Saingan A-League Men 2026/27 bakal membuka tirai pada 16 Oktober dengan beberapa kelab membawa masuk pemain berpengalaman dari luar negara, manakala yang lain memilih untuk memperkuat skuad menerusi bakat muda dan pemain yang sudah mengenali liga Australia.
Menjelang sepak mula musim baharu yang boleh disaksikan secara langsung menerusi SPOTV NOW, berikut seorang pemain baharu daripada setiap 12 kelab yang berpotensi memberi impak.
View this post on Instagram
Adelaide United: Jacob Brazete
Adelaide United tidak begitu aktif dalam pasaran perpindahan kali ini, sebaliknya memberi tumpuan kepada pemain muda yang berpotensi berkembang bersama kelab.
Antara pemain yang dibawa masuk ialah Jacob Brazete dari Brisbane Roar menerusi kontrak tiga tahun dengan pilihan lanjutan semusim. Pemain sayap muda itu memilih Adelaide kerana tertarik dengan reputasi kelab dalam membangunkan bakat baharu.
Brazete mampu bermain di beberapa posisi serangan dan kini mahu merebut tempat tetap dalam kesebelasan utama Adelaide.
View this post on Instagram
Auckland FC: Lachlan Bayliss
Auckland FC mendapatkan khidmat Lachlan Bayliss selepas pemain tengah New Zealand itu menikmati musim cemerlang bersama Newcastle Jets.
Bayliss membantu Jets menjuarai Australia Cup dan Premiership 2025/26, selain terpilih dalam PFA Team of the Season. Dia juga pernah mewakili New Zealand di Sukan Olimpik Paris dan disenaraikan dalam skuad Piala Dunia 2026.
Kebolehannya bermain di bahagian tengah, di belakang penyerang atau di posisi sayap memberi Auckland lebih banyak pilihan dalam menyusun serangan.
View this post on Instagram
Brisbane Roar: Nam Tae-hee
Brisbane Roar mempertaruhkan pengalaman Nam Tae-hee untuk memperkuat jentera serangan mereka musim ini.
Pemain tengah menyerang Korea Selatan itu menyertai Brisbane dari Jeju SK selepas membina karier di Perancis, Qatar dan Jepun. Nam mempunyai lebih 50 penampilan antarabangsa bersama Korea Selatan dan pernah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Qatar pada 2017.
Pengalaman luasnya diharap dapat membantu Brisbane mencipta lebih banyak peluang jaringan ketika kelab itu berusaha memperbaiki prestasi serangan.
View this post on Instagram
Central Coast Mariners: John-Kymani Gordon
Central Coast membawa masuk John-Kymani Gordon, pemain berusia 23 tahun yang mendapat latihan awal di akademi Crystal Palace.
Gordon kemudian menimba pengalaman dalam bola sepak England menerusi beberapa tempoh pinjaman bersama Carlisle United, Cambridge United dan AFC Wimbledon. Dia turut beraksi untuk Colchester United dan Rochdale sebelum memilih untuk meneruskan karier di Australia.
Mampu mengisi beberapa posisi di bahagian serangan, Gordon kini berpeluang membuktikan kemampuannya dalam saingan A-League buat kali pertama.
View this post on Instagram
Macarthur FC: Ryan Fraser
Ryan Fraser menyertai Macarthur FC selepas menunjukkan prestasi baik dalam musim pertamanya di Australia bersama Western Sydney Wanderers.
Bekas pemain sayap Scotland itu menjaringkan empat gol dalam 12 penampilan bersama Wanderers musim lalu. Sebelum berhijrah ke A-League, Fraser pernah beraksi dalam 181 perlawanan Liga Perdana Inggeris bersama Bournemouth, Newcastle United dan Southampton.
Macarthur bukan sahaja mendapat pemain yang berpengalaman di pentas tertinggi England, malah seseorang yang sudah membuktikan kemampuannya dalam bola sepak Australia.
View this post on Instagram
Melbourne City: Awer Mabil
Selepas lebih sedekad berkelana di Eropah, Awer Mabil kembali ke Australia untuk menyertai Melbourne City.
Bekas pemain Adelaide United itu menandatangani kontrak tiga tahun selepas meninggalkan kelab Sepanyol, CD Castellón. Sepanjang kariernya di Eropah, Mabil pernah meraih kejuaraan di Denmark dan Republik Czech.
Kehadiran pemain antarabangsa Australia itu memberi Melbourne City tambahan pengalaman serta pilihan di bahagian sayap.
View this post on Instagram
Melbourne Victory: Tom Lockyer
Melbourne Victory mendapatkan khidmat pemain pertahanan Wales, Tom Lockyer yang pernah mengetuai Luton Town dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Lockyer membawa pengalaman sebagai kapten dan pemain pertahanan tengah untuk membantu memperkukuh barisan belakang Victory.
Penyertaannya juga menjadi sebahagian daripada usaha kelab membentuk skuad di bawah kendalian jurulatih baharu, Giovanni Savarese.
View this post on Instagram
Newcastle Jets: Joe Lolley
Newcastle Jets berjaya mendapatkan Joe Lolley menerusi kontrak dua tahun selepas pemain sayap Inggeris itu meninggalkan Sydney FC.
Lolley mempunyai rekod cemerlang dalam A-League dengan 36 gol daripada 112 penampilan sepanjang empat musim bersama Sydney. Dia sebelum ini pernah bermain untuk Huddersfield Town dan Nottingham Forest di England.
Dengan Newcastle bakal mempertahankan gelaran Premiership serta beraksi dalam AFC Champions League Elite, kehadiran Lolley memberi pasukan itu seorang pemain serangan yang sudah terbukti mampu menghasilkan gol dalam A-League.
View this post on Instagram
Perth Glory: Calem Nieuwenhof
Calem Nieuwenhof kembali beraksi di Australia selepas Perth Glory mendapatkan khidmatnya secara pinjaman semusim daripada Hearts.
Pemain tengah itu membuat hampir 50 penampilan bersama kelab Scotland berkenaan selepas meninggalkan Western Sydney Wanderers. Nieuwenhof sebelum ini terpilih dalam PFA Team of the Season bagi musim A-League 2022/23 ketika bersama Wanderers.
View this post on Instagram
Sydney FC: Takahiro Sekine
Sydney FC memperkuat skuad dengan membawa masuk Takahiro Sekine dari Urawa Red Diamonds menerusi kontrak tiga tahun.
Pemain Jepun itu mempunyai pengalaman lebih 400 perlawanan bersama Urawa dengan rekod 40 gol dan 53 bantuan jaringan. Sekine turut membantu kelab tersebut memenangi dua gelaran Liga Juara-Juara AFC dan pernah diberi tanggungjawab sebagai kapten.
Selain beraksi di kedua-dua sayap, Sekine juga boleh bermain di bahagian tengah serta sebagai bek sisi. Kelebihan itu memberi jurulatih Patrick Kisnorbo lebih banyak pilihan untuk menggunakan pemain berpengalaman tersebut dalam beberapa posisi.
View this post on Instagram
Wellington Phoenix: Bryce Duke
Wellington Phoenix melengkapkan perpindahan Bryce Duke dari San Diego FC sebelum tarikh akhir pendaftaran pemain pada September.
Pemain tengah dari Amerika Syarikat itu mempunyai lebih 120 penampilan dalam Major League Soccer (MLS) bersama Los Angeles FC, Inter Miami dan CF Montréal.
Jurulatih Chris Greenacre melihat Duke sebagai pemain yang mampu membantu Phoenix meningkatkan kreativiti ketika menyerang. Kemampuan hantaran serta kebolehannya mencipta peluang dijangka menjadi aset penting buat Wellington untuk menembusi pertahanan lawan.
View this post on Instagram
Western Sydney Wanderers: Nicolas Milanovic
Nicolas Milanovic kembali menyarung jersi Western Sydney Wanderers selepas semusim bersama Aberdeen di Scotland.
Pemain serangan itu pernah menjadi antara tonggak utama Wanderers apabila memenangi Johnny Warren Medal sebagai pemain terbaik A-League pada musim 2024/25. Milanovic turut muncul penjaring terbanyak kelab pada musim yang sama sebelum mengambil keputusan berhijrah ke Scotland.
Kepulangannya memberi Wanderers pemain yang sudah mempunyai rekod kejayaan bersama kelab, dengan Milanovic kini mahu mendapatkan semula prestasi yang pernah menjadikannya antara penyerang terbaik A-League.
View this post on Instagram



