Hafizh sebaris Marquez dalam Lenovo Race of Champions
Oleh Lee Seng Foo4 jam lalu
(Asia Road Racing Championship)
Hafizh Syahrin bakal berkongsi litar bersama juara dunia MotoGP, Marc Marquez, serta beberapa lagi bintang Ducati dalam Lenovo Race of Champions sempena sambutan World Ducati Week 2026 di Misano.
Perlumbaan khas itu akan menghimpunkan pelumba daripada MotoGP, World Superbike (WorldSBK) serta beberapa lagi kejuaraan yang mendapat sokongan pengeluar Itali tersebut.
Marquez mengetuai senarai pelumba MotoGP Ducati yang turut dibarisi Francesco Bagnaia, Fabio Di Giannantonio, Franco Morbidelli dan Michele Pirro.
Turut memeriahkan acara ialah pencabar kejuaraan WorldSBK, Nicolo Bulega dan Alvaro Bautista.
Hafizh menjadi satu-satunya wakil daripada Asia Road Racing Championship (ARRC) yang menerima jemputan untuk menyertai perlumbaan itu hasil prestasi cemerlangnya bersama JDT Racing Team.
Juara bertahan ASB1000 itu kini berada dalam landasan terbaik untuk mempertahankan kejuaraannya selepas memenangi kesemua enam perlumbaan yang telah berlangsung setakat musim 2026.
Walaupun baru dua hari saingan berlangsung, Wimbledon 2026 sudah pun menyajikan pelbagai rekod unik, pencapaian bersejarah dan statistik luar biasa.
Berikut 10 fakta menarik yang tercipta selepas tamat pusingan pertama di All England Club.
Novak Djokovic meneruskan rekod sempurnanya di pusingan pertama Wimbledon apabila mencatat kemenangan ke-21 berturut-turut selepas menewaskan Wu Yibing dari China dalam straight set. Kemenangan itu turut menjadikan pemain Serbia tersebut individu pertama dalam Era Terbuka yang merekodkan lebih 80 kemenangan di pusingan pertama merentasi keempat-empat kejohanan Grand Slam.
Sinner menyamai rekod legenda Itali
Jannik Sinner menyamai rekod Nicola Pietrangeli sebagai pemain Itali dengan kemenangan perseorangan Grand Slam terbanyak apabila mencatat kemenangan ke-94 selepas menewaskan Miomir Kecmanovic dalam lima set. Pemain No. 1 dunia itu berpeluang muncul pemegang rekod baharu sekiranya menewaskan Nuno Borges pada pusingan kedua.
Juara bertahan sekali lagi diheret ke lima set
Kecmanovic menjadi pemain kedua berturut-turut yang memaksa juara bertahan perseorangan lelaki Wimbledon beraksi sehingga lima set seawal pusingan pertama. Tahun lalu, Fabio Fognini mengheret Carlos Alcaraz ke lima set, manakala sebelum itu Alejandro Falla melakukan perkara sama terhadap Roger Federer pada edisi 2010.
Wildcard jadi pemain pilihan
Walaupun tewas di pusingan pertama, Maja Chwalinska mencipta satu lagi rekod unik apabila menjadi pemain pilihan yang beraksi menerusi wildcard di kejohanan Grand Slam. Finalis Roland Garros 2026 itu hanya pemain ketiga dalam Era Terbuka yang melakukannya selepas Martina Hingis di Terbuka Amerika Syarikat 2002 dan Patty Schnyder di Wimbledon 2004.
Britain alami permulaan terburuk sejak 1988
Seramai 15 pemain tuan rumah tersingkir seawal pusingan pertama, menjadikan ia permulaan paling mengecewakan buat Britain di Wimbledon dalam tempoh hampir empat dekad. Cameron Norrie turut menjadi antara nama besar yang tersingkir selepas tewas kepada Michael Zheng, sekali gus menyaksikan hanya Katie Swan, Jacob Fearnley, Arthur Fery dan Jan Choinski kekal dalam saingan perseorangan.
Harapan Britain sebenarnya sudah pun terjejas sebelum kejohanan bermula apabila Jack Draper dan Emma Raducanu menarik diri akibat kecederaan.
Pablo Carreno Busta akhirnya meraih kemenangan pertama dalam undian utama perseorangan Wimbledon selepas Denis Shapovalov menarik diri akibat kecederaan ketika perlawanan. Pemain Sepanyol itu sebelum ini tewas dalam kesemua tujuh penampilan terdahulu.
Jodar sertai kelompok elit remaja Sepanyol
Rafael Jodar mencatat kemenangan sulungnya di peringkat Jelajah ATP di gelanggang rumput, sekali gus menjadi pemain remaja kelima dari Sepanyol yang pernah memenangi perlawanan perseorangan lelaki Wimbledon dalam Era Terbuka. Beliau menyertai kelompok eksklusif yang turut dianggotai Sergi Bruguera, Tommy Robredo, Rafael Nadal dan Carlos Alcaraz.
Macedonia Utara cipta sejarah
Lina Gjorcheska melakar sejarah sebagai pemain pertama dari Macedonia Utara yang beraksi dalam undian utama perseorangan Grand Slam. Pemain berusia 31 tahun itu layak menerusi pusingan kelayakan sebelum langkahnya terhenti di pusingan pertama selepas tewas kepada Amanda Anisimova.
Dulu Rusia, kini Uzbekistan
Polina Kudermetova, Kamilla Rakhimova dan Maria Timofeeva membuat penampilan sulung di Wimbledon sebagai wakil Uzbekistan selepas menukar kerakyatan daripada Rusia. Mereka turut menjadi sebahagian daripada trend pemain kelahiran Rusia yang kini mewakili negara lain, termasuk Anastasia Potapova yang kini mewakili Austria dan Daria Kasatkina yang beraksi untuk Australia.
Empat wakil Asia Tenggara mara ke pusingan kedua
Alexandra Eala memastikan Asia Tenggara terus mencuri perhatian apabila menewaskan Renata Zarazua dari Mexico untuk meraih kemenangan sulungnya di pusingan pertama Wimbledon. Beliau menyertai Janice Tjen, Mananchaya Sawangkaew dan Lanlana Tararudee di pusingan kedua, menjadikan empat wakil Asia Tenggara masih meneruskan cabaran.
Tjen muncul pemain Indonesia pertama mara ke pusingan kedua Wimbledon sejak Angelique Widjaja pada 2003, manakala Sawangkaew menamatkan penantian tujuh tahun Thailand untuk menyaksikan wakil mereka memenangi perlawanan perseorangan wanita di All England Club.
Naomi Osaka mendedahkan warisan Jepun dan filem Kill Bill menjadi ilham di sebalik busana istimewa yang digayakannya ketika memasuki gelanggang pada aksi pembukaan Wimbledon 2026.
Juara empat kali Grand Slam itu mencuri perhatian apabila tampil dengan busana serba putih yang direka khas berinspirasikan pakaian istiadat tradisional Jepun, sekali gus mematuhi kod pemakaian Wimbledon.
Sebelum perlawanan bermula, beliau kemudian menukar kepada pakaian pertandingan berwarna putih keluaran Nike.
Selepas menewaskan Elsa Jacquemot dari Perancis 6-1, 7-5 pada pusingan pertama, Osaka menjelaskan rekaan tersebut mencerminkan warisan budayanya serta diilhamkan oleh salah sebuah filem kegemarannya.
"Warisan Jepun sangat bermakna buat saya," kata Osaka.
"Wimbledon menetapkan pakaian serba putih, jadi saya fikir menarik jika saya tampil dengan kimono.
"Salah satu filem kegemaran saya ialah Kill Bill. Saya sangat menggemari watak O-Ren Ishii yang dilakonkan oleh Lucy Liu. Dia tampil dengan kimono putih yang cukup ikonik."
Osaka, yang terkenal dengan penampilan unik di kejohanan Grand Slam, turut memperkenalkan busana khas bertemakan tersendiri di Terbuka Australia dan Roland Garros tahun ini.
Hari pembukaan Wimbledon 2026 menyaksikan wakil Asia Tenggara mencuri tumpuan apabila Janice Tjen dari Indonesia dan pemain Thailand, Mananchaya Sawangkaew, masing-masing menyingkirkan pemain pilihan untuk mara ke pusingan kedua.
Tjen meneruskan rekod cemerlangnya ke atas pilihan ke-22, Leylah Fernandez, apabila mencatat kemenangan 6-1, 7-6(3).
Keputusan itu menjadikannya tiga kemenangan daripada tiga pertemuan menentang pemain Kanada tersebut musim ini selepas turut menewaskannya di Terbuka Australia dan Kejohanan Tenis Dubai Duty Free.
Sawangkaew pula mencipta antara kejutan terbesar pada hari pertama pertandingan apabila bangkit selepas tewas set pertama dan menyelamatkan satu mata perlawanan sebelum menewaskan finalis Roland Garros 2026, Maja Chwalinska, 2-6, 7-5, 6-2.
Kemenangan itu bukan sahaja menghadiahkan kemenangan sulungnya dalam pusingan utama Grand Slam, malah menjadikan Sawangkaew pemain Thailand pertama memenangi perlawanan perseorangan di pusingan utama Wimbledon sejak Luksika Kumkhum mara ke pusingan kedua pada 2018.
Seorang lagi wakil Thailand, Lanlana Tararudee, turut mengesahkan tempat ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain Austria, Lilli Tagger, sekali gus menyaksikan tiga wakil Asia Tenggara berjaya melepasi halangan pertama.
Tumpuan kini beralih kepada bintang Filipina, Alexandra Eala, yang akan memulakan cabaran perseorangannya pada Selasa menentang Renata Zarazua dari Mexico.
Kejohanan Wimbledon disiarkan secara langsung di SPOTV NOW.
Juan Mata terus mengukuhkan hubungannya dengan Melbourne Victory apabila menjadi sebahagian daripada kumpulan pemilik kelab A-League itu.
Pelaburan tersebut dibuat secara berasingan daripada statusnya sebagai pemain.
Bekas bintang Sepanyol berusia 38 tahun itu juga masih belum memutuskan sama ada akan terus beraksi pada musim depan.
Sekiranya menamatkan karier sebagai pemain, Mata akan mempengerusikan jawatankuasa bola sepak yang baharu ditubuhkan oleh kelab berkenaan.
Mata menikmati musim pertama yang cukup cemerlang bersama Melbourne Victory apabila membantu pasukan itu menamatkan saingan A-League Men di tangga keempat.
Prestasi konsistennya turut melayakkan beliau dinobatkan sebagai pemenang Johnny Warren Medal 2025/26, anugerah pemain terbaik liga.
"Saya benar-benar percaya bola sepak Australia mempunyai masa depan yang cerah," kata Mata.
"Sejak tiba di Melbourne Victory, saya dapat merasai sendiri semangat yang dimiliki kelab ini serta potensi besar A-League.
"Saya mahu menjadi sebahagian daripada perjalanan itu, bukan sekadar untuk semusim tetapi bagi jangka masa panjang."
Penyertaan Mata dalam struktur pemilikan kelab berkuat kuasa serta-merta, sekali gus menjadikannya antara segelintir pemain profesional yang masih aktif memiliki pegangan dalam kelab yang diwakilinya.
Selain Melbourne Victory, bekas pemain Manchester United dan Chelsea itu turut mempunyai pelaburan dalam kelab MLS, San Diego FC, serta pasukan F1, Alpine.