Alexandra Eala tidak mempunyai banyak masa untuk meratapi penyingkirannya daripada Terbuka AS 2026 apabila dua tugasan besar di Asia sudah menanti pemain Filipina itu bulan ini.
Kempen Eala di New York berakhir pada pusingan ketiga selepas tewas kepada Iva Jovic dalam pertarungan tiga jam di Arthur Ashe Stadium.
Namun, kejayaan mara sejauh itu tetap menjadi pencapaian terbaik pemain berusia 21 tahun berkenaan di Flushing Meadows, dalam musim yang menyaksikan namanya semakin kukuh dalam kelompok pemain terbaik dunia.
Eala dijadual kembali beraksi di Terbuka Tenis Singapura dari 21 hingga 27 September, yang tahun ini dinaik taraf menjadi kejohanan WTA 500.
Saingan di OCBC Arena bakal menjadi satu lagi ujian besar buatnya apabila Jessica Pegula, Mirra Andreeva dan Amanda Anisimova antara pemain ternama yang disenaraikan untuk beraksi.
Turut dijangka mengambil bahagian ialah bintang Indonesia, Janice Tjen, sekali gus memberi peluang kepada peminat serantau menyaksikan dua nama utama tenis wanita Asia Tenggara beraksi dalam kejohanan sama.
Selesai cabaran di Singapura, Eala akan mengetepikan seketika saingan Jelajah WTA untuk menyarung jersi Filipina di Sukan Asia 2026 di Jepun.
Pengarah Eksekutif Persatuan Tenis Filipina (Philta), Tonette Mendoza, mengesahkan penyertaan Eala kepada Daily Tribune.
Komitmen bersama skuad negara itu menyebabkan Eala tidak akan beraksi di Terbuka China di Beijing kerana kejohanan WTA 1000 berkenaan bertindih dengan jadual Sukan Asia.
Eala bukan asing dengan podium temasya terbesar Asia itu. Pada penampilan sulungnya di Hangzhou 2022, dia meraih gangsa perseorangan wanita selepas tewas kepada Zheng Qinwen di separuh akhir sebelum pemain China itu muncul juara.
Eala turut membawa pulang satu lagi gangsa menerusi beregu campuran bersama Francis Casey Alcantara.
Kali ini, dia hadir dengan reputasi jauh lebih besar. Dalam tempoh empat tahun sejak Hangzhou, Eala sudah melonjak ke kelompok 20 terbaik dunia dan musim ini turut mencipta sejarah dengan meraih gelaran pertama dalam Jelajah WTA.
Selepas mencipta pelbagai pencapaian di pentas profesional sepanjang 2026, Eala kini berpeluang mecapai satu lagi kejayaan bermakna dan memburu pingat buat Filipina.
View this post on Instagram



