Liga Pro Saudi memperkenalkan format baharu penyusunan jadual perlawanan bagi musim 2026/27 apabila kesemua 18 kelab dibahagikan kepada empat kumpulan prestasi bagi memastikan saingan berlangsung lebih seimbang sepanjang musim.
Pembahagian itu dibuat berdasarkan prestasi setiap pasukan dalam tempoh tiga musim terakhir, dengan pencapaian musim lalu diberikan pemberat paling tinggi.
Menerusi sistem berkenaan, juara bertahan Al Nassr diletakkan dalam Kumpulan A bersama Al Hilal, Al Ahli, Al Qadsiah dan Al Ittihad, iaitu lima pasukan yang turut mewakili Arab Saudi dalam Liga Juara-Juara Elit AFC musim ini. Al Taawoun pula, yang berada dalam Kumpulan B, akan beraksi dalam Liga Juara-Juara AFC Two.
View this post on Instagram
Menurut pihak liga, pendekatan itu membolehkan jadual perlawanan disusun dengan lebih seimbang sambil mengambil kira penggunaan stadium, komitmen kelab dalam pertandingan Asia, kalendar antarabangsa FIFA serta Piala Asia AFC 2027 yang akan dianjurkan Arab Saudi.
Salah satu ciri utama sistem baharu itu ialah tiada pasukan akan dijadualkan menentang dua lawan daripada Kumpulan A secara berturut-turut, manakala baki 12 kelab diagihkan ke dalam tiga kumpulan lain mengikut prestasi masing-masing.
Musim baharu akan bermula pada 13 Ogos, dengan Al Nassr kendalian Cristiano Ronaldo membuka kempen mempertahankan kejuaraan menentang Al Fateh pada 15 Ogos.
Aksi pertama Al Nassr menentang pencabar dari Kumpulan A dijadual berlangsung di gelanggang Al Ittihad pada 6 September, sebelum mereka berdepan Al Ahli pada bulan yang sama, Al Qadsiah pada November dan Al Hilal pada Disember.
Perlawanan terpilih Liga Pro Saudi musim 2026/27 dijadual disiarkan secara langsung menerusi SPOTV NOW.



