Yamaha jadi pembekal tunggal jentera Moto3 mulai 2028

Moto3 bakal memasuki era baharu mulai musim 2028 apabila semua pasukan akan menggunakan jentera Yamaha selepas pengeluar Jepun itu dipilih sebagai pembekal tunggal kategori berkenaan.

Perubahan itu diumumkan oleh MotoGP dan Yamaha menjelang Grand Prix Belanda 2026 menerusi perjanjian selama enam musim sehingga 2033. Ia sekali gus menamatkan sistem sedia ada yang membenarkan beberapa pengeluar membekalkan jentera kepada pasukan-pasukan Moto3.

Sejak kategori Moto3 diperkenalkan bagi menggantikan kelas 125cc pada 2012, Honda dan KTM menjadi dua pengeluar utama yang membekalkan jentera prototaip kepada pasukan bertanding.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Yamaha MotoGP (@yamahamotogp)

“Kami amat berbangga dapat berkongsi hala tuju baharu Moto3, bukan sahaja untuk Kejuaraan Dunia tetapi juga bagi pembangunan sukan permotoran di seluruh dunia,” kata Ketua Pegawai Sukan MotoGP, Carlos Ezpeleta.

“Kami percaya perubahan ini akan memberi impak besar, bukan sahaja di luar paddock dari sudut pembangunan sukan, malah kepada MotoGP sendiri.

“Moto3 merupakan platform penting sebagai langkah pertama buat ramai pelumba menuju karier profesional, selain menjadi pentas untuk peminat mengenali bintang-bintang masa depan.”

Jentera baharu Yamaha itu akan dibina berasaskan enjin CP2, namun akan dibangunkan semula sebagai sebuah jentera prototaip Grand Prix yang memenuhi spesifikasi Moto3.

Model tersebut dijangka diperkenalkan pada 2027 sebelum digunakan secara rasmi dalam saingan Moto3 bermula musim berikutnya.