Viktor Axelsen umum persaraan

Pemenang dua pingat emas Olimpik dan bekas juara dunia, Viktor Axelsen, mengumumkan persaraannya daripada badminton pada hari Rabu, sekali gus menutup tirai karier gemilangnya.

Pemain Denmark berusia 32 tahun itu membuat pengumuman tersebut menerusi media sosial rasminya, dengan masalah kecederaan yang berulang menjadi faktor utama.

“Selepas menjalani pembedahan endoskopik, beberapa suntikan, kaedah latihan baharu, rawatan, dan mencuba pelbagai cara untuk bebas daripada kesakitan sejak sekian lama, saya dinasihatkan untuk memberi tumpuan kepada kesihatan jangka panjang,” katanya.

“Menerima situasi ini bukan sesuatu yang mudah. Namun saya kini berada di tahap di mana badan saya tidak lagi mengizinkan untuk terus beraksi.”

 

View this post on Instagram

 

A post shared by BXL (@bdmntn.xl)

Walaupun terpaksa bersara, Axelsen meluahkan rasa bangga terhadap pencapaiannya dan menegaskan beliau akan terus kekal dekat dengan dunia badminton.

“Apabila melihat kembali perjalanan ini, saya berasa amat bangga, tetapi lebih daripada itu, saya bersyukur,” tambahnya.

“Saya telah mencapai segala yang pernah saya impikan, malah lebih lagi. Saya berpeluang beraksi di pentas terbesar dan memenangi perlawanan yang menjadi impian setiap pemain.

“Sepanjang perjalanan ini, badminton mengajar saya banyak perkara yang melangkaui sukan — tentang disiplin, pengorbanan, ketabahan dan siapa diri saya sebagai individu.

“Ini mungkin perpisahan buat Viktor Axelsen sebagai pemain, tetapi bukan selamat tinggal sepenuhnya kepada badminton. Saya akan tetap bersama sukan ini dalam apa jua cara.”

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua yang menjadi sebahagian daripada perjalanannya, termasuk para peminat.

Penampilan terakhirnya dalam Jelajah Dunia BWF adalah di Terbuka Perancis 2025, di mana beliau tewas kepada Shi Yu Qi di peringkat separuh akhir.

Beliau juga beraksi di BXL Jakarta 2025, yang menjadi penampilan kompetitif terakhirnya sebelum mengumumkan persaraan.

Axelsen menjadi nama besar terbaharu yang meninggalkan gelanggang badminton tahun ini selepas Carolina Marin.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Viktor Axelsen (@viktoraxelsen)

Jorge Martin: From Heaven to Hell

Coming into the season as the reigning World Champion, the Spaniard endured a nightmare year, as injury derailed his debut campaign with Aprilia

SPOTV NOW