FIFA mengumumkan senarai akhir pengadil bagi Piala Dunia FIFA 2026 pada hari Khamis, tanpa sebarang wakil dari Asia Tenggara.
Seramai 52 pengadil, 88 penolong pengadil dan 30 pegawai video (VAR) telah dipilih, melibatkan enam konfederasi dan 50 persatuan ahli, bagi kejohanan yang bakal dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Match officials appointed for FIFA World Cup 2026™
⚽️ Total of 52 referees, 88 assistant referees and 30 video match officials from across all six confederations and 50 Member Associations selected for global showpiece
⚽️ Selection process based on quality and consistency of… pic.twitter.com/exbhTztlwI— FIFA Media (@fifamedia) April 9, 2026
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akan diwakili oleh Qatar (4), Jepun (4), China (4), Arab Saudi (3), Jordan (3), Uzbekistan (3) dan Emiriah Arab Bersatu (2), sekali gus meneruskan trend kekurangan wakil Asia Tenggara di pentas terbesar bola sepak dunia.
Pada edisi terdahulu di Qatar pada 2022, Muhammad Taqi Aljaafari dari Singapura merupakan satu-satunya wakil Asia Tenggara apabila bertugas sebagai pembantu pengadil video (VAR).
Sebelum itu, pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, Subkhiddin Mohd Salleh dari Malaysia berperanan sebagai pegawai keempat dalam lapan perlawanan, manakala Jeffrey Goh dari Singapura dinamakan sebagai penolong pengadil simpanan.
Kali terakhir pengadil Asia Tenggara mengadili perlawanan Piala Dunia adalah dua dekad lalu apabila Shamsul Maidin dari Singapura bertugas dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan di Jerman.
Beliau turut mencatat sejarah apabila melayangkan kad merah pertama kejohanan itu dalam perlawanan antara Trinidad & Tobago dan Sweden.



