Litar jalan raya Adelaide curi perhatian pelumba MotoGP

Litar baharu Grand Prix Adelaide menerima reaksi positif daripada barisan pelumba MotoGP, termasuk juara dunia Marc Marquez, menjelang penampilan sulungnya dalam kalendar musim depan.

Litar sepanjang 4.13km yang diperkenalkan awal minggu ini mempunyai 15 selekoh dengan sebahagiannya menggunakan jalan yang pernah menjadi litar Formula One di bandar itu.

Namun, apa yang paling mencuri perhatian adalah suasananya.

Berbeza dengan kebanyakan venue MotoGP ketika ini, pelumba bakal melalui kawasan yang dikelilingi pokok dan kediaman, selain dapat melihat latar langit Adelaide ketika berada di beberapa bahagian litar.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by MotoGP™ (@motogp)

Bagi Marquez, keunikan itu menjadi lebih menarik apabila penganjur masih mampu menyediakan ruang keselamatan yang diperlukan untuk perlumbaan motosikal.

“Menakjubkan melihat motosikal berada di celah pokok tetapi masih mempunyai ruang keselamatan yang mencukupi. Itu sangat penting kerana tanpanya, kami tidak boleh berlumba dan saya rasa MotoGP melakukan tugas yang luar biasa,” kata pelumba Sepanyol itu.

Keselamatan menjadi antara perkara utama yang dibincangkan sejak rancangan perlumbaan di Adelaide diumumkan, terutama kerana ia bukan litar kekal sepenuhnya.

Sebahagian laluan menggunakan jalan sedia ada, manakala beberapa bahagian lain dibina khusus bagi memastikan litar memenuhi keperluan keselamatan MotoGP.

Luca Marini antara yang berpuas hati dengan apa yang dilihat setakat ini, terutama keluasan ruang di tepi litar.

“Kami banyak berbincang mengenai keselamatan dan kawasan run-off, tetapi daripada apa yang dapat dilihat sekarang, memang ada banyak ruang di sekeliling litar,” katanya.

Toprak Razgatlioglu pula tertarik dengan pengalaman berlumba begitu hampir dengan kawasan kediaman, sesuatu yang jarang ditemui dalam MotoGP.

“Saya rasa semua orang akan seronok dengan litar ini. Melihat rumah begitu dekat memang sangat pelik bagi seorang pelumba,” kata pelumba Prima Pramac Yamaha itu.

Francesco Bagnaia turut menjangkakan Adelaide bakal menawarkan cabaran menarik kerana tiada seorang pun pelumba mempunyai pengalaman sebenar di litar berkenaan.

“Ini akan menjadi sesuatu yang baharu untuk semua orang berlumba dalam bandar. Saya harap semuanya nanti sama seperti dalam video kerana ia nampak hebat. Saya rasa kami akan menikmatinya,” katanya.

Grand Prix Australia akan berpindah dari Phillip Island ke Adelaide mulai 2027, sekali gus membawa MotoGP ke suasana perlumbaan yang sangat berbeza daripada venue tradisinya di negara itu.

Buat masa ini, barisan pelumba hanya dapat menilai litar menerusi gambaran maya, tetapi sambutan awal menunjukkan Adelaide sudah berjaya mencetuskan rasa teruja lebih setahun sebelum perlumbaan pertama berlangsung.

Sebelum tiba masanya untuk menghadapi cabaran baharu itu, Marquez dan pencabarnya masih perlu menyelesaikan perebutan kejuaraan dunia 2026 dalam musim terakhir MotoGP menggunakan jentera 1000cc.

Saksikan setiap perlumbaan MotoGP 2026 secara langsung menerusi SPOTV NOW.