakhir di gelanggang, tetapi saya tidak mahu mempertaruhkan keadaan badan saya,” katanya.
“Saya sudah banyak kali menyatakan perkara ini dan saya kekal dengan keputusan saya. Saya berharap karier saya berakhir dengan cara yang berbeza, tetapi dalam hidup, tidak semua berjalan seperti yang kita inginkan dan kita perlu menerimanya.
“Hakikatnya, saya sudah pun ‘bersara’ di gelanggang, di Paris pada 2024, cuma kami tidak menyedarinya ketika itu.”
Marin mengakhiri kariernya sebagai antara pemain paling berjaya dalam generasinya, dengan pencapaian cemerlang termasuk tujuh kejuaraan Eropah, satu pingat emas Sukan Eropah serta 16 gelaran dalam Jelajah Dunia BWF dan siri Superseries.
View this post on Instagram



