Yamaha tidak akan beraksi pada Grand Prix Qatar hujung minggu ini berikutan sekatan perjalanan yang ditetapkan syarikat induknya, sekali gus menjadi pasukan MotoGP pertama terlepas satu pusingan penuh sejak Forward Racing pada 2015 atas sebab selain kecederaan atau ketiadaan pelumba.
Pengeluar Jepun itu mengumumkan keputusan berkenaan pada Ahad sejurus tamat Grand Prix Malaysia, selepas penilaian terbaharu terhadap situasi di Timur Tengah mendapati keadaan masih belum membolehkan sekatan perjalanan tersebut ditarik balik.
Keputusan itu menyaksikan Fabio Quartararo, Alex Rins dan Jack Miller terlepas perlumbaan di Litar Antarabangsa Lusail dari 6 hingga 8 November.
Yamaha merancang untuk kembali beraksi pada Grand Prix Portugal hujung bulan ini.
Pihak MotoGP melahirkan rasa kecewa dengan keputusan Yamaha, namun menegaskan Grand Prix Qatar akan diteruskan seperti dijadualkan.
Menurut MotoGP, keputusan untuk meneruskan perlumbaan dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa Qatar, pengurusan Litar Antarabangsa Lusail serta penasihat keselamatan bebas.
“Kami berpendapat keputusan ini tidak mencerminkan jaminan menyeluruh yang telah diberikan kepada semua pihak yang terlibat dalam kejuaraan,” menurut kenyataan MotoGP.
MotoGP turut mengesahkan semua pasukan lain akan mengambil bahagian di Qatar.
Pada masa sama, pihak penganjur mengingatkan bahawa tindakan Yamaha boleh membawa implikasi dari segi kontrak dan peraturan sukan.
Sebarang tindakan atau hukuman berkaitan penyertaan Yamaha akan ditentukan oleh Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) mengikut peraturan sedia ada.
View this post on Instagram
Grand Prix Qatar pada asalnya dijadual berlangsung pada April, tetapi terpaksa ditunda susulan konflik di Timur Tengah.
Ketiadaan sebuah pasukan sepanjang hujung minggu perlumbaan jarang berlaku dalam era moden MotoGP yang bermula pada 2002, walaupun masalah kewangan dan operasi pernah menyebabkan beberapa pasukan terpaksa mengambil keputusan serupa.
Kali terakhir perkara itu berlaku ialah pada Grand Prix Indianapolis 2015 apabila Forward Racing menarik diri selepas penahanan pemilik pasukan, Giovanni Cuzari, menjejaskan urusan pembiayaan dan penajaan mereka.
Forward Racing kembali pada pusingan berikutnya di Brno, dengan Loris Baz menamatkan perlumbaan di tempat ke-15.
Sebelum itu, pengeluar berpangkalan di Britain, Ilmor, meninggalkan MotoGP selepas perlumbaan pembukaan musim 2007 di Qatar akibat kekurangan penaja.
Berbeza dengan Forward Racing, Ilmor tidak pernah kembali menyertai perlumbaan MotoGP.
Team Roberts pula pernah terlepas enam pusingan pada 2005 berikutan masalah bekalan enjin dan sokongan daripada KTM.
Pasukan milik Kenny Roberts itu akhirnya kembali pada perlumbaan penutup musim di Valencia, dengan Kurtis Roberts menunggang jentera Proton V5 versi lama mereka.
Keputusan Yamaha menarik diri daripada Grand Prix Qatar hadir ketika MotoGP memasuki tiga pusingan terakhir musim ini.
Marc Marquez kini mendahului kejuaraan dunia dengan kelebihan 44 mata ke atas Jorge Martin selepas memenangi Grand Prix Malaysia di Sepang pada Ahad.
Saksikan MotoGP secara langsung menerusi SPOTV NOW.
View this post on Instagram



