Ronaldo kekal bersama Portugal di sebalik spekulasi persaraan
Oleh Lee Seng Foo2 jam lalu
Cristiano Ronaldo masih menjadi sebahagian daripada perancangan Portugal selepas bintang Al Nassr itu disenaraikan untuk aksi UEFA Nations League akan datang di sebalik spekulasi mengenai persaraannya.
Pemain berusia 41 tahun itu tersenarai dalam skuad pertama kendalian ketua jurulatih baharu, Jorge Jesus, yang memilih 25 pemain untuk menghadapi Wales, Norway dan Denmark.
Masa depan Ronaldo menjadi tanda tanya sejak bulan lalu selepas dia memberi bayangan musim ini mungkin menjadi tahun terakhirnya sebagai pemain bola sepak profesional.
Laporan sebelum ini turut mendakwa pertemuan dengan Wales di Estadio Jose Alvalade pada 24 September mungkin menjadi penampilan terakhir Ronaldo bersama Portugal.
Namun, pemenang lima Ballon d’Or itu masih belum menetapkan tarikh untuk mengakhiri karier antarabangsanya dan kekal dalam perancangan Jesus.
Jesus mengambil alih pasukan selepas Roberto Martinez meninggalkan jawatan susulan kekalahan Portugal kepada Sepanyol pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia.
Pelantikan itu menyatukan semula Ronaldo dengan bekas jurulatihnya di Al Nassr selepas mereka membantu kelab Arab Saudi berkenaan meraih gelaran Liga Pro Saudi pertama sejak 2019 pada musim lalu.
Di peringkat kelab, Ronaldo masih mengetuai cabaran Al Nassr mempertahankan kejuaraan dalam musim yang mungkin menjadi kempen terakhirnya sebagai pemain profesional.
Namun, juara bertahan itu belum menemui rentak konsisten pada awal musim ini. Ronaldo menjaringkan tiga gol dalam tujuh penampilan liga, manakala aksi terbaru Al Nassr berakhir dengan keputusan seri 1-1 menentang Al Khaleej.
Saksikan perlawanan terpilih Liga Pro Saudi 2026/27 secara langsung menerusi SPOTV NOW.
Grand Prix Jepun 2026 bakal menerima sentuhan anime apabila francais popular negara itu, "Umamusume Pretty Derby", diumumkan sebagai rakan acara rasmi perlumbaan di Motegi.
Kerjasama itu akan membawa dunia "Umamusume Pretty Derby" ke Mobility Resort Motegi sepanjang hujung minggu perlumbaan dari 2 hingga 4 Oktober, menggabungkan salah satu francais hiburan terbesar Jepun dengan aksi MotoGP.
Dibangunkan studio Jepun, Cygames, "Umamusume Pretty Derby" menampilkan watak yang diinspirasikan daripada kuda lumba sebenar dan bersaing dalam perlumbaan sambil mengejar kerjaya sebagai idola.
Francais itu mula diperkenalkan sebagai permainan video di Jepun pada 2021 sebelum berkembang menerusi siri anime, manga dan pelbagai medium lain.
Popularitinya di peringkat antarabangsa semakin meningkat selepas versi bahasa Inggeris permainan tersebut dilancarkan pada 2025.
Selain pelbagai aktiviti dan pameran khas di sekitar Motegi sepanjang Grand Prix Jepun, Tomoyo Takayanagi yang mengisi suara watak Oguri Cap akan diberi penghormatan mengibarkan bendera penamat bagi perlumbaan Moto2 dan Moto3 pada Ahad.
Grand Prix Jepun turut menjadi hujung minggu penting ketika perebutan kejuaraan MotoGP 2026 memasuki fasa akhir, dengan juara bertahan Marc Marquez serta Jorge Martin dan Marco Bezzecchi bersaing rapat di kelompok teratas.
Namun sebelum ke Jepun, tumpuan MotoGP terlebih dahulu terarah kepada Grand Prix Austria di Red Bull Ring dari 18 hingga 20 September.
Saksikan perlumbaan MotoGP 2026 secara langsung menerusi SPOTV NOW.
Senna Agius melengkapkan barisan 22 pelumba MotoGP bagi musim 2027 selepas mendapatkan tempat terakhir yang masih tersedia bersama Red Bull KTM Tech3.
Agius akan dinaikkan daripada Moto2 untuk bergandingan dengan Luca Marini di Tech3, sekali gus menjadikan pelumba berusia 21 tahun itu antara muka baharu yang bakal mewarnai kelas perdana musim depan.
Pengesahan Agius bermakna kesemua 22 pelumba bagi musim 2027 kini sudah diketahui, dengan hanya susunan akhir barisan Honda masih belum ditentukan.
Fabio Quartararo akan mengetuai pasukan HRC, manakala Johann Zarco kekal bersama LCR. Honda bagaimanapun masih perlu menentukan pasukan buat David Alonso dan Diogo Moreira.
Selain Honda, sebahagian besar grid bakal tampil dengan kombinasi baharu apabila MotoGP memasuki era enjin 850cc dan tayar Pirelli pada 2027.
Ducati akan menggandingkan juara dunia Marc Marquez dengan Pedro Acosta, manakala Francesco Bagnaia meninggalkan pengeluar Itali itu untuk menyertai Marco Bezzecchi di Aprilia.
KTM dan Yamaha pula akan menurunkan barisan pelumba yang berubah sepenuhnya. Alex Marquez bergandingan dengan Fabio Di Giannantonio di KTM, sementara Jorge Martin menyertai Ai Ogura di Yamaha.
Perubahan besar turut berlaku dalam kalangan pasukan satelit.
Fermin Aldeguer berpindah dari Gresini ke VR46 dan akan bergandingan dengan bintang WorldSBK, Nicolo Bulega.
Gresini pula mempertaruhkan juara dunia 2020, Joan Mir bersama graduan Moto2, Daniel Holgado, manakala Enea Bastianini menyertai Raul Fernandez di Trackhouse Aprilia.
Prima Pramac Yamaha turut melakukan rombakan dengan menggandingkan Toprak Razgatlioglu dan Izan Guevara, yang akan membuat lonjakan daripada Moto2.
Rombakan besar itu turut menyaksikan beberapa nama yang sudah lama berada dalam MotoGP tidak lagi berada dalam grid musim depan, antaranya Jack Miller, Brad Binder, Franco Morbidelli dan Maverick Vinales.
Alex Rins pula sudah mengumumkan akan menamatkan karier perlumbaan motosikalnya selepas musim ini.
MotoGP kembali ke Red Bull Ring hujung minggu ini untuk Grand Prix Austria ketika perebutan kejuaraan dunia semakin sengit susulan perubahan besar dalam kedudukan pelumba sejak beberapa pusingan lalu.
Berikut lima fakta menarik menjelang Grand Prix Austria 2026 dari 18 hingga 20 September, yang akan disiarkan secara langsung menerusi SPOTV NOW.
Selepas Grand Prix Itali, Marc Marquez ketinggalan 102 mata di belakang pendahulu kejuaraan ketika itu, Marco Bezzecchi. Namun, hanya tujuh pusingan kemudian, kemenangan di Grand Prix San Marino membolehkan Marquez menyamai Jorge Martin di puncak dengan 274 mata.
Kebangkitan itu menyaksikan Marquez memadam defisit terbesar untuk mengambil alih kedudukan pendahulu sejak era MotoGP bermula, mengatasi jurang 91 mata yang pernah dikejar Francesco Bagnaia pada 2022.
Bagnaia bagaimanapun masih memegang rekod kebangkitan terbesar untuk akhirnya muncul juara dunia MotoGP selepas mengejar Fabio Quartararo dan merangkul gelaran pada musim tersebut.
Tinggal tiga pelumba selepas sedekad
Ketika Austria kembali dalam kalendar MotoGP pada 2016, Marquez, Maverick Vinales dan Jack Miller adalah antara pelumba yang berada dalam kelas premier. Sedekad kemudian, hanya mereka bertiga daripada barisan pelumba musim tersebut yang masih berada dalam grid MotoGP.
Miller bagaimanapun tidak sempat memulakan perlumbaan pada 2016 selepas terjatuh ketika sesi warm-up, manakala penyertaan Vinales hujung minggu ini masih belum pasti kerana sedang pulih daripada kecederaan bahu.
Jika Vinales sekali lagi terpaksa menarik diri, Marquez akan menjadi satu-satunya pelumba tetap yang beraksi dalam kedua-dua Grand Prix Austria 2016 dan 2026.
Menariknya, Pol Espargaro yang menggantikan Vinales dalam beberapa pusingan kebelakangan ini turut berada dalam grid ketika MotoGP kembali ke Austria 10 tahun lalu.
Red Bull Ring lubuk kemenangan Ducati
Sejak MotoGP kembali ke Austria pada 2016, Red Bull Ring menjadi antara litar paling berjaya buat Ducati. Pengeluar Itali itu memenangi 10 daripada 12 perlumbaan kelas premier yang berlangsung di situ sepanjang sedekad lalu, termasuk Grand Prix Styria pada 2020 dan 2021.
Andrea Iannone, Andrea Dovizioso, Jorge Lorenzo, Martin dan Bagnaia masing-masing pernah menyumbang kemenangan kepada Ducati di Spielberg. Marquez pula menyertai senarai itu tahun lalu apabila akhirnya meraih kemenangan pertamanya di Austria.
Acosta mampu cipta kejutan di laman KTM
Hanya KTM berjaya menghalang Ducati daripada menguasai sepenuhnya Red Bull Ring sejak 2016. Miguel Oliveira menghadiahkan kemenangan kepada pengeluar Austria itu dalam Grand Prix Styria 2020, sebelum Brad Binder mencipta antara kemenangan paling diingati di litar tersebut apabila menjuarai Grand Prix Austria 2021.
Kini giliran Acosta berpeluang menjadi pelumba ketiga KTM menang di laman sendiri, sekali gus memburu kemenangan Grand Prix MotoGP pertama dalam kariernya.
Pelumba Sepanyol itu tiba di Spielberg selepas menaiki podium dalam dua perlumbaan berturut-turut di Aragon dan San Marino, selepas menerima peningkatan enjin yang membantu KTM kembali mencabar di kelompok depan.
Juara sulung FIM Harley-Davidson Bagger World Cup akan ditentukan di Red Bull Ring hujung minggu ini dengan empat pelumba masih berpeluang merebut gelaran.
Archie McDonald mendahului kejuaraan dengan 174 mata, hanya tujuh mata di depan Eric Granado yang mengumpul 167 mata. Oscar Gutierrez berada di tempat ketiga dengan 148 mata, manakala Andrea Iannone masih berpeluang dengan 147 mata. Jika Iannone mampu mengejar tiga pencabar di depannya, Red Bull Ring sekali lagi bakal menjadi gelanggang istimewa buat pelumba Itali itu.
Sepuluh tahun lalu, Iannone meraih kemenangan pertama dan satu-satunya dalam MotoGP di litar sama, sekali gus menamatkan kemarau kemenangan Ducati selama enam tahun dalam kelas premier. Kini, Spielberg mungkin sekali lagi menjadi lokasi Iannone mencipta sejarah, kali ini sebagai juara sulung Bagger World Cup.
Trinity Rodman melalui hari yang cukup sibuk pada Ahad apabila selesai beraksi dalam saingan NWSL di Washington sebelum bergegas ke New York untuk menyaksikan teman lelakinya, Ben Shelton, dalam final Terbuka AS.
Bintang bola sepak Amerika Syarikat itu turun bersama Washington Spirit menentang Boston Legacy FC pada jam 1 tengah hari, hanya sejam sebelum Shelton memulakan final Grand Slam pertamanya menentang Alexander Zverev di Arthur Ashe Stadium.
Selepas Spirit tewas 3-0, Rodman terus meninggalkan Washington untuk menempuh perjalanan lebih 300 kilometer ke New York.
Pemain berusia 24 tahun itu akhirnya sempat tiba di Flushing Meadows sebelum perlawanan berakhir dan muncul dengan memakai baju yang memaparkan wajah Shelton.
Ketika Rodman tiba, Shelton sedang berusaha memanjangkan perlawanan selepas memenangi set ketiga.
Namun, Zverev menutup peluang kebangkitan pemain Amerika Syarikat itu dengan kemenangan 6-3, 7-6(2), 5-7, 6-2 untuk meraih gelaran Terbuka AS pertamanya.
“Saya tahu dia akan datang. Saya tahu hampir mustahil untuk dia sempat sampai, tetapi hakikat bahawa dia sanggup berusaha dan mencuba untuk datang memang luar biasa,” kata Shelton.
“Dia tiba ketika saya sedang kalah, jadi mungkin itu agak mengecewakan buatnya.”
Kehadiran Rodman turut mencuri perhatian Zverev, yang sempat mengusiknya ketika majlis penyampaian trofi.
“Trinity, saya ingat kamu ada perlawanan hari ini,” kata Zverev.
“Kamu pembawa tuah... biasanya, cuma bukan hari ini.”
Ia bukan kali pertama Rodman sanggup menyesuaikan jadualnya untuk memberi sokongan kepada Shelton sepanjang Terbuka AS.
Dia turut berada di Flushing Meadows ketika Shelton menyingkirkan juara bertahan Carlos Alcaraz di suku akhir dalam perlawanan yang berakhir pada jam 3.33 pagi, penamat paling lewat dalam sejarah kejohanan.
Beberapa jam kemudian, Rodman sudah berada di Virginia untuk menjalani latihan bersama Spirit.
Shelton gagal menamatkan penantian panjang tenis lelaki Amerika Syarikat untuk seorang lagi juara Grand Slam selepas Andy Roddick kali terakhir melakukannya di Terbuka AS 2003.
Namun, kejayaannya mara ke final di New York tetap menjadi pencapaian terbaik Shelton dalam kejohanan Grand Slam setakat ini.