Tujuh negara bersaing jadi tuan rumah Olimpik 2036

Tujuh negara kini dalam persaingan untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2036, dengan India, Qatar dan Afrika Selatan antara yang mahu membawa temasya sukan terbesar dunia itu ke negara masing-masing buat kali pertama.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) turut mengesahkan Jerman, Hungary, Korea Selatan dan Turkiye sebagai calon, dengan keputusan pemilihan tuan rumah dijangka dibuat pada pertengahan 2029.

Daripada tujuh negara berkenaan, hanya Jerman dan Korea Selatan pernah menganjurkan Sukan Olimpik musim panas.

India mempertaruhkan Ahmedabad, bandar yang bakal menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2030 dan mempunyai stadium kriket terbesar dunia, Stadium Narendra Modi yang mampu menampung 132,000 penonton.

Negara itu sebelum ini pernah mempertimbangkan bidaan untuk Olimpik 2032 sebelum mengalihkan sasaran kepada edisi 2036.

India masih belum pernah menganjurkan Olimpik, walaupun New Delhi pernah menjadi tuan rumah Sukan Komanwel pada 2010.

Qatar pula kembali mencuba menerusi Doha selepas gagal dalam bidaan Olimpik 2016 dan 2020. Kedua-dua percubaan terdahulu itu tidak berjaya melepasi proses pemilihan awal.

Pengalaman Qatar menganjurkan Piala Dunia FIFA 2022 menjadi antara kelebihannya, selain Doha pernah menjadi tuan rumah Sukan Asia 2006 dan bakal menganjurkannya sekali lagi pada 2030.

Sekiranya terpilih, Qatar akan mencipta sejarah sebagai negara pertama di Asia Barat menganjurkan Sukan Olimpik musim panas.

Bagaimanapun, cuaca panas di negara itu mungkin memerlukan temasya berlangsung di luar tempoh kebiasaan antara Julai hingga Ogos.

Afrika Selatan turut memburu sejarah tersendiri dengan cadangan melibatkan tiga bandar utama, iaitu Cape Town, Durban dan Johannesburg.

Bidaan itu bertujuan membawa Olimpik musim panas ke benua Afrika buat kali pertama.

Cape Town pernah mara ke peringkat akhir pemilihan tuan rumah Olimpik 2004, namun temasya berkenaan akhirnya diberikan kepada Athens.

Hungary sekali lagi mencalonkan Budapest selepas menarik diri daripada perebutan Olimpik 2024 susulan petisyen yang mendesak referendum diadakan mengenai bidaan tersebut.

Budapest sudah beberapa kali mencuba untuk menjadi tuan rumah, tetapi belum berjaya membawa Olimpik ke Hungary.

Turkiye pula mempertaruhkan Istanbul yang pernah gagal dalam lima bidaan terdahulu.

Peluang terbaik Istanbul hadir ketika pemilihan Olimpik 2020 apabila bandar itu mara ke pusingan undian terakhir sebelum tewas kepada Tokyo.

Berbeza dengan lima negara berkenaan, Jerman dan Korea Selatan mempunyai pengalaman menganjurkan temasya itu.

Jerman memilih Munich, yang pernah menjadi tuan rumah Olimpik 1972, manakala Korea Selatan mencalonkan Seoul selepas bandar itu menganjurkan edisi 1988.

Ketujuh-tujuh calon dijadual membentangkan perancangan masing-masing kepada IOC pada November sebelum senarai pendek diumumkan pada Mac 2027.

Negara lain yang berminat masih mempunyai masa sehingga 31 Oktober untuk menyatakan hasrat menyertai proses pemilihan.

Sementara itu, Los Angeles akan menganjurkan Olimpik 2028 sebelum giliran Brisbane pada 2032.