Pelumba Singapura sertai Road to Le Mans tiga jam pertama

(Danial Frost/Instagram)

Danial Frost akan turun beraksi di Road to Le Mans minggu ini, yang buat julung kalinya akan berlangsung sebagai perlumbaan ketahanan selama tiga jam.

Acara berprestij dalam siri Michelin Le Mans Cup itu sebelum ini dikenali dengan format dua perlumbaan sprint, namun penganjur memilih pendekatan baharu bagi edisi 2026.

Frost akan berkongsi jentera Duqueine D09 bernombor 85 milik R-ace GP bersama Enzo Peugeot, dengan perlumbaan tersebut disiarkan secara langsung di SPOTV NOW pada 12 Jun.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Danial Frost (@danial_frost)

Gandingan Frost dan Peugeot tiba di Le Mans sebagai pendahulu kejuaraan pemandu LMP3 selepas memulakan musim dengan cukup meyakinkan.

Mereka membuka kempen 2026 dengan kemenangan di Barcelona sebelum menambah satu lagi penamat podium menerusi tempat kedua di Paul Ricard.

Momentum itu meletakkan mereka di kedudukan terbaik dalam saingan kejuaraan setakat ini, namun persaingan dijangka terus sengit dengan Giovanni Maschio dan Colin Queen dari 23Events Racing masih berada dalam kelompok pencabar utama.

Satu lagi keputusan cemerlang di Circuit de la Sarthe mampu mengukuhkan kedudukan Frost dan Peugeot di puncak carta, selain memberikan kelebihan yang lebih selesa dalam perebutan gelaran musim ini.