Bintang tenis Itali, Jannik Sinner, mengucapkan tahniah kepada Kimi Antonelli selepas pelumba Mercedes itu mencipta sejarah sebagai juara dunia Formula 1 (F1) termuda di Grand Prix Mexico pada Ahad.
Sinner menyampaikan ucapan menerusi rakaman video selepas Antonelli mengesahkan gelaran dunia pertamanya dengan menduduki tempat ketiga, di belakang pemenang perlumbaan Max Verstappen dan Lewis Hamilton dari Ferrari.
View this post on Instagram
“Kimi, kamu kini bergelar juara dunia. Memang luar biasa mendengarnya,” kata Sinner.
“Kamu telah menggembirakan seluruh rakyat Itali. Nikmatilah detik indah ini.”
Pada usia 20 tahun 68 hari, Antonelli memecahkan rekod Sebastian Vettel sebagai juara dunia F1 termuda, selain menjadi pelumba Itali pertama meraih gelaran itu sejak Alberto Ascari pada 1953.
Antonelli tiba di Mexico dengan hanya memerlukan kedudukan kesembilan untuk mengesahkan kejuaraan, tetapi berjaya menamatkan perlumbaan di podium selepas bermula dari petak keempat.
Verstappen pula memenangi perlumbaan selepas menewaskan Hamilton dengan kelebihan hanya 0.799 saat.
View this post on Instagram
Sinner dan Antonelli sememangnya mempunyai hubungan rapat, malah kedua-duanya pernah hadir memberikan sokongan dalam acara sukan masing-masing.
Sinner, yang sudah memenangi lima gelaran Grand Slam, pernah mengunjungi Antonelli pada Grand Prix Abu Dhabi tahun lalu.
Ketika itu, Antonelli membawa Sinner mengelilingi Litar Yas Marina pada kelajuan tinggi dengan menaiki Mercedes-AMG GT 63.
Pada Julai lalu, Antonelli pula berkunjung ke Wimbledon bersama legenda tenis Roger Federer, sehari selepas beraksi dalam Grand Prix Britain di Silverstone, dan turut bertemu Sinner.
Sinner kemudiannya berjaya mempertahankan kejuaraan Wimbledon selepas menewaskan Alexander Zverev dalam perlawanan akhir.



