MotoGP akan memulakan persiapan bagi era baharu jentera 850cc di Valencia pada Disember ini selepas mengesahkan jadual penuh ujian menjelang musim 2027.
Jentera baharu itu akan membuat penampilan rasmi pertama dalam Ujian Valencia pada 1 Disember, hanya beberapa hari selepas musim 2026 berakhir.
Tumpuan kemudian beralih ke Malaysia apabila Litar Antarabangsa Sepang Petronas menjadi lokasi empat hari aksi MotoGP berturut-turut dari 29 Januari hingga 1 Februari.
Pelumba ujian pasukan pengeluar dan pelumba rookie akan turun dalam Ujian Shakedown pada 29 dan 30 Januari sebelum kesemua pelumba menyertai ujian rasmi pramusim pertama pada 31 Januari dan 1 Februari.
Ujian rasmi pramusim kedua yang juga terakhir akan berlangsung di Litar Antarabangsa Chang, Thailand pada 6 dan 7 Februari, menjadi peluang terakhir buat pelumba menguji jentera di litar sebelum musim bermula.
Moto2 dan Moto3 pula akan menjalani program pramusim secara berasingan di Circuito de Jerez, Sepanyol pada penghujung bulan berkenaan.
Pasukan Moto2 akan memulakan ujian tertutup selama dua hari pada 16 dan 17 Februari, diikuti ujian rasmi Moto3 pada 18 dan 19 Februari.
Moto2 kemudian kembali ke litar bagi ujian rasmi pada 20 dan 21 Februari, melengkapkan enam hari berturut-turut program ujian membabitkan kedua-dua kelas di Jerez.
Selepas ujian pramusim, MotoGP akan bergerak ke Rio de Janeiro bagi pelancaran rasmi musim pada 21 Februari sebelum kembali ke Buriram untuk Grand Prix Thailand, yang membuka tirai musim 2027 dari 5 hingga 7 Mac.
Musim 2027 akan membuka lembaran baharu dalam kelas perdana apabila kapasiti enjin dikurangkan daripada 1000cc kepada 850cc, manakala Pirelli mengambil alih daripada Michelin sebagai pembekal tayar tunggal MotoGP.
Sydney FC mendapatkan khidmat pemain pertahanan muda Australia, James Overy, dari Manchester United menerusi kontrak tiga tahun menjelang musim A-League 2026/27.
Pemain berusia 18 tahun itu kembali ke Australia selepas dua tahun menimba pengalaman dalam akademi Manchester United sejak menyertai gergasi Liga Perdana Inggeris berkenaan pada 2024.
Overy memulakan perkembangan kariernya bersama akademi Perth Glory dan mula mendapat perhatian ketika baru berusia 15 tahun menerusi aksi pramusim menentang West Ham United pada 2023.
Dia kemudian berhijrah ke England sebelum sempat membuat penampilan senior dalam A-League, namun kini kembali dengan sasaran mendapatkan lebih banyak peluang beraksi di peringkat senior bersama Sydney.
“Saya mendapat pengalaman luar biasa di Manchester United dan belajar banyak perkara dengan berada dalam persekitaran itu setiap hari, tetapi saya rasa sekarang adalah masa yang tepat untuk mengambil langkah seterusnya dan bermain di peringkat senior,” kata Overy.
Bek kanan itu turut mempunyai pengalaman bersama skuad kebangsaan Australia di beberapa peringkat umur.
Overy mewakili Young Socceroos di Piala Dunia B-20 FIFA serta skuad B-23 Australia di Piala Asia B-23 AFC tahun ini, selain pernah dipanggil menyertai skuad senior negara itu.
Overy menjadi pemain kelima yang dibawa masuk secara tetap oleh Sydney ketika ketua jurulatih Patrick Kisnorbo meneruskan rombakan skuad menjelang musim baharu.
Sky Blues turut membawa pulang graduan akademi Jake Hollman, mendapatkan Gabriel Popovic dari Perth Glory serta menandatangani pemenang dua kali Liga Juara-Juara AFC, Takahiro Sekine.
Saksikan saingan A-League 2026/27 secara langsung menerusi SPOTV NOW.
Saingan MotoGP beralih ke pesisir Adriatik hujung minggu ini apabila perebutan kejuaraan dunia 2026 diteruskan di Misano World Circuit Marco Simoncelli.
Jorge Martin tiba dengan kelebihan tipis ke atas Marc Marquez dan Marco Bezzecchi, manakala Aprilia dan Ducati hanya dipisahkan 15 mata dalam kedudukan pengeluar.
Menjelang aksi dari 11 hingga 13 September yang akan disiarkan secara langsung menerusi SPOTV NOW, berikut lima fakta menarik mengenai Grand Prix San Marino.
Selepas mencatat kemenangan sensasi di Aragon, Marc Marquez kini menuju ke satu lagi litar yang cukup serasi dengannya.
Juara dunia itu sudah sembilan kali menang di Misano dalam semua kelas, termasuk enam kemenangan MotoGP menerusi lima Grand Prix San Marino serta Grand Prix Emilia-Romagna 2021.
Jika menang sekali lagi hujung minggu ini, Marquez akan menjadi pelumba kedua selepas Jorge Lorenzo yang berjaya memenangi perlumbaan MotoGP di Misano dalam tiga musim berturut-turut.
Bermula dari petak utama ternyata tidak banyak memberi kelebihan di Misano. Sejak MotoGP kembali ke litar itu pada 2007, hanya enam daripada 22 perlumbaan kelas perdana menyaksikan pelumba di petak utama turut muncul juara pada Ahad, bersamaan hanya 27.3 peratus.
Casey Stoner (2007), Valentino Rossi (2009), Dani Pedrosa (2010), Maverick Vinales (Grand Prix Emilia-Romagna 2020), Francesco Bagnaia (2021) dan Jorge Martin (2023) menjadi pelumba yang berjaya melakukannya.
Rekod Marquez sendiri cukup menarik. Walaupun sudah enam kali menang dalam MotoGP di Misano, dia hanya sekali meraih petak utama di litar itu, ketika musim pertamanya pada 2013. Marquez sekadar menamatkan perlumbaan di belakang Jorge Lorenzo ketika itu, bermakna kesemua enam kemenangannya di Misano hadir tanpa bermula dari petak utama.
Ducati dan Yamaha masing-masing mempunyai tujuh kemenangan Grand Prix San Marino sejak MotoGP kembali ke Misano, tetapi pengeluar Itali itu mendominasi perlumbaan berkenaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ducati memenangi enam daripada lapan edisi terakhir, termasuk lima berturut-turut sejak Bagnaia memulakan rentetan tersebut pada 2021. Satu lagi kemenangan akan membawa Ducati kepada lapan kejuaraan Grand Prix San Marino dalam era MotoGP, sekali gus mengatasi Yamaha sebagai pengeluar paling berjaya di Misano sejak 2007.
Walaupun ibu pejabatnya di Noale hanya beberapa jam dari Misano, Aprilia masih belum pernah memenangi perlumbaan kelas perdana di litar berkenaan. Namun, prestasi cemerlang mereka sepanjang musim 2026 memberi harapan bahawa penantian itu boleh berakhir hujung minggu ini.
Bezzecchi pastinya mempunyai motivasi tambahan. Pelumba kelahiran Rimini itu meraih petak utama dan memenangi Sprint tahun lalu sebelum terlepas kemenangan Grand Prix kepada Marquez dengan perbezaan hanya 0.568 saat.
Kemenangan kali ini bukan sahaja akan menghadiahkan Aprilia kejayaan pertama MotoGP di Misano, malah mampu mengukuhkan cabaran Bezzecchi dalam perebutan gelaran dunia di depan penyokong sendiri.
Dari litar ke gelanggang bola keranjang
Sebelum turun di Misano, Bezzecchi, Bagnaia dan Franco Morbidelli terlebih dahulu akan menguji kemampuan dalam sukan berbeza menerusi perlawanan khas bola keranjang FIBA 3x3 di Rimini.
Acara itu akan berlangsung di Moab Court, Piazzale Kennedy pada Rabu, 9 September, dengan Morbidelli mengetuai satu pasukan menentang pasukan yang menampilkan Bezzecchi dan Bagnaia. Beberapa pemain profesional FIBA 3x3 serta tetamu lain turut akan menyertai tiga pelumba MotoGP tersebut.
Selepas Kimi Antonelli menyaksikan Marco Bezzecchi menang di Mugello tiga bulan lalu, kali ini giliran pelumba MotoGP itu hadir memberi sokongan kepada rakan senegaranya di Grand Prix Itali Formula One (F1).
Bezzecchi meluangkan masa di paddock Monza hujung minggu lalu dan mengunjungi Antonelli di garaj Mercedes, mengulangi pertemuan mereka ketika Grand Prix Itali MotoGP sebelum ini.
Di Mugello, Antonelli menyaksikan Bezzecchi mencipta kemenangan istimewa di laman sendiri bersama Aprilia sebelum turut menyertai sambutan dan memeluk rakan senegaranya selepas perlumbaan.
Kehadiran Bezzecchi di Monza kali ini ternyata turut membawa tuah.
Antonelli bangkit daripada petak ke-19 akibat penalti berkaitan enjin untuk menghasilkan antara persembahan terbaik dalam karier mudanya dan muncul juara di hadapan penyokong sendiri.
Pelumba berusia 20 tahun itu mara pantas dalam kelompok hadapan sebelum memintas rakan sepasukan Mercedes, George Russell, pada penghujung perlumbaan.
Kemenangan tersebut menjadikan Antonelli pelumba Itali pertama menjuarai Grand Prix di Monza dalam tempoh 60 tahun.
Ia turut membolehkan Antonelli melebarkan kelebihan kepada 66 mata di depan Russell dalam kedudukan kejuaraan dunia ketika dia memburu peluang menjadi juara dunia F1 pertama Itali sejak Alberto Ascari pada 1953.
Bezzecchi bukan satu-satunya bintang sukan Itali yang berada di Monza untuk menyaksikan detik bersejarah itu.
Pemain tenis nombor satu dunia, Jannik Sinner, turut hadir selepas kecederaan lutut memaksanya terlepas Terbuka AS yang sedang berlangsung dan kemudian mengucapkan tahniah kepada Antonelli atas kejayaannya.
Selepas meraikan kejayaan Antonelli, Bezzecchi kini kembali memberi tumpuan kepada pemburuan gelaran dunianya sendiri.
MotoGP akan menuju ke Misano bagi Grand Prix San Marino, memberi peluang kepada pelumba kelahiran Rimini itu untuk memburu kejayaan di laman sendiri hanya dua minggu selepas menaiki podium di tempat ketiga di Aragon.
Saksikan Grand Prix San Marino 2026 secara langsung menerusi SPOTV NOW.
Litar baharu Grand Prix Adelaide menerima reaksi positif daripada barisan pelumba MotoGP, termasuk juara dunia Marc Marquez, menjelang penampilan sulungnya dalam kalendar musim depan.
Litar sepanjang 4.13km yang diperkenalkan awal minggu ini mempunyai 15 selekoh dengan sebahagiannya menggunakan jalan yang pernah menjadi litar Formula One di bandar itu.
Namun, apa yang paling mencuri perhatian adalah suasananya.
Berbeza dengan kebanyakan venue MotoGP ketika ini, pelumba bakal melalui kawasan yang dikelilingi pokok dan kediaman, selain dapat melihat latar langit Adelaide ketika berada di beberapa bahagian litar.
Bagi Marquez, keunikan itu menjadi lebih menarik apabila penganjur masih mampu menyediakan ruang keselamatan yang diperlukan untuk perlumbaan motosikal.
“Menakjubkan melihat motosikal berada di celah pokok tetapi masih mempunyai ruang keselamatan yang mencukupi. Itu sangat penting kerana tanpanya, kami tidak boleh berlumba dan saya rasa MotoGP melakukan tugas yang luar biasa,” kata pelumba Sepanyol itu.
Keselamatan menjadi antara perkara utama yang dibincangkan sejak rancangan perlumbaan di Adelaide diumumkan, terutama kerana ia bukan litar kekal sepenuhnya.
Sebahagian laluan menggunakan jalan sedia ada, manakala beberapa bahagian lain dibina khusus bagi memastikan litar memenuhi keperluan keselamatan MotoGP.
Luca Marini antara yang berpuas hati dengan apa yang dilihat setakat ini, terutama keluasan ruang di tepi litar.
“Kami banyak berbincang mengenai keselamatan dan kawasan run-off, tetapi daripada apa yang dapat dilihat sekarang, memang ada banyak ruang di sekeliling litar,” katanya.
Toprak Razgatlioglu pula tertarik dengan pengalaman berlumba begitu hampir dengan kawasan kediaman, sesuatu yang jarang ditemui dalam MotoGP.
“Saya rasa semua orang akan seronok dengan litar ini. Melihat rumah begitu dekat memang sangat pelik bagi seorang pelumba,” kata pelumba Prima Pramac Yamaha itu.
Francesco Bagnaia turut menjangkakan Adelaide bakal menawarkan cabaran menarik kerana tiada seorang pun pelumba mempunyai pengalaman sebenar di litar berkenaan.
“Ini akan menjadi sesuatu yang baharu untuk semua orang berlumba dalam bandar. Saya harap semuanya nanti sama seperti dalam video kerana ia nampak hebat. Saya rasa kami akan menikmatinya,” katanya.
Grand Prix Australia akan berpindah dari Phillip Island ke Adelaide mulai 2027, sekali gus membawa MotoGP ke suasana perlumbaan yang sangat berbeza daripada venue tradisinya di negara itu.
Buat masa ini, barisan pelumba hanya dapat menilai litar menerusi gambaran maya, tetapi sambutan awal menunjukkan Adelaide sudah berjaya mencetuskan rasa teruja lebih setahun sebelum perlumbaan pertama berlangsung.
Sebelum tiba masanya untuk menghadapi cabaran baharu itu, Marquez dan pencabarnya masih perlu menyelesaikan perebutan kejuaraan dunia 2026 dalam musim terakhir MotoGP menggunakan jentera 1000cc.
Saksikan setiap perlumbaan MotoGP 2026 secara langsung menerusi SPOTV NOW.