Formula 1 tiada dalam perancangan Marquez

(Luca Gambuti/MotoGP)

Marc Marquez menegaskan Formula 1 bukan sesuatu yang berada dalam perancangannya meskipun baru-baru ini membuat kemunculan di paddock Grand Prix Catalunya di Barcelona.

Juara dunia MotoGP itu meluangkan masa di garaj Audi serta sempat bertemu Nico Hulkenberg dan Gabriel Bortoleto.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by FORMULA 1® (@f1)

Kehadirannya turut mencuri perhatian apabila siaran rasmi Formula 1 secara tidak sengaja melabelkan pelumba Ducati itu sebagai “bekas pelumba MotoGP”.

Marquez bukanlah asing dengan dunia Formula 1 selepas pernah menguji jentera Red Bull pada 2018.

Namun menurutnya, tahap persaingan dalam kategori tersebut terlalu tinggi untuk membolehkannya bersaing secara kompetitif.

“Saya tahu dalam siaran F1 mereka memaparkan saya sebagai ‘bekas pelumba MotoGP’,” kata Marquez sambil berseloroh ketika sidang media menjelang Grand Prix Czechia di Brno.

“Anda mungkin boleh memandu dengan baik, tetapi jika mahu benar-benar kompetitif dalam perlumbaan empat roda, ia sesuatu yang sangat sukar.

“Saya sangat menghormati pemandu F1 dan bagi saya, ia mustahil.

“Mungkin suatu hari nanti saya akan mencuba beberapa perlumbaan lain atau kategori yang lebih rendah sekadar untuk keseronokan. Tetapi tidak untuk F1 kerana tahap persaingannya terlalu tinggi.”

Marquez menuju ke Grand Prix Czechia hujung minggu ini dalam prestasi terbaik selepas mencatat kemenangan Grand Prix ke-100 dalam kariernya merentasi semua kategori menerusi kejayaan di Hungary.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by MotoGP™ (@motogp)