Agius lengkapkan grid MotoGP 2027

(Luca Gambuti/MotoGP)

Senna Agius melengkapkan barisan 22 pelumba MotoGP bagi musim 2027 selepas mendapatkan tempat terakhir yang masih tersedia bersama Red Bull KTM Tech3.

Agius akan dinaikkan daripada Moto2 untuk bergandingan dengan Luca Marini di Tech3, sekali gus menjadikan pelumba berusia 21 tahun itu antara muka baharu yang bakal mewarnai kelas perdana musim depan.

Pengesahan Agius bermakna kesemua 22 pelumba bagi musim 2027 kini sudah diketahui, dengan hanya susunan akhir barisan Honda masih belum ditentukan.

Fabio Quartararo akan mengetuai pasukan HRC, manakala Johann Zarco kekal bersama LCR. Honda bagaimanapun masih perlu menentukan pasukan buat David Alonso dan Diogo Moreira.

Selain Honda, sebahagian besar grid bakal tampil dengan kombinasi baharu apabila MotoGP memasuki era enjin 850cc dan tayar Pirelli pada 2027.

Ducati akan menggandingkan juara dunia Marc Marquez dengan Pedro Acosta, manakala Francesco Bagnaia meninggalkan pengeluar Itali itu untuk menyertai Marco Bezzecchi di Aprilia.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Ducati Corse (@ducaticorse)

KTM dan Yamaha pula akan menurunkan barisan pelumba yang berubah sepenuhnya. Alex Marquez bergandingan dengan Fabio Di Giannantonio di KTM, sementara Jorge Martin menyertai Ai Ogura di Yamaha.

Perubahan besar turut berlaku dalam kalangan pasukan satelit.

Fermin Aldeguer berpindah dari Gresini ke VR46 dan akan bergandingan dengan bintang WorldSBK, Nicolo Bulega.

Gresini pula mempertaruhkan juara dunia 2020, Joan Mir bersama graduan Moto2, Daniel Holgado, manakala Enea Bastianini menyertai Raul Fernandez di Trackhouse Aprilia.

Prima Pramac Yamaha turut melakukan rombakan dengan menggandingkan Toprak Razgatlioglu dan Izan Guevara, yang akan membuat lonjakan daripada Moto2.

Rombakan besar itu turut menyaksikan beberapa nama yang sudah lama berada dalam MotoGP tidak lagi berada dalam grid musim depan, antaranya Jack Miller, Brad Binder, Franco Morbidelli dan Maverick Vinales.

Alex Rins pula sudah mengumumkan akan menamatkan karier perlumbaan motosikalnya selepas musim ini.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by MotoGP™ (@motogp)