Malaysia muncul penyumbang terbesar Asia Tenggara pada Sukan Komanwel 2026 selepas membantu rantau ini menamatkan temasya di Glasgow, Scotland, dengan keseluruhan 18 pingat.
Kontinjen negara menyumbang 16 daripada jumlah itu menerusi lapan emas, tiga perak dan lima gangsa, sekali gus menamatkan saingan di tangga ke-10 keseluruhan.
Angkat berat menjadi penyumbang utama kejayaan Malaysia apabila menghadiahkan tujuh pingat termasuk lima pingat emas menerusi Aniq Kasdan, Aznil Bidin, Erry Hidayat, Hafizuddin Roslin dan Syahmi Nor Ghazali.
View this post on Instagram
Legenda berbasikal trek, Azizulhasni Awang, turut menambah koleksi pencapaiannya dengan memenangi emas acara keirin lelaki, manakala Abdul Latif Romly dan Amir Daniel Abdul Majeed melengkapkan kutipan emas negara menerusi para olahraga dan judo.
Baki pingat Malaysia hadir menerusi acara boling padang, para olahraga dan powerlifting para.
Singapura pula menyumbang dua lagi pingat buat Asia Tenggara apabila gimnas Amanda Yap serta perenang para Toh Wei Soong masing-masing meraih pingat perak.
View this post on Instagram
Brunei, satu-satunya lagi negara Asia Tenggara yang mengambil bahagian, menamatkan saingan tanpa sebarang pingat.
Australia mengungguli carta keseluruhan dengan 171 pingat, termasuk 70 emas, diikuti England dengan 110 pingat dan Kanada dengan 62.
Sukan Komanwel edisi ke-23 berlangsung di Glasgow dari 23 Julai hingga 2 Ogos dengan mempertandingkan 10 jenis sukan serta 215 acara pingat.
Scotland mengambil alih penganjuran selepas Victoria di Australia menarik diri sebagai tuan rumah, sekali gus menyaksikan temasya itu dianjurkan dalam skala yang lebih kecil.
Edisi seterusnya dijadual berlangsung di Ahmedabad, India, pada 2030.
View this post on Instagram



