Rins umum bersara, tolak tawaran WorldSBK

(Luca Gambuti/MotoGP)

Alex Rins akan menamatkan karier perlumbaan motosikalnya selepas musim 2026 meskipun menerima tawaran untuk meneruskan karier dalam Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK).

Pelumba berusia 30 tahun itu sememangnya bakal meninggalkan Yamaha apabila kontraknya tamat hujung tahun ini dan sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke WorldSBK.

Namun menjelang Grand Prix San Marino, Rins mengesahkan dia memilih untuk meninggalkan dunia perlumbaan motosikal selepas 14 tahun beraksi di pentas dunia.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by MotoGP™ (@motogp)

“Saya tidak akan ke Superbike tahun depan,” kata Rins.

“Saya mempunyai dua pilihan di sana. Saya benar-benar mahu mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana menunjukkan minat yang besar terhadap saya. Tetapi saya menemui sesuatu yang lebih memberi motivasi kepada saya.

“Seperti yang saya katakan beberapa perlumbaan lalu, saya mempunyai satu projek yang sangat menarik dalam perancangan tetapi belum boleh mendedahkannya kerana ia masih belum 100 peratus selesai.”

Rins masih belum memberikan sebarang butiran mengenai projek berkenaan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai perancangannya selepas musim 2026.

Pelumba Sepanyol itu membuat penampilan sulung MotoGP bersama Suzuki pada 2017 selepas muncul naib juara Moto3 dan Moto2.

Sepanjang kariernya dalam kelas premier, Rins mencatat enam kemenangan dan 18 podium.

Dia menghabiskan enam musim bersama Suzuki sebelum pengeluar Jepun itu menarik diri daripada MotoGP pada penghujung 2022, yang menyaksikannya berhijrah ke LCR Honda.

Rins kemudian mencipta kejutan apabila memenangi Grand Prix Americas 2023 dalam perlumbaan ketiganya bersama Honda, namun musimnya terjejas selepas mengalami kecederaan serius di Mugello.

Dia menyertai Yamaha pada 2024 dan menghabiskan tiga musim bersama pasukan kilang itu sebelum membuat keputusan untuk bersara selepas berakhirnya kempen tahun ini.

“Saya sangat gembira. Sudah tentu keputusan ini sukar dibuat kerana hampir seluruh hidup saya dihabiskan dalam kejuaraan ini. Begitu banyak pertarungan, perlumbaan dan kemenangan sepanjang kira-kira 14 tahun,” katanya.

“Jadi, ya, saya akan berhenti berlumba motosikal.”

Rins masih mempunyai sembilan pusingan untuk diharungi dalam musim terakhirnya di MotoGP, bermula dengan Grand Prix San Marino di Misano hujung minggu ini.