Aksi Al Nassr antara tiga perlawanan Liga Arab Saudi ditunda

(Al Nassr/Facebook)

Pertembungan Al Nassr dengan Al Ahli antara tiga perlawanan Liga Pro Arab Saudi yang ditunda, dengan kedua-dua pasukan kini dijadualkan bertemu pada Mac tahun depan.

Liga Pro Arab Saudi mengumumkan perubahan jadual itu pada Selasa atas faktor logistik serta keperluan memastikan pemain mendapat tempoh rehat minimum antara perlawanan.

Aksi Al Ahli menentang Al Nassr yang sepatutnya berlangsung pada 15 Oktober kini dijadualkan semula pada 6 Mac 2027.

Dua lagi perlawanan membabitkan Al Riyadh menentang Al Hilal serta Al Ittihad bertemu Al Shabab, yang pada asalnya dijadualkan pada 16 Oktober, dipindahkan ke 19 Disember.

Bagaimanapun, baki perlawanan minggu kesembilan liga akan diteruskan mengikut jadual asal.

Perubahan itu dibuat ketika ketegangan antara Arab Saudi dengan kumpulan Houthi dari Yaman kembali memuncak, susulan beberapa serangan di negara berkenaan.

Al Nassr sebelum ini turut berdepan gangguan jadual ketika menentang kelab Uzbekistan, Neftchi Fergana dalam saingan AFC Champions League Elite di Riyadh pada Isnin.

Perlawanan tersebut terpaksa dimulakan lewat sejam susulan amaran keselamatan selepas pihak berkuasa Arab Saudi melaporkan berjaya memintas peluru berpandu yang dilancarkan ke arah ibu negara itu.

Aksi berkenaan akhirnya diteruskan dengan Cristiano Ronaldo turut menjaringkan gol ketika membantu Al Nassr mencatat kemenangan 3-1.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by AFC (@theafchub)