Marquez cipta rekod baharu selepas rai gelaran dunia MotoGP 2026

Marc Marquez mengesahkan kejuaraan dunia MotoGP 2026 di Portugal, sekali gus berjaya mempertahankan gelarannya ketika musim masih berbaki satu pusingan selepas bangkit daripada permulaan yang sukar.

Pelumba Ducati itu pernah ketinggalan sehingga 102 mata di belakang Marco Bezzecchi selepas Grand Prix Itali di Mugello, namun berjaya mengejar semula kedudukan pendahulu sebelum menewaskan pelumba Aprilia tersebut serta rakan sepasukannya, Jorge Martin, dalam perebutan kejuaraan.

Gelaran dunia kelas utama kelapan Marquez membolehkannya menyamai rekod Giacomo Agostini, selain mencipta beberapa pencapaian baharu buat dirinya dan Ducati.

Agostini memenangi kesemua lapan gelaran dunia kelas utamanya dalam kategori 500cc antara 1966 hingga 1975, manakala lapan kejuaraan Marquez diraih dalam era MotoGP yang bermula pada 2002.

Jika dicampur dengan gelaran dunia 125cc pada 2010 dan Moto2 pada 2012, Marquez kini memiliki 10 kejuaraan dunia Grand Prix sepanjang kariernya.

Pencapaian itu meletakkannya di tangga ketiga dalam senarai pelumba paling banyak memenangi gelaran dunia, di belakang Agostini dengan 15 kejuaraan dan Angel Nieto yang memiliki 13.

Marquez juga kini mengatasi Valentino Rossi, Mike Hailwood dan Carlo Ubbiali, yang masing-masing meraih sembilan gelaran dunia.

Kejayaannya bangkit daripada ketinggalan 102 mata turut mencipta rekod baharu dalam sejarah MotoGP.

Rekod sebelumnya dipegang rakan sepasukannya, Francesco Bagnaia, yang pernah mengejar defisit 91 mata di belakang Fabio Quartararo sebelum muncul juara dunia pada 2022.

Pada usia 33 tahun, Marquez juga menjadi juara dunia tertua dalam era MotoGP dan ketiga tertua dalam sejarah kelas utama, mengatasi rekod usia Mick Doohan dan Agostini.

Hanya dua pelumba Britain, Les Graham dan Phil Read, berusia lebih lanjut ketika memenangi gelaran dunia kelas utama terakhir mereka, masing-masing pada usia 37 dan 35 tahun.

Marquez turut berjaya mempertahankan kejuaraan dunia kelas utama buat kali kelima, selepas melakukan perkara sama pada musim 2014, 2017, 2018 dan 2019.

Pencapaian itu mengukuhkan rekodnya dalam era MotoGP, selain menyamai Rossi yang turut berjaya mempertahankan gelaran sebanyak lima kali dalam kategori 500cc dan MotoGP.

Marquez kini hanya ketinggalan satu kejayaan mempertahankan gelaran di belakang Agostini.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by MotoGP™ (@motogp)

Bagi Ducati, kejayaan tersebut memastikan pengeluar Itali itu memenangi kejuaraan dunia kategori pelumba buat musim kelima berturut-turut, satu pencapaian yang belum pernah dilakukan mana-mana pengeluar sejak kelas MotoGP diperkenalkan.

Bagnaia memulakan rentetan tersebut dengan kejuaraan pada 2022 dan 2023, sebelum Jorge Martin muncul juara bersama Pramac pada 2024.

Marquez kemudian meneruskan dominasi Ducati dengan meraih dua gelaran berturut-turut bersama pasukan utama pengeluar itu.

Bagaimanapun, rekod sepanjang zaman masih menjadi milik MV Agusta, yang memenangi 17 kejuaraan dunia kategori pelumba secara berturut-turut dalam kelas 500cc dari 1958 hingga 1974.

Gelaran kedua Marquez bersama Ducati juga membolehkannya menyamai Bagnaia sebagai pelumba paling banyak memenangi kejuaraan dunia menggunakan jentera pengeluar Itali tersebut.

Dengan mengambil kira kejuaraan Casey Stoner pada 2007, Ducati kini mengumpul enam gelaran dunia kelas utama kategori pelumba.

Jumlah itu menyamai pencapaian Gilera dan meletakkan Ducati hanya satu gelaran di belakang Suzuki.

Musim MotoGP 2026 akan melabuhkan tirainya menerusi Grand Prix Valencia, yang boleh disaksikan secara langsung menerusi SPOTV NOW.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by MotoGP™ (@motogp)