Pemain warisan Malaysia sertai kelab Jerman

(Melbourne Victory/Facebook)

Nishan Velupillay bakal memulakan cabaran baharu di Eropah selepas meninggalkan Melbourne Victory untuk menyertai kelab Jerman, FC Ingolstadt 04.

Pemain sayap berusia 25 tahun itu menyertai kelab divisyen tiga Jerman dengan nilai perpindahan yang tidak didedahkan, sekali gus menamatkan tujuh tahun bersama Victory dan menjadi pengalaman pertamanya beraksi di luar Australia.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Melbourne Victory (@gomvfc)

Velupillay merupakan produk akademi Melbourne Victory sebelum membuat penampilan bersama skuad utama pada 2021.

Beliau kemudiannya menjadi antara tonggak utama pasukan dan menikmati musim terbaiknya pada 2024/25 apabila muncul penjaring terbanyak Victory di semua pertandingan.

Prestasinya di A-League turut membuka peluang di pentas antarabangsa apabila Velupillay membuat penampilan sulung bersama Australia dalam aksi kelayakan Piala Dunia menentang China pada Oktober 2024.

Velupillay kemudian terpilih dalam skuad Australia ke Piala Dunia FIFA 2026, dengan penampilan pertamanya di kejohanan itu hadir sebagai pemain gantian ketika kemenangan 2-0 ke atas Turkiye di peringkat kumpulan sebelum diberi peluang bermula dalam kesebelasan utama menentang tuan rumah bersama, Amerika Syarikat.

Penampilannya di Piala Dunia turut mencipta sejarah tersendiri buat peminat bola sepak Malaysia menerusi latar belakang keluarganya.

Dilahirkan di Melbourne kepada bapa rakyat Malaysia berketurunan Tamil Sri Lanka dan ibu berketurunan Anglo-India, Velupillay menjadi pemain pertama berdarah Malaysia beraksi di pentas Piala Dunia FIFA.

Victory kini akan meneruskan persiapan tanpa beliau menjelang saingan A-League Men 2026/27 yang bermula pada Oktober, dengan perlawanan akan disiarkan secara langsung menerusi SPOTV NOW.