Dodger Stadium bertukar wajah pada aksi terakhir Los Angeles Dodgers di laman sendiri dalam musim regular apabila watak ikonik Jepun, Godzilla menjadi tarikan utama sempena Godzilla Minus Zero Night.
Acara khas itu berlangsung ketika Dodgers bertemu San Diego Padres pada Khamis sebagai sebahagian promosi menjelang tayangan filem terbaharu francais Godzilla.
Turut hadir ialah Ryunosuke Kamiki, pelakon yang membawa watak Koichi Shikishima dalam filem tersebut.
Kamiki diberi penghormatan melakukan balingan pertama sebelum perlawanan dengan Godzilla turut berada di atas padang.
Peminat yang hadir juga tidak pulang dengan tangan kosong apabila 40,000 penonton pertama menerima patung bobblehead khas Godzilla Minus Zero.
Sambutan diteruskan selepas perlawanan apabila dron menghiasi ruang udara di atas Dodger Stadium menerusi persembahan khas yang mengimbau perjalanan panjang Godzilla.
Godzilla Minus Zero Night dianjurkan dengan kerjasama syarikat hiburan Jepun, TOHO sebagai sebahagian promosi filem seterusnya dalam francais tersebut.
Godzilla Minus Zero mengambil latar pada 1949, dua tahun selepas peristiwa dalam filem sebelumnya, dengan kisah keluarga Shikishima diteruskan ketika Jepun sekali lagi berdepan ancaman Godzilla.
Filem itu akan membuat tayangan perdana di New York Film Festival 2026 pada 26 September sebelum ditayangkan di pawagam Jepun mulai 3 November.
Tijjani Reijnders tidak berselindung mengenai faktor kewangan di sebalik keputusannya meninggalkan Manchester City untuk menyertai Al Qadsiah, sambil menegaskan perpindahan ke Liga Pro Saudi bukan bermakna kariernya di pentas tertinggi sudah berakhir.
Pemain tengah Belanda itu berhijrah ke Arab Saudi pada Ogos selepas hanya semusim bersama City dan kini beraksi di bawah kendalian Brendan Rodgers.
Bagi Reijnders, tawaran daripada Al Qadsiah terlalu baik untuk dilepaskan kerana ia bukan sahaja menjamin kehidupannya selepas bersara, malah masa depan keluarganya untuk beberapa generasi.
“Apabila saya berhenti bermain nanti, saya tidak mahu perlu bekerja lagi,” katanya kepada stesen penyiaran Belanda, SBS6.
“Mungkin selepas kontrak bersama Manchester City pun saya sudah tidak perlu bekerja, tetapi perpindahan ini membolehkan saya menjaga masa depan generasi keluarga saya selepas ini.
“Dengan kontrak ini, cucu saya pun boleh mempunyai kehidupan yang terjamin. Jadi, mengapa saya perlu menolaknya? Orang boleh bercakap tentang soal moral, tetapi saya rasa sesiapa pun akan berkata ya jika menerima tawaran seperti ini.”
Namun, wang bukan satu-satunya tarikan buat bekas pemain AC Milan itu.
Reijnders percaya kualiti Liga Pro Saudi sering dipandang rendah dan merasakan kehadiran ramai pemain ternama menjadikan saingan itu lebih baik daripada Eredivisie di Belanda.
“Pada pandangan saya, liga Saudi dengan semua nama besar yang ada di sana berada pada tahap lebih tinggi daripada Eredivisie.
“Kalau mahu menilai mutu bola sepak di sana, tengok dahulu sebelum membuat kesimpulan,” tambahnya.
Reijnders turut mengakui dia pada mulanya mempunyai keraguan sama seperti kebanyakan pemain lain bahawa meninggalkan Eropah ketika berada di kemuncak karier mungkin menyukarkan peluang untuk kembali suatu hari nanti.
Perbualan bersama Rodgers bagaimanapun meyakinkannya bahawa pintu untuk kembali ke Eropah masih terbuka.
“Saya rasa ramai mempunyai tanggapan apabila anda mengambil langkah seperti ini, karier sebagai pemain di peringkat tertinggi sudah selesai. Pada awalnya saya juga berfikiran begitu,” katanya.
“Dia [Rodgers] memberitahu saya, saya boleh bermain di sini selama tiga atau empat tahun sebelum kembali ke Eropah. Sekarang pun sudah ada banyak contoh pemain yang melakukannya.
“Itu juga yang saya mahu lakukan.”
Malaysia dan Filipina menjadi dua negara dengan wakil terbanyak dalam senarai pelumba yang dijemput menyertai sesi pemilihan Moto4 Asia Cup 2027 apabila masing-masing mempunyai 13 pelumba muda.
Seramai 83 pelumba dari 17 negara dan wilayah akan menjalani pemilihan selama dua hari di Sepang International Kart Circuit pada 27 dan 28 Oktober.
Senarai itu terdiri daripada 79 pelumba lelaki dan empat wanita yang akan bersaing untuk merebut tempat dalam grid musim 2027.
Moto4 Asia Cup yang sebelum ini dikenali sebagai Asia Talent Cup merupakan antara laluan penting buat pelumba muda Asia untuk melangkah ke pentas dunia.
Antara graduannya ialah juara dunia Moto2 2024 yang kini beraksi dalam MotoGP, Ai Ogura, selain Somkiat Chantra dan Senna Agius.
Veda Ega Pratama dan Mario Aji dari Indonesia turut berjaya melangkah ke paddock Grand Prix, manakala Hakim Danish dari Malaysia kini sudah berada dalam Moto3.
Pemilihan pada Oktober ini bakal menentukan kumpulan pelumba seterusnya yang berpeluang mengikuti jejak mereka apabila musim 2027 bermula.
Saingan Moto4 Asia Cup 2026 pula kini diterajui pelumba Jepun, Hayato Chishiki yang mengumpul 70 mata selepas empat perlumbaan pertama.
Rakan senegaranya, Waku Kunitate berada enam mata di belakang, manakala pelumba Malaysia, Qabil Irfan menduduki tempat ketiga dengan 62 mata.
Ketua Pegawai Hasil Tottenham Hotspur, Ryan Norys menjadi antara empat eksekutif kanan yang bakal menyertai MotoGP dalam rombakan barisan pengurusan kejuaraan itu menjelang musim 2027.
Norys akan meninggalkan kelab Liga Perdana Inggeris tersebut untuk mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Komersial MotoGP.
Eksekutif itu bersama Tottenham sejak 2022 selepas sebelum ini pernah berkhidmat dengan AS Roma, Manchester City dan Miami Dolphins.
Di MotoGP, Norys akan mengetuai bahagian komersial yang merangkumi penajaan, pelesenan, hospitaliti dan pemasaran.
MotoGP turut membawa masuk tiga lagi eksekutif yang mempunyai pengalaman bersama beberapa organisasi sukan terbesar dunia termasuk Formula 1, NFL dan UFC.
Sameer Pabari dilantik sebagai Ketua Pegawai Media selepas sebelum ini berkhidmat dengan NFL, Warner Bros. Discovery dan Manchester United.
Louise Young pula akan menjadi Ketua Pegawai Operasi selepas lebih lapan tahun bersama Formula 1. Jawatan terakhirnya di kejuaraan itu adalah sebagai Ketua Pegawai Promosi Perlumbaan.
Seorang lagi muka baharu ialah Denitza Batchvarova yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Strategi. Batchvarova sebelum ini memegang jawatan kanan dalam bidang strategi dan kewangan korporat di TKO Group Holdings.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MotoGP, Carlos Ezpeleta berkata empat lantikan itu membawa pengalaman daripada beberapa organisasi sukan dan hiburan terbesar dunia ketika MotoGP mahu terus mengembangkan pasaran serta nilai komersialnya di peringkat antarabangsa.
Rombakan itu menyusuli beberapa perubahan lain dalam pengurusan tertinggi MotoGP sejak beberapa bulan lalu.
Ezpeleta dinaikkan pangkat pada Ogos, manakala Vince Russell menyertai MotoGP sebagai Ketua Pegawai Kewangan pada Mei. Enrique Aldama pula kini memegang jawatan Ketua Pegawai Pentadbiran.
Barisan pengurusan baharu itu akan terus diterajui Ketua Pegawai Eksekutif, Carmelo Ezpeleta ketika MotoGP bersiap menghadapi perubahan besar pada 2027.
Antaranya adalah pengenalan enjin 850cc serta Pirelli mengambil alih daripada Michelin sebagai pembekal tayar kejuaraan.
Grand Prix Valencia sekali lagi akan menjadi perlumbaan terakhir musim MotoGP pada 2027.
MotoGP mengesahkan pada Selasa bahawa Valencia akan menganjurkan pusingan terakhir kejuaraan tahun depan dari 26 hingga 28 November, meneruskan tradisi panjang litar itu sebagai penutup musim.
Valencia mula berada dalam kalendar Grand Prix pada 1999 dan sejak itu cukup sinonim dengan penentuan kejuaraan serta sambutan penghujung musim. Kontrak semasanya pula memastikan perlumbaan itu kekal dalam kalendar sehingga 2031.
Namun, Valencia bukan sentiasa menjadi destinasi terakhir MotoGP. Sejak membuat penampilan sulung, terdapat lima musim yang menyaksikan kejuaraan berakhir di litar lain.
1999 - Argentina tutup musim pertama Valencia
Valencia masih jauh daripada menjadi penutup musim ketika pertama kali muncul dalam kalendar Kejuaraan Dunia pada 1999.
Litar baharu itu menjadi tuan rumah pusingan ke-12 daripada 16 perlumbaan pada 19 September, dengan Regis Laconi memenangi perlumbaan kelas 500cc.
Selepas Valencia, saingan diteruskan di Australia, Afrika Selatan dan Brazil sebelum Grand Prix Argentina di Buenos Aires menjadi perlumbaan terakhir musim pada 31 Oktober.
2000 - Phillip Island jadi penutup musim
Valencia sekali lagi berlangsung pada September dalam musim keduanya, dengan beberapa perlumbaan masih berbaki selepas itu.
Perlumbaan pada 17 September yang dimenangi Garry McCoy disusuli pusingan di Rio de Janeiro dan Motegi sebelum saingan berakhir di Phillip Island.
Grand Prix Australia menjadi perlumbaan terakhir musim itu pada 29 Oktober.
Situasi sama berulang pada 2001, musim terakhir sebelum kelas MotoGP diperkenalkan pada tahun berikutnya.
Valencia menganjurkan pusingan ke-12 pada 23 September sebelum kejuaraan diteruskan dengan empat lagi perlumbaan di Jepun, Australia, Malaysia dan Brazil. Grand Prix Rio akhirnya menutup musim pada 3 November.
Selepas itu, hampir dua dekad berlalu sebelum Valencia sekali lagi tidak dijadualkan sebagai perlumbaan terakhir musim.
2020 - Pandemik bawa penamat ke Portugal
Pandemik COVID-19 akhirnya menamatkan rentetan panjang Valencia sebagai penutup musim apabila kalendar 2020 terpaksa dirombak secara besar-besaran.
Valencia menganjurkan perlumbaan selama dua hujung minggu berturut-turut dalam musim yang dipendekkan itu, dengan Grand Prix Valencia berlangsung pada 15 November.
Seminggu kemudian, MotoGP menuju ke Portimao untuk Grand Prix Portugal yang menjadi perlumbaan terakhir musim 2020.
Walaupun bukan penutup musim, Valencia tetap menjadi lokasi sambutan terbesar tahun itu apabila Joan Mir mengesahkan kejuaraan dunia MotoGP pertamanya.
2024 - Banjir pindahkan perlumbaan terakhir ke Barcelona
Valencia sepatutnya kembali menutup musim seperti biasa pada 2024, namun bencana banjir yang melanda wilayah itu memaksa MotoGP membatalkan perlumbaan.
Penganjur kemudian memilih Barcelona sebagai pengganti, dengan Circuit de Barcelona-Catalunya mengambil alih tarikh asal dari 15 hingga 17 November.
Perlumbaan itu dinamakan Solidarity Grand Prix of Barcelona sebagai tanda sokongan kepada mereka yang terjejas akibat banjir di Valencia.