Bekas pemain nombor satu dunia, Venus Williams, serta bintang Kazakhstan, Alexander Bublik, menjadi antara nama terbaharu yang mengesahkan penyertaan dalam kejohanan beregu campuran Terbuka AS 2026.
Persatuan Tenis Amerika Syarikat (USTA) mengumumkan 13 lagi gandingan pada Isnin, menjadikan jumlah penyertaan setakat ini meningkat kepada 29 pasangan bagi kejohanan yang akan berlangsung sempena US Open Fan Week dari 24 hingga 26 Ogos.
Turut mencuri perhatian ialah penyertaan dua pasangan suami isteri, Elina Svitolina/Gael Monfils dan Katie Boulter/Alex de Minaur.
Antara gandingan lain yang disahkan ialah Karolina Muchova/Jakub Mensik, Emma Navarro/Tommy Paul, Maria Sakkari/Karen Khachanov, Anna Kalinskaya/Lorenzo Musetti serta Jelena Ostapenko/Marcelo Arevalo.
View this post on Instagram
Kesemua mereka menyertai senarai awal yang diumumkan minggu lalu, termasuk juara baharu Terbuka Washington, Alexandra Eala, yang akan bergandingan dengan pemain nombor empat dunia dari Kanada, Felix Auger-Aliassime.
Turut tersenarai ialah pasangan Aryna Sabalenka/Novak Djokovic, Iga Swiatek/Casper Ruud, Naomi Osaka/Kei Nishikori dan Jessica Pegula/Jack Draper.
Kejohanan beregu campuran Terbuka AS menggunakan format berasingan sempena Fan Week sejak tahun lalu bagi menarik lebih ramai pemain perseorangan terbaik dunia mengambil bahagian.
Enam pasangan akan layak secara automatik berdasarkan gabungan ranking perseorangan selepas penyertaan ditutup pada 17 Ogos.
Lapan slot wildcard dan dua tempat menerusi pusingan kelayakan pula akan melengkapkan senarai 16 pasangan yang bertanding.
Gandingan Itali, Sara Errani dan Andrea Vavassori, kembali mempertahankan gelaran selepas muncul juara dua tahun berturut-turut, termasuk menewaskan Swiatek dan Ruud pada final tahun lalu.



