10 perkara menarik selepas aksi pembukaan Wimbledon 2026

(AELTC/Simon Bruty)

Walaupun baru dua hari saingan berlangsung, Wimbledon 2026 sudah pun menyajikan pelbagai rekod unik, pencapaian bersejarah dan statistik luar biasa.

Berikut 10 fakta menarik yang tercipta selepas tamat pusingan pertama di All England Club.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by SPOTV SEA (@spotvsea)

Djokovic terus kebal di pusingan pertama

Novak Djokovic meneruskan rekod sempurnanya di pusingan pertama Wimbledon apabila mencatat kemenangan ke-21 berturut-turut selepas menewaskan Wu Yibing dari China dalam straight set. Kemenangan itu turut menjadikan pemain Serbia tersebut individu pertama dalam Era Terbuka yang merekodkan lebih 80 kemenangan di pusingan pertama merentasi keempat-empat kejohanan Grand Slam.

Sinner menyamai rekod legenda Itali

Jannik Sinner menyamai rekod Nicola Pietrangeli sebagai pemain Itali dengan kemenangan perseorangan Grand Slam terbanyak apabila mencatat kemenangan ke-94 selepas menewaskan Miomir Kecmanovic dalam lima set. Pemain No. 1 dunia itu berpeluang muncul pemegang rekod baharu sekiranya menewaskan Nuno Borges pada pusingan kedua.

Juara bertahan sekali lagi diheret ke lima set

Kecmanovic menjadi pemain kedua berturut-turut yang memaksa juara bertahan perseorangan lelaki Wimbledon beraksi sehingga lima set seawal pusingan pertama. Tahun lalu, Fabio Fognini mengheret Carlos Alcaraz ke lima set, manakala sebelum itu Alejandro Falla melakukan perkara sama terhadap Roger Federer pada edisi 2010.

Wildcard jadi pemain pilihan

Walaupun tewas di pusingan pertama, Maja Chwalinska mencipta satu lagi rekod unik apabila menjadi pemain pilihan yang beraksi menerusi wildcard di kejohanan Grand Slam. Finalis Roland Garros 2026 itu hanya pemain ketiga dalam Era Terbuka yang melakukannya selepas Martina Hingis di Terbuka Amerika Syarikat 2002 dan Patty Schnyder di Wimbledon 2004.

Britain alami permulaan terburuk sejak 1988

Seramai 15 pemain tuan rumah tersingkir seawal pusingan pertama, menjadikan ia permulaan paling mengecewakan buat Britain di Wimbledon dalam tempoh hampir empat dekad. Cameron Norrie turut menjadi antara nama besar yang tersingkir selepas tewas kepada Michael Zheng, sekali gus menyaksikan hanya Katie Swan, Jacob Fearnley, Arthur Fery dan Jan Choinski kekal dalam saingan perseorangan.

Harapan Britain sebenarnya sudah pun terjejas sebelum kejohanan bermula apabila Jack Draper dan Emma Raducanu menarik diri akibat kecederaan.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by BBC SPORT (@bbcsport)

Akhirnya pecah telur di Wimbledon

Pablo Carreno Busta akhirnya meraih kemenangan pertama dalam undian utama perseorangan Wimbledon selepas Denis Shapovalov menarik diri akibat kecederaan ketika perlawanan. Pemain Sepanyol itu sebelum ini tewas dalam kesemua tujuh penampilan terdahulu.

Jodar sertai kelompok elit remaja Sepanyol

Rafael Jodar mencatat kemenangan sulungnya di peringkat Jelajah ATP di gelanggang rumput, sekali gus menjadi pemain remaja kelima dari Sepanyol yang pernah memenangi perlawanan perseorangan lelaki Wimbledon dalam Era Terbuka. Beliau menyertai kelompok eksklusif yang turut dianggotai Sergi Bruguera, Tommy Robredo, Rafael Nadal dan Carlos Alcaraz.

Macedonia Utara cipta sejarah

Lina Gjorcheska melakar sejarah sebagai pemain pertama dari Macedonia Utara yang beraksi dalam undian utama perseorangan Grand Slam. Pemain berusia 31 tahun itu layak menerusi pusingan kelayakan sebelum langkahnya terhenti di pusingan pertama selepas tewas kepada Amanda Anisimova.

Dulu Rusia, kini Uzbekistan

Polina Kudermetova, Kamilla Rakhimova dan Maria Timofeeva membuat penampilan sulung di Wimbledon sebagai wakil Uzbekistan selepas menukar kerakyatan daripada Rusia. Mereka turut menjadi sebahagian daripada trend pemain kelahiran Rusia yang kini mewakili negara lain, termasuk Anastasia Potapova yang kini mewakili Austria dan Daria Kasatkina yang beraksi untuk Australia.

Empat wakil Asia Tenggara mara ke pusingan kedua

Alexandra Eala memastikan Asia Tenggara terus mencuri perhatian apabila menewaskan Renata Zarazua dari Mexico untuk meraih kemenangan sulungnya di pusingan pertama Wimbledon. Beliau menyertai Janice Tjen, Mananchaya Sawangkaew dan Lanlana Tararudee di pusingan kedua, menjadikan empat wakil Asia Tenggara masih meneruskan cabaran.

Tjen muncul pemain Indonesia pertama mara ke pusingan kedua Wimbledon sejak Angelique Widjaja pada 2003, manakala Sawangkaew menamatkan penantian tujuh tahun Thailand untuk menyaksikan wakil mereka memenangi perlawanan perseorangan wanita di All England Club.