Malaysia menamatkan saingan Piala Dunia dan Festival Bawah 15 Tahun (B-15) FIFA 2026 di tangga ke-56, sekali gus muncul pasukan terbaik Asia Tenggara dalam edisi sulung kejohanan tersebut.
Skuad kendalian P. Maniam mengakhiri kempen dengan kekalahan 0-2 kepada Lubnan dalam perlawanan penentuan tempat ke-55 di Kompleks Pertandingan Hovsan, Baku, Azerbaijan, pada Jumaat.
Walaupun tewas, Malaysia tetap mencatat kedudukan tertinggi dalam kalangan 11 wakil Asia Tenggara, malah menamatkan kejohanan satu anak tangga di atas England.
View this post on Instagram
Indonesia menjadi pasukan kedua terbaik dari rantau ini di tempat ke-72, diikuti Thailand (77) dan Vietnam (82).
Malaysia juga satu-satunya wakil Asia Tenggara yang layak ke Tier B, kategori yang menentukan kedudukan ke-33 hingga ke-64.
Kelayakan itu diraih selepas Malaysia menduduki tempat kedua Kumpulan H dengan rekod tiga kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.
Skuad negara menewaskan Dominica, Syria dan Ethiopia dalam saingan kumpulan untuk melayakkan diri ke kategori yang turut menempatkan England.
Bagaimanapun, Malaysia memulakan saingan Tier B dengan kekalahan 2-6 kepada Afrika Selatan sebelum bangkit menewaskan Jamaica 4-2 dalam perlawanan penentuan kedudukan.
Kekalahan kepada China dan Qatar, menerusi penentuan sepakan penalti, kemudian menyaksikan Malaysia terpaksa berdepan Lubnan dalam aksi terakhir.
England pula menamatkan kejohanan di tangga ke-57 selepas menewaskan Bolivia 3-2. Mereka sebelum itu turut tewas dalam perlawanan pertama Tier B kepada Zambia, yang akhirnya muncul juara kategori berkenaan.
Kedudukan akhir kejohanan ini ditentukan menerusi format berbeza daripada kebiasaan, apabila semua pasukan terus beraksi sehingga hari terakhir tanpa tersingkir lebih awal.
Kejohanan yang berlangsung dari 24 hingga 30 Oktober itu menghimpunkan 189 pasukan, dengan setiap perlawanan melibatkan lapan pemain sepasukan dan berlangsung selama dua separuh masa, masing-masing 20 minit.
Keputusan peringkat kumpulan digunakan untuk membahagikan pasukan kepada enam kategori, sebelum perlawanan seterusnya menentukan kedudukan akhir setiap pasukan.
Format itu diperkenalkan bagi memberikan pemain muda lebih banyak pengalaman di peringkat antarabangsa dengan menentang pelbagai pasukan dari seluruh dunia.
Sepanyol muncul juara sulung selepas menewaskan Czechia 3-0 dalam final Tier A di Baku Crystal Hall.
Bagi wakil Asia Tenggara yang lain, Filipina menamatkan kejohanan di tempat ke-110 dan Myanmar di tangga ke-125.
Singapura menduduki tempat ke-141, diikuti Laos (153), Timor-Leste (173), Kemboja (185) dan Brunei (187).



