MotoGP kembali ke Red Bull Ring hujung minggu ini untuk Grand Prix Austria ketika perebutan kejuaraan dunia semakin sengit susulan perubahan besar dalam kedudukan pelumba sejak beberapa pusingan lalu.
Berikut lima fakta menarik menjelang Grand Prix Austria 2026 dari 18 hingga 20 September, yang akan disiarkan secara langsung menerusi SPOTV NOW.
View this post on Instagram
Marquez padam defisit 102 mata
Selepas Grand Prix Itali, Marc Marquez ketinggalan 102 mata di belakang pendahulu kejuaraan ketika itu, Marco Bezzecchi. Namun, hanya tujuh pusingan kemudian, kemenangan di Grand Prix San Marino membolehkan Marquez menyamai Jorge Martin di puncak dengan 274 mata.
Kebangkitan itu menyaksikan Marquez memadam defisit terbesar untuk mengambil alih kedudukan pendahulu sejak era MotoGP bermula, mengatasi jurang 91 mata yang pernah dikejar Francesco Bagnaia pada 2022.
Bagnaia bagaimanapun masih memegang rekod kebangkitan terbesar untuk akhirnya muncul juara dunia MotoGP selepas mengejar Fabio Quartararo dan merangkul gelaran pada musim tersebut.
Tinggal tiga pelumba selepas sedekad
Ketika Austria kembali dalam kalendar MotoGP pada 2016, Marquez, Maverick Vinales dan Jack Miller adalah antara pelumba yang berada dalam kelas premier. Sedekad kemudian, hanya mereka bertiga daripada barisan pelumba musim tersebut yang masih berada dalam grid MotoGP.
Miller bagaimanapun tidak sempat memulakan perlumbaan pada 2016 selepas terjatuh ketika sesi warm-up, manakala penyertaan Vinales hujung minggu ini masih belum pasti kerana sedang pulih daripada kecederaan bahu.
Jika Vinales sekali lagi terpaksa menarik diri, Marquez akan menjadi satu-satunya pelumba tetap yang beraksi dalam kedua-dua Grand Prix Austria 2016 dan 2026.
Menariknya, Pol Espargaro yang menggantikan Vinales dalam beberapa pusingan kebelakangan ini turut berada dalam grid ketika MotoGP kembali ke Austria 10 tahun lalu.
Red Bull Ring lubuk kemenangan Ducati
Sejak MotoGP kembali ke Austria pada 2016, Red Bull Ring menjadi antara litar paling berjaya buat Ducati. Pengeluar Itali itu memenangi 10 daripada 12 perlumbaan kelas premier yang berlangsung di situ sepanjang sedekad lalu, termasuk Grand Prix Styria pada 2020 dan 2021.
Andrea Iannone, Andrea Dovizioso, Jorge Lorenzo, Martin dan Bagnaia masing-masing pernah menyumbang kemenangan kepada Ducati di Spielberg. Marquez pula menyertai senarai itu tahun lalu apabila akhirnya meraih kemenangan pertamanya di Austria.
Acosta mampu cipta kejutan di laman KTM
Hanya KTM berjaya menghalang Ducati daripada menguasai sepenuhnya Red Bull Ring sejak 2016. Miguel Oliveira menghadiahkan kemenangan kepada pengeluar Austria itu dalam Grand Prix Styria 2020, sebelum Brad Binder mencipta antara kemenangan paling diingati di litar tersebut apabila menjuarai Grand Prix Austria 2021.
Kini giliran Acosta berpeluang menjadi pelumba ketiga KTM menang di laman sendiri, sekali gus memburu kemenangan Grand Prix MotoGP pertama dalam kariernya.
Pelumba Sepanyol itu tiba di Spielberg selepas menaiki podium dalam dua perlumbaan berturut-turut di Aragon dan San Marino, selepas menerima peningkatan enjin yang membantu KTM kembali mencabar di kelompok depan.
View this post on Instagram
Empat pelumba buru gelaran Bagger
Juara sulung FIM Harley-Davidson Bagger World Cup akan ditentukan di Red Bull Ring hujung minggu ini dengan empat pelumba masih berpeluang merebut gelaran.
Archie McDonald mendahului kejuaraan dengan 174 mata, hanya tujuh mata di depan Eric Granado yang mengumpul 167 mata. Oscar Gutierrez berada di tempat ketiga dengan 148 mata, manakala Andrea Iannone masih berpeluang dengan 147 mata. Jika Iannone mampu mengejar tiga pencabar di depannya, Red Bull Ring sekali lagi bakal menjadi gelanggang istimewa buat pelumba Itali itu.
Sepuluh tahun lalu, Iannone meraih kemenangan pertama dan satu-satunya dalam MotoGP di litar sama, sekali gus menamatkan kemarau kemenangan Ducati selama enam tahun dalam kelas premier. Kini, Spielberg mungkin sekali lagi menjadi lokasi Iannone mencipta sejarah, kali ini sebagai juara sulung Bagger World Cup.
View this post on Instagram



