Marc Marquez mendedahkan sebab dia berkongsi foto yang menunjukkan keadaan sebenar lengan kanannya selepas isu kecederaan itu terus menjadi perhatian ketika dia sedang memburu kejuaraan dunia MotoGP.
Juara dunia itu mengejutkan peminat minggu lalu apabila memuat naik beberapa gambar yang tidak pernah dikongsikan dari Grand Prix Aragon, termasuk satu foto yang jelas menunjukkan perbezaan antara lengan kanan dan kirinya.
View this post on Instagram
Menjelang Grand Prix San Marino hujung minggu ini, Marquez berkata dia sengaja berkongsi foto tersebut supaya tidak lagi perlu berdepan pelbagai persoalan mengenai keadaan fizikalnya.
“Saya memuat naik foto itu kerana saya rasa itulah cara terbaik untuk menghentikan perbualan mengenai lengan saya,” kata Marquez.
“Apa yang saya pelajari sepanjang karier ialah apabila timbul persoalan, khabar angin dan spekulasi, semuanya lebih mudah jika kita berterus terang.”
View this post on Instagram
Masalah pada lengan kanan Marquez bermula selepas dia mengalami patah tulang humerus dalam kemalangan ketika Grand Prix Sepanyol 2020.
Beberapa komplikasi selepas kecederaan itu memaksanya menjalani beberapa pembedahan sebelum prosedur keempat dilakukan pada 2022 untuk memutar dan menjajarkan semula tulang berkenaan.
Pembedahan itu membantu Marquez kembali bersaing di kelompok depan MotoGP, namun kesan kecederaan tersebut masih jelas sehingga hari ini apabila lengan kanannya mempunyai jisim otot dan kekuatan yang lebih rendah.
“Saya tahu keadaan diri saya, tetapi dengan cara ini, anda semua boleh melihatnya,” katanya.
“Anda juga boleh melihat temu bual bersama doktor saya yang menerangkan apa sebenarnya berlaku kepada tubuh saya.
“Jadi sekarang saya hanya mahu memberi tumpuan kepada perebutan kejuaraan ini dengan keadaan yang saya ada.”
Walaupun tidak berada pada tahap fizikal sempurna, Marquez kekal dalam perebutan gelaran dunia dan menuju ke Misano dengan hanya 19 mata memisahkannya daripada pendahulu kejuaraan, Jorge Martin.
Pelumba Ducati itu turut mempunyai rekod cemerlang di Misano dengan enam kemenangan MotoGP, termasuk memenangi dua edisi terakhir Grand Prix San Marino.



